Sedekad Kecemerlangan, redONE Sasar Untuk Jadi MVNO Terbesar di ASEAN!
redONE Network atau lebih dikenali sebagai redONE mula bertapak pada tahun 2012 dengan hanya 2,000 pelanggan dan juga hanya tujuh pekerja pada masa tersebut. Walaupun bilangan itu kecil namun mereka mempunyai semangat yang besar untuk mengembangkan jenama redONE di seluruh Malaysia.
Pada tahun tersebut, kebanyakan syarikat telekomunikasi mengenakan caj pascabayar yang tinggi kepada pelanggan mereka menyebabkan ramai yang memilih untuk menggunakan pelan prabayar. Melihatkan keadaan itu, redONE mengambil langkah yang berbeza dan menawarkan pelan pascabayar serendah RM8 sebulan dengan panggilan tanpa had. Sesuai dengan moto syarikat iaitu ‘Back to Basics’ yang mewakili model perniagaan redONE dimana pelanggan tidak membazir dan hanya perlu bayar untuk apa yang digunakan sahaja.
Sambutan yang menggalakkan menyebabkan redONE terus komited untuk memberikan pelan pascabayar mampu milik kepada para pelanggan mereka. Pada tahun 2017, redONE melancarkan pelan Amazing dengan data sehingga 20GB dengan serendah RM8 sebulan. Ditambah pula dengan bantuan rakan niaga redONE yang sentiasa mempromosikan pelan-pelan ini kepada umum membuatkan makin ramai yang terbuka hati untuk menjadi sebahagian daripada keluarga redONE.
Pada tahun 2018, redONE berjaya mencapai 1 juta pelanggan, malah redONE satu-satunya pengendali maya mudah alih (MVNO) di Malaysia yang mencecah jumlah tersebut. Seterusnya, redONE melebarkan sayap mereka ke negara jiran iaitu Singapura pada tahun 2019 serta memperkenalkan Data Tanpa Sempadan (Data Without Borders) di mana para pelanggan boleh merayau di antara Malaysia dan Singapura tanpa dikenakan caj tambahan.
Pelanggan redONE meningkat kepada 1.2 juta orang pada tahun 2020. Ketika Malaysia dilanda pandemik Covid-19, redONE menyedari bahawa ramai orang memerlukan pelan data tanpa had yang mampu milik dan berbaloi. Susulan itu, redONE memperkenalkan dengan pelan data dan panggilan tanpa had Hybrid50U, pada hanya RM50 sebulan. Pelan tersebut diterima baik oleh rakyat Malaysia yang rata-rata ketika itu hanya duduk di rumah dan mereka memerlukan data yang banyak dalam kehidupan seharian terutama dari segi kerja dan juga hiburan di rumah.
Pada Mei 2021, redONE menerokai landskap telekomunikasi di negara jiran, Thailand. Di negeri gajah putih ini, redONE bermula dengan hanya 1,000 pelanggan dan jumlah itu meningkat setiap hari. Selepas Thailand, redONE merancang untuk ke Filipina dan Indonesia seterusnya ke negara ASEAN lain.
Walaupun baru sedekad berada di dalam industri telekomunikasi, banyak pencapaian membanggakan sudah redONE kecapi. Kini, redONE terus komited untuk menjadi MVNO terbesar di ASEAN yang menawarkan pelan mampu milik dan berbaloi kepada semua pelanggan mereka.

