Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
Co-opbank Pertama umum dividen ADK-KWRS, 3.6%
Diterbitkan:  Jun 4, 2024 4:07 PM
Dikemaskini: 8:07 AM

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) melalui Co-opbank Pertama (CBP) mengumumkan kadar dividen untuk Akaun Deposit Koperasi, Kumpulan Wang Rizab Statutori (ADK-KWRS) kepada pendeposit koperasi sebanyak 3.6 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

RM9.75 juta dividen diagihkan kepada 458 koperasi

Pengerusi SKM, Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal berkata dividen keseluruhan berjumlah RM9.7 juta itu diagihkan kepada 458 koperasi yang mencarum.

"Bagi tahun kewangan 2023, SKM telah bersetuju mengagihkan keuntungan sebanyak RM9.75 juta kepada 458 buah koperasi berdasarkan kiraan harian deposit koperasi.

"Untuk makluman, pengagihan bagi tahun kewangan 2023 ini juga merupakan yang tertinggi berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya," katanya ketika berucap pada majlis pengumuman dividen ADK-KWRS untuk tahun 2023 baru-baru ini.

Turut hadir Pengerusi CBP Datuk Baharom Embi dan Ketua Pegawai Eksekutif CBP Khairil Anuar Mohammad Anuar.

Khairil Anuar berkata sehingga 31 Disember 2023, CBP telah menguruskan sebanyak 458 buah koperasi yang telah mendepositkan KWRS ke dalam Akaun Deposit Koperasi dengan jumlah terkumpul sebanyak RM267 juta.

CBP menyasarkan peningkatan deposit yang lebih tinggi menjelang akhir tahun ini

"Jumlah pendeposit ADK-KWRS ini telah meningkat kepada 458 Koperasi daripada 282 Koperasi pada tahun 2022 dengan peningkatan sebanyak 62 peratus manakala jumlah keseluruhan deposit meningkat sehingga 41 peratus.

"Ini menunjukkan sektor koperasi terus kekal utuh walaupun berdepan dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu," katanya.

Justeru, bagi merealisasikan perkara itu CBP akan sentiasa bekerjasama dengan SKM bagi memperkenalkan ADK kepada koperasi yang layak mendeposit di seluruh negara melalui sesi taklimat dan jerayawara.

"CBP adalah pendeposit kepada ADK-KWRS dan telah menyumbang kepada peningkatan jumlah deposit dan kadar agihan dividen secara keseluruhan pada tahun 2023. Deposit ADK-KWRS ini dijangka dapat membantu koperasi-koperasi yang memerlukan pembiayaan dengan penawaran kadar keuntungan yang kompetitif," katanya.

Pada majlis itu, CBP turut menyampaikan penghargaan kepada 20 koperasi penerima dividen tertinggi ADK-KWRS bagi tahun 2023.

CBP telah dilantik sebagai Pengurus Dana ADK-KWRS sejak 12 September 2019 bagi tempoh lima tahun bermula hingga 2024 dan ia merupakan inisiatif di bawah Pelan Pembangunan Sektor Perkhidmatan Koperasi oleh SKM bagi memperkasakan Gerakan Koperasi Kebangsaan.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.cbp.com.my


Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected].


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS