Menyedari dan menginsafi bahawa gerakan rakyat telah sekian lama berjuang darah dan keringat untuk mereformasikan sistem dan institusi pilihan raya, serta membebaskan institusi-institusi demokratik negara seperti Parlimen, badan-badan penguatkuasa dan badan kehakiman yang seharusnya melindungi kepentingan rakyat berbanding kepentingan pemerintah;

Maka kami, rakyat Malaysia, melalui Kongres Bersih 2024, yang terdiri daripada rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya, yang cintakan tanah air tempat tumpah darah, mempertahankan hak asasi manusia dan prinsip-prinsip demokrasi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, dengan ini, bertekad dan beriltizam bahawa:

Gerakan rakyat, masyarakat sivil, NGO, anak muda dan mahasiswa, untuk:-

1) Semarakkan semangat kebersamaan rakyat, untuk mengangkat martabat dan daulat rakyat sebagai kunci utama keberkesanan perjalanan demokrasi;

2) Memandu fasa perubahan demokrasi selepas Pilihan Raya Umum ke-14 dan ke-15 yang menjadi titik penting kepada agenda reformasi dan pendemokrasian negara;

3) Menggerakkan agenda melawan penyakit lupa agar agenda reformasi negara tidak tertanggal daripada minda dan jiwa kerajaan pemerintah, ahli-ahli politik dan akhirnya terlepas daripada genggaman rakyat;

4) Memainkan peranan sebagai gerakan semak dan imbang yang berkesan kepada kerajaan pemerintah dalam isu tatakelola, keadilan dan kesejahteraan rakyat;

Maka, kami rakyat Malaysia, mengangkat Deklarasi Kongres Bersih 2024 dan berjanji untuk bersatu tenaga membina jentera rakyat, dan sedia untuk turun ke jalan bagi memperjuangkan pelaksanaan reformasi 100 peratus.

1. Reformasi Pilihan Raya dengan memastikan mekanisme pelantikan Pengerusi dan anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaksanakan dengan telus, terbuka dan inklusif tanpa dipengaruhi kepentingan politik.

2. Reformasi pilihan raya dengan menambah baik Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 bagi memodenkan Akta tersebut untuk menghadapi cabaran semasa serta memasukkan peruntukan bagi menghukum penyalahgunaan sumber kerajaan di dalam pilihan raya.

3. Reformasi pilihan raya dengan melukis persempadanan semula pilihan raya sejajar dengan prinsip satu individu satu undi agar sempadan lebih adil dan saksama

4. Reformasi pilihan raya dengan memperkenalkan mekanisme pengundian khusus (special voting arrangement) bagi membantu pengundi luar kawasan dan luar negeri untuk pulang mengundi.

5. Reformasi pilihan raya dengan memperkenalkan semula undi ketiga bagi memilih kerajaan tempatan agar isu pembangunan peringkat tempatan mendapat perhatian yang lebih berkesan.

6. Reformasi pilihan raya dengan memperkenalkan sistem perwakilan berkadar senarai bertutup selari dengan sistem pilihan raya yang sedia ada.

7. Reformasi Institusi dengan segera memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen, Akta Pendanaan Politik, membawa Akta Penggal Tetap Parlimen bagi memastikan sebarang usaha pertukaran kerajaan dibuat secara telus di Parlimen,

8. Reformasi badan penguatkuasa dengan membuat pindaan ke atas IPCC supaya badan tersebut memiliki kuasa untuk menyiasat dan mengambil tindakan penguatkuasaan, serta pemisahan Jabatan Peguam Negara dan Pendakwaraya.

9. Reformasi institusi media selaku tunggak ke-4 demokrasi dengan mempercepatkan penubuhan Majlis Media Malaysia sebagai badan kendiri yang bebas dan telus yang akan meninjau dan menyelesaikan masalah dalam industri dan meletakkan etika laporan dan proses keadilan sebagai asas kebebasan media.

10. Reformasi hak asasi rakyat dengan memperkenal Akta Hak Maklumat, dan pada masa yang sama meminda atau memansuhkan undang-undang yang menyekat kebebasan kebebasan bersuara rakyat selaras dengan kewajipan hak asasi manusia antarabangsa, termasuk Akta Hasutan 1948, Akta Kesalahan Keselamatan 2012, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972, dan Seksyen 203A, 298A, 500, 504 dan 505(b) Kanun Keseksaan.

11. Reformasi menegakkan hak asasi masyarakat rentan, lagi yang dipinggirkan terutamanya wanita, anak muda, Orang Asal, Orang Asli dan Orang Kurang Upaya

12. Reformasi pendemokrasian anak muda di kampus dengan memansuhkan AUKU, memberi lebih ruang kepada mahasiswa untuk terlibat aktif dalam proses demokrasi dan politik ke arah pembinaan negara.

13. Reformasi pendemokrasian untuk memperkenalkan silibus pendidikan demokrasi, sivik dan hak asasi di peringkat persekolahan.


Deklarasi ini adalah hasil daripada semangat usul dan resolusi yang dikemukakan oleh para aktivis semasa Kongres Bersih 2024 pada 25 Mei 2024.


Kandungan ini disediakan oleh BERSIH.

Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi advertise@malaysiakini.com atau advertise@fgmedia.my.