Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sentiasa prihatin membantu masyarakat terutamanya golongan asnaf melalui pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR). Terkini, Program Setulus Kasih PTPTN telah dianjurkan bertujuan untuk menggalakkan penabungan bagi tujuan pendidikan serta membantu meringankan beban golongan yang memerlukan.
Program ini melibatkan negeri-negeri terpilih seluruh Malaysia dengan sumbangan zakat PTPTN berjumlah RM120,000 yang disalurkan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime dan kotak makanan barangan keperluan harian.
Secara keseluruhannya, sumbangan ini akan memberi manfaat kepada 600 pelajar dan keluarga asnaf. Setiap pelajar dan keluarga akan menerima simpanan akaun Simpan SSPN Prime dan sumbangan kotak makanan berjumlah RM200.00. Bagi memastikan bantuan yang diberikan dinikmati oleh golongan sasar, program ini turut melibatkan kerjasama dengan agensi Kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan pemimpin setempat.

Negeri Pulau Pinang telah menjadi lokasi pertama bagi Program Setulus Kasih PTPTN. Penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN bertempat di Surau Kampung Melayu, Ayer Hitam Pulau Pinang pada 16 Jun 2023. Turut hadir Encik Mohd Rusdi bin Ismail, Pengurus Besar Kanan Jabatan Operasi Cawangan PTPTN, Puan Wan Zawiah binti Wan Abu Bakar, Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN serta Encik Muhammad Muhsin bin Abdul Rahman, Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang.
Di Pulau Pinang, pemberian sumbangan adalah berjumlah RM20,000 yang merangkumi simpanan akaun Simpan SSPN Prime berjumlah RM10,000 dan kotak makanan berjumlah RM10,000 yang disampaikan kepada 100 pelajar dan keluarga asnaf.
PTPTN telah mewujudkan instrumen simpanan melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) sebagai platform terbaik untuk menggalakkan masyarakat membuat perancangan kewangan bagi tujuan pendidikan tinggi. Simpan SSPN menyediakan pelbagai keistimewaan untuk manfaat masyarakat Malaysia seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, dividen yang kompetitif, Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak, patuh syariah dan dijamin kerajaan.

Diharapkan melalui sumbangan yang diberikan PTPTN ini dapat membantu meringankan beban hidup golongan yang memerlukan, meningkatkan motivasi anak-anak untuk terus mencipta kejayaan dalam akademik dan sahsiah, sekali gus menjadi modal insan berguna kepada agama, bangsa dan negara.
Sebagai agensi di bawah KPT yang merupakan peneraju tabung pendidikan tinggi negara, PTPTN akan terus komited dalam meningkatkan pelaksanaan program-program CSR demi pembangunan anak bangsa selari dengan moto PTPTN, Peluang Kejayaan Anda dan tagline PTPTN Prihatin : Kami Kongsi, Kami Bantu.
Kandungan ini disediakan oleh PTPTN
