PH dah langgar syarat disepakati semasa bentuk kerajaan perpaduan, kata Umno
Umno hari ini menyatakan bantahan mereka terhadap PH terkait isu pengampunan bekas perdana menteri, Najib Razak.
Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata parti itu berasa kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Setiausaha PH semalam yang seolah-olah mempertikaikan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong.
Katanya kuasa pengampunan Agong adalah hak prerogatif baginda yang termaktub jelas di dalam Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, katanya, Umno berpendapat kuasa itu tidak sewajarnya dipertikaikan oleh mana-mana pihak.
"Jika PH boleh menyokong pengampunan yang diterima oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim walaupun beliau belum selesai menjalani hukuman penuh ketika itu (2018), kenapa pula piawaian yang berbeza perlu dikenakan kepada pihak lain?" katanya dalam kenyataan hari ini.
Ia menyusul selepas sekretariat PH itu mengeluarkan kenyataan terkait tempoh hukuman seseorang yang disabitkan bersalah oleh mahkamah.
Dalam kenyataan itu, PH berpendapat kelonggaran hukuman penjara serta sebarang perjanjian yang dibuat terhadap hukuman seseorang banduan berisiko yang menjejaskan kes mahkamah yang lain.
Tanpa menamakan sesiapa, sekretariat PH itu berkata, mereka kekal dengan pendirian bahawa seseorang yang disabitkan bersalah dalam kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa berprofil tinggi "perlu menjalani sepenuhnya tempoh hukuman yang ditetapkan oleh mahkamah."
Mereka selanjutnya menyatakan, kedaulatan undang-undang menghendaki sebarang proses mahkamah yang sedang berjalan mesti diberi ruang untuk diselesaikan secara bebas dan teratur "tanpa menimbulkan sebarang persepsi bahawa proses tersebut telah didahului oleh pertimbangan lain".
Media sebelum ini melaporkan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dijadualkan bermesyuarat pada 11 Sept untuk mendengar permohonan pengampunan Najib.
Sin Chew Daily melaporkan Menteri Wilayah Persekutuan Hannah Yeoh memberi taklimat kepada pemimpin PH tentang pendengaran pengampunan yang akan diadakan itu semasa mesyuarat di Putrajaya malam tadi.
Untuk rekod, Najib pada Dis tahun lalu disabitkan bersalah atas tuduhan rasuah untuk kali kedua dan diarah menjalani hukuman penjara selama 15 tahun selain denda RM11.38 bilion.
Sabitan itu boleh menyebabkan Najib kekal di penjara tana mengambil kira hukuman penjaranya bagi sabitan pertamanya - melibatkan kes SRC International Sdn Bhd - yang sebelum ini sudah mendapat keringanan.
Hukuman penjara yang disemak semula untuk sabitan Najib dalam kes SRC International dijadualkan tamat menjelang Ogos 2028. Bagaimanapun, termasuk remisi satu pertiga untuk kelakuan baik, dia mungkin dibebaskan sebulan lebih awal.
Asyraf Wajdi berkata, pendekatan Umno adalah berbeza berbanding PH.
Katanya, Umno tidak berhasrat mendahului pertimbangan lembaga pengampunan atau menuntut apa-apa keputusan tertentu.
"Apa jua keputusan yang dibuat melalui proses yang sah hendaklah dihormati oleh semua pihak," katanya.
Pengerusi Mara itu juga berkata, tindakan terkini PH itu secara tidak langsung menyerlahkan ‘warna sebenar’ mereka yang didakwanya beberapa kali meremeh dan mempertikai institusi raja-raja Melayu demi kepentingan politik.
"Ini jelas bertentangan dengan prinsip dan syarat yang telah disepakati bersama dalam perjanjian pembentukan kerajaan perpaduan Malaysia," katanya.
Sejak menerajui kerajaan Madani, gabungan itu dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berdepan dengan pelbagai dakwaan termasuk darioada penyokongnya sendiri kerana dianggap lemah dalam menangani isu rasuah apabila melibatkan BN.
Ia termasuk persepsi bahawa pendakwaan terhadap Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, dalam kes Yayasan Akalbudi yang didakwa dihentikan kerana pertimbangan politik.
/file/attachments/orphans/tt111_512429.jpg)
