Seremban: "Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pertahanan, Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana sudi menguruskan bantuan pembaikan rumah saya," demikian luah balu kepada pesara tentera, Allahyarham Suhib Abdul Samad, Nor Aidil Kassim, 55, yang kini tinggal di Taman Pelangi Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan.
Nor Aidil menerima bantuan baik pulih rumah menerusi Inisiatif Perumahan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang merupakan salah satu strategi inisiatif Peningkatan Kualiti Hidup di bawah Pelan Strategik Mindef dalam Teras 7.

Strategi ini memberi penekanan dalam usaha membantu Veteran ATM yang berpendapatan rendah dengan menyediakan tempat kediaman yang lebih kondusif dan selesa.
Ia merangkumi dua skop kerja iaitu membina kediaman baharu dan membaik pulih rumah Veteran ATM mengikut syarat yang telah ditetapkan.
Nor Aidil yang juga seorang ibu tunggal berkata, beliau amat bersyukur kerana terpilih menerima bantuan berkenaan selepas beberapa bahagian kediamannya itu rosak dimakan anai-anai.
"Beberapa bahagian rumah ini rosak termasuk bahagian siling dan tingkap serta atap bocor kerana dimakan anai-anai.
"Keadaan itu membuatkan saya tidak tenteram terutama ketika hujan atau angin kuat. Kadang kala air hujan mencurah memasuki rumah kerana atap bocor dan amat tidak selesa selain boleh membahayakan keselamatan," katanya ketika ditemui.
Menurutnya, rakan mengesyorkan supaya membuat permohonan bantuan melalui JHEV negeri dan dia kemudian tampil ke pejabat JHEV ATM Cawangan Negeri Sembilan bagi tujuan berkenaan.
Katanya, pihak JHEV ATM kemudian datang melihat keadaan rumah dan seterusnya memproses permohonan berkenaan untuk kelulusan.
"Dalam masa singkat pekerja datang membaik pulih rumah dan dalam tempoh sekitar lima hari kerja-kerja baik pulih selesai," katanya.
Nor Aidil yang juga seorang suri rumah berkata, kini beliau berasa selesa dan selamat mendiami rumah itu kerana tiada lagi kerosakan seperti kebocoran dan lain-lain.
Menurutnya, pihaknya mengucapkan terima kasih di atas bantuan dan sokongan daripada Kementerian Pertahanan serta JHEV ATM yang begitu prihatin terhadap kebajikan balu pesara tentera.
"Sebagai balu pesara tentera yang hanya mengharapkan pencen bulanan arwah suami untuk meneruskan kehidupan mana mungkin mampu untuk membaiki rumah yang rosak dan bocor kerana kos membaik pulih yang tinggi.
"Alhamdulillah, syukur dengan bantuan pihak Kementerian Pertahanan dan JHEV ATM, saya tidak perlu mengeluarkan sebarang modal kewangan untuk membaik pulih rumah ini," katanya.

Nor Aidil yang kini tinggal keseorangan selepas arwah suaminya meninggal dunia pada 22 Mac 2018 dan menggunakan masa lapang menjaga anak jiran sebagai teman ketika siang hari, menyifatkan bantuan diterima itu besar ertinya.
Beliau yakin dan percaya ramai veteran dan balu berpeluang menerima bantuan menerusi inisiatif yang disediakan Kementerian Pertahanan.
"Bantuan seperti ini menunjukkan kerajaan menerusi Kementerian Pertahanan dan JHEV ATM sentiasa memastikan nasib dan masa depan veteran ATM serta balu terjamin menerusi pelbagai bantuan disalurkan," katanya yang kini tidak boleh melakukan kerja berat kerana menghadapi masalah penyakit kencing manis.
Kandungan ini disediakan oleh MINDEF.
Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.
Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected]
