Veteran ATM Terima Faedah Hilang Upaya Menjelang Bulan Ramadan
Syukur terima faedah hilang upaya menjelang Ramadan.
ALOR SETAR: Kehadiran Ramadan kali ini lebih bermakna buat veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila menerima faedah Ganjaran Hilang Upaya (GHU) di sini, semalam.
Mereka melahirkan rasa syukur atas keprihatinan kerajaan menerusi Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) kerana terus menghargai pengorbanan mereka.
Menurut Abdul Razak Saad, 66, beliau akan menggunakan wang itu sebaik mungkin untuk perbelanjaan sepanjang Ramadan dan Aidilfitri nanti.
"Terima kasih kepada kerajaan kerana membantu kami terutama dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat.
"saya sudah kehilangan kaki kiri kerana terpijak jerangkap samar dalam operasi di Gubit pada 1986, aaya rasa sangat terharu kerana kerajaan tidak pernah melupakan kami," katanya yang berasal dari Sungai Petani.
Pada majlis itu, seramai 34 veteran ATM yang cedera sewaktu melaksanakan operasi atau menjalani latihan yang berisiko tinggi menerima faedah GHU serta lapan penerima terdiri daripada anak-anak veteran menerima sumbangan komputer riba.

Penyampaian faedah itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.
Seorang lagi veteran yang turut kehilangan kaki kanan akibat jerangkap samar ketika operasi di Kampung Tanjung Pari, Baling, Yusuf Ahmad, 64, berkata dia sangat bersyukur dengan bantuan berkenaan setelah berpenat lelah berkorban untuk negara.
"Alhamdulillah umur saya masih panjang untuk merasai nikmat ini, kebajikan anak-anak saya pun kerajaan jaga, dua orang anak saya masuk universiti, JVEAT banyak memberi sumbangan.

"Sekiranya mengharapkan duit pencen, ia tidak mencukupi, dulu selepas kaki saya hancur saya selalu meratapi nasib saya, keadaan saya juga seperti budak baru hendak belajar jalan, terima kasih banyak-banyak kepada kerajaan kerana tidak pernah abaikan veteran serta ahli keluarga," katanya.
Bagi Aishah Humairah Abd Rahim, 19, pelajar Diploma Ukur Bangunan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar, Perak yang menerima bantuan komputer riba berkata dia berterima kasih atas sumbangan yang diberikan walaupun bapanya, Abd Rahim Mat Isa sudah meninggal dunia pada tahun 2023 akibat serangan jantung ketika berusia 63 tahun.

"Terima kasih kerana memberi sumbangan komputer riba kepada anak-anak veteran tentera dan ini sudah pastinya dapat membantu kami yang kebanyakannya masih belajar. Komputer riba ini saya akan beri kepada kakak kerana dia lebih memerlukan dan sedang sedang menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda di UiTM Puncak Alam," katanya.
Kandungan ini disediakan oleh Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF).
Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/03/df7bdc72259f965c2521e2d3bbd89049.jpg)
