Kerajaan perpaduan berprestasi, tapi Umno bermasalah selagi terkait DAP
Mengakui kerajaan perpaduan memiliki prestasi tersendiri, Umno berpendapat, parti itu tetap tidak mampu menjadi pilihan orang Melayu selagi mereka bersama dengan DAP – yang menjadi komponen PH – dalam kerajaan.
Mohamad Hasan berkata sebelum ini apabila mengadakan kerjasama bagi membentuk kerajaan pusat dan negeri, Umno cuba mewajar serta menjelaskan rasional di sebalik keputusan tersebut.
Bagaimanapun, tambah Timbalan Presiden Umno itu, ia tidak diendahkan oleh orang Melayu.
"Tiada hujah yang boleh meyakinkan majoriti konstituen Melayu, atau melunakkan pendirian mereka, untuk menerima kerjasama Umno dan DAP dalam kerajaan perpaduan.
"Sebabnya ialah, telah tertanam dalam pemikiran orang Melayu bahawa, DAP itu tidak pernah bersetuju dengan dasar-dasar diskriminasi positif untuk pribumi.
“Atau telah ada stigma bahawa DAP itu anti-Islam walaupun kerajaan perpaduan ini bukanlah tidak berprestasi," katanya ketika berucap semasa merasmikan serentak persidangan Pemuda, Wanita, dan Puteri Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur malam ini.
Mohamad yang juga menteri luar berkata, banyak dasar dan program yang baik untuk mengembang dan menumbuhkan ekonomi negara telah berjaya dilaksanakan kerajaan perpaduan.
Katanya hal itu dicapai meskipun negara ini berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk kerumitan ekonomi kesan krisis geopolitik global.
Katanya, pelbagai pengagihan bantuan, komitmen memerangi rasuah dan ketirisan serta usaha melaksanakan pembaharuan di pelbagai dimensi dalam pelbagai sektor oleh kerajaan disokong oleh Umno sebagai tanggungjawab kolektif dalam kerajaan.
"Namun, semua ini tidak dilihat sebagai lebih Melayu. Selagi Umno dilihat bersama dengan DAP, semuanya akan menjadikan kerajaan perpaduan itu tidak mewakili Melayu dan kepentingannya,” tambah bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu lagi.
Mohamad pada masa sama mengakui, isu-isu kepentingan Melayu tetap menjadi dominasi penting dalam politik negara dan berterusan sejak sekian lama.
"Kepimpinan berdasarkan prestasi yang baik, dasar yang unggul dan khidmat yang cemerlang adalah ‘perhitungan kedua’ dalam minda pengundi Melayu.
"Apa sahaja yang berkaitan Melayu itu akan terus menjadi 'domain' terpenting dan utama," tambahnya.
Jika Umno tidak mengurus domain itut dengan baik, tambah Mohamad, parti itu akan dilihat mengabaikan kepentingan Melayu dan Islam.
/file/attachments/orphans/pew4_798428.jpeg)
