Pengguna lega harga ayam mula turun
Daging ayam merupakan kegemaran rakyat Malaysia bagi semua lapisan masyarakat tidak kira usia dan latar belakang. Sumber makanan yang kaya dengan protein ini bukan sahaja mudah diperolehi, malah mudah dipadankan dengan pelbagai masakan.
Hangat di meja makan dan poket pengguna
Disebabkan pemakanan harian kita berkait rapat dengan daging ayam, topik yang kami sajikan di sini bukan sahaja menghangatkan meja makan, malah menyentuh poket pengguna! Isu kenaikan harga runcit ayam proses yang mendadak baru-baru ini telah menimbulkan keluhan lantang di kalangan rakyat yang sedang ikat perut berdepan kemelut pandemik Covid-19.
Jadi, apa yang menjurus kepada fenomena ini secara tiba-tiba?
Pelarasan permintaan dan penawaran perlu sedikit masa lagi
Pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi dalam fasa kedua dan ketiga Pelan Pemulihan Negara dalam usaha kerajaan menangani pandemik Covid-19 semakin merancakkan ekonomi kita yang turut disusuli permintaan mendadak terhadap bekalan ayam.
Situasi ini mengakibatkan mekanisme permintaan dan penawaran tidak sempat membuat pelarasan dalam masa yang singkat ini, lebih-lebih lagi ketika industri ayam tempatan sedang menghadapi pelbagai masalah yang lain, yang berpunca daripada kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlarutan.
Penternak yang sebelum ini terpaksa mengurangkan kuantiti pengeluaran kerana penutupan kebanyakan sektor ekonomi tidak dapat memenuhi permintaan yang mendadak ini memandangkan pembesaran ayam mengambil masa 32 hari lebih untuk dipasarkan.
Keadaan ini diburukkan lagi oleh peningkatan harga dedak terutamanya yang melibatkan bahan mentah jagung dan kacang soya. Kekurangn bekalan dan peningkatan kos pengeluaran pada masa yang sama akan melonjakkan harga ayam di peringkat ladang dan peruncit.
Harga kembali normal?
Walau bagaimanapun, bekalan ayam dijangka kembali normal dalam masa 30 - 60 hari apabila pengeluaran kembali kepada tahap normal. Persoalannya - adakah harga ayam akan kembali normal seperti sebelum pandemik Covid-19?
Pemantauan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati harga ayam bersih standard telah menunjukkan tanda-tanda penurunan harga di lokasi tertentu. Ini termasuk terdapat peniaga yang menjual ayam dengan harga berpatutan di bawah RM8 sekilo, malah ada yang membuat tawaran sekitar RM6 lebih sekilo.
Pilihannya di tangan pengguna sementara kerajaan terus berusaha menstabilkan harga barangan di pasaran demi kesejahteraan rakyat. Apa yang perlu diambil perhatian di sini adalah – kawalan harga hanya merupakan langkah sementara kerana kerajaan perlu juga mengambil kira fakta peningkatan kos pengeluaran di luar kawalan pengusaha industri.
Perbahasan isu kenaikan harga ayam
Tidak dapat dinafikan, harga runcit ayam proses sekilogram melonjak dari RM8 lebih ke RM10 lebih dalam dua minggu baru-baru ini telah mencetuskan perbahasan hangat antara pihak industri dan pengguna, masing-masing dengan alasan tertentu berdasarkan perspektif yang berbeza.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), kenaikan harga adalah disebabkan oleh peningkatan kos operasi dan pengeluaran akibat wabak Covid-19 yang berpanjangan di merata dunia yang menjejaskan rantaian bekalan dan pemasaran ayam.
Punca kenaikan harga menurut pihak industri
Mengupas dengan lebih mendalam, kenaikan tersebut adalah berpunca daripada peningkatan kos membeli dedak ayam yang diimport, terutamanya yang melibatkan bahan mentah jagung dan kacang soya; kenaikan harga minyak sawit mentah yang digunakan untuk menghasilkan makanan ternakan; harga baka ayam dan anak ayam yang telah meningkat; kekurangan dan kesukaran mendapatkan pekerja asing yang memaksa majikan mengupah warga tempatan dengan gaji yang lebih tinggi; tanggungan kos saringan Covid-19 untuk pekerja; dan faktor musim hujan yang melambatkan pembesaran ayam dengan kos makanan dan penjagaan tambahan.

Siapa yang terjejas dan ambil berat?
Tempias kenaikan kos pengeluaran dan harga runcit ayam sebenarnya menggelisahkan pelbagai pihak berkepentingan - penternak, pemborong, peruncit, pengusaha restoran, pengeluar makanan, pengguna dan pihak kerajaan termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Malaysia (MAFI).
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Malaysia (MAFI) boleh sama-sama memainkan peranan efektif bagi memastikan harga dedak ayam, anak ayam dan baka ayam berada pada paras yang munasabah supaya ayam dibekalkan dengan harga yang berpatutan di pasaran.
Menurut menteri di KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Kementeriannya memandang serius terhadap isu kenaikan harga ayam kerana keutamaan kerajaan ketika ini adalah untuk memastikan kepentingan pengguna sentiasa terpelihara, lebih-lebih lagi sudah setahun lebih tertekan akibat wabak Covid-19, selain menggiatkan vaksinasi demi kesihatan rakyat.
Persoalan yang timbul dan pendekatan seimbang
Persoalan utama yang hangat diperbincangkan ialah - Adakah kos pengeluaran ayam ditanggung oleh pihak industri setara dengan kenaikan harga runcit yang ditanggung oleh pengguna? Dalam usaha memelihara kepentingan pihak industri dan pengguna, apakah pendekatan seimbang atau ‘menang-menang’ yang boleh dilaksanakan oleh pihak kerajaan untuk mencegah kenaikan harga mendadak sebegini pada masa hadapan? Apakah saluran aduan dan semakan harga yang harus diikuti oleh pengguna?
Sesi libat urus bersama agensi kerajaan, pengusaha dan persatuan pengguna
Sehubungan isu kenaikan harga ayam baru-baru ini, KPDNHEP bercadang menubuhkan sebuah badan khas untuk bertindak secara efektif dan sistematik dalam menangani masalah sedemikian supaya kepentingan peniaga dan pengguna terpelihara pada masa yang sama.
Satu lagi pendekatan baharu ialah pengeluaran surat pemberitahuan kepada peniaga peringkat borong dan runcit untuk mengadakan sesi libat urus bersama pengeluar serta penternak ayam di lokaliti berlakunya kenaikan harga. Tujuannya adalah sebagai peringatan dan arahan kepada pihak peniaga di setiap rantaian agar membuat semakan semula harga dan membuat perubahan harga yang munasabah tanpa mengabaikan kepentingan pengguna.
Perbincangan secara berterusan turut melibatkan agensi kerajaan yang berlainan dan pihak industri dan persatuan pengguna, yang melibatkan KPDNHEP, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Malaysia (MAFI), Kementerian Kewangan (MOF), Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), dan Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA). Ia bertujuan mencari jalan penyelesaian jangka panjang untuk menstabilkan harga runcit ayam pada masa hadapan.
KPDNHEP sentiasa prihatin
Senarai harga runcit ayam harian dan makanan yang lain boleh didapati melalui aplikasi “Price Catcher” KPDNHEP atau laman web Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). Pengguna Bijak harus menggunakan setiap pilihan yang ada untuk mengurangkan kos perbelanjaan harian seisi rumah. Apps Price Catcher boleh digunakan untuk membanding harga dan mencari premis yang menjual barang keperluan pengguna pada harga patut.

