Malaysia menaiki anak tangga ke-23 daripada 69 ekonomi dengan mencatatkan rekod lonjakan sebanyak 11 kedudukan dalam laporan Penarafan Daya Saing Dunia (WCR) 2025 berbanding tempat ke-34 tahun lepas.
Laporan komprehensif itu bertujuan menilai sesebuah ekonomi berdasarkan keupayaan mereka menjana dan mengekalkan persekitaran mesra pelanggan serta diterbitkan setiap tahun oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) yang berpusat di Switzerland.
Untuk rekod, kedudukan itu adalah pencapaian terbaik negara sejak 5 tahun lalu yang mencerminkan usaha pembaharuan berterusan, pengukuhan ekonomi dan halatuju Malaysia ke arah menyertai kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing sebelum 2033 mengikut Kerangka Ekonomi MADANI.
Menurut laporan WCR, terdapat peningkatan dalam tiga faktor yang memacu pencapaian itu iaitu Prestasi Ekonomi, Kecekapan Kerajaan dan Kecekapan Perniagaan.
“Faktor Prestasi Ekonomi meningkat 4 anak tangga ke kedudukan ke-4 terbaik berbanding tempat ke-8 tahun lalu manakala Kecekapan Kerajaan dan Kecekapan Perniagaan kedua-duanya meningkat 8 anak tangga,” katanya.

Pada masa sama, sub-faktor Perdagangan Antarabangsa menduduki tempat ke-6 selepas melonjak 11 anak tangga berbanding kedudukan ke-17 tahun lepas hasil peningkatan penerimaan pelancong, pertumbuhan eksport barang dan perkhidmatan serta kepelbagaian pasaran lalu memantapkan lebihan dagangan negara.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI) melalui Jawatankuasa Daya Saing Negara (JKDSN) kini menyelaras hala tuju strategik yang merentas pelbagai kementerian bagi memperkukuh ekosistem daya saing negara.
Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang diterajui oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar turut ditubuhkan di peringkat operasi bagi memastikan pelaksanaan berhubung peningkatan daya saing berkesan.
Pelaksanaan itu termasuk lebih 1,000 inisiatif di bawah program Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) yang sejajar dengan aspirasi Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA).

Menteri Perdagangan, Tengku Zafrul berkata, pelaburan dan pembangunan industri adalah penting dalam meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan terpilih.
“Peningkatan daya saing negara sebanyak 11 anak tangga di kedudukan ke-23 berbanding tempat ke-34 tahun lepas mencerminkan bahawa faktor-faktor birokrasi saling berkait.
“Pendekatan Kerajaan MADANI untuk meningkatkan daya saing berdasarkan prinsip whole-of-government juga membuktikan kesungguhan Kerajaan dalam memacu penambahbaikan dan pembaharuan struktur di Malaysia secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan.
MITI yakin bahawa dengan tadbir urus kukuh, komitmen berterusan serta kerjasama erat antara kerajaan dan industri, Malaysia berada di landasan yang tepat untuk menempatkan diri dalam kalangan 12 ekonomi paling berdaya saing dunia sebelum 2033.
