Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
KPJ Healthcare Berhad Lapor Keputusan S4 TK2025 dan Prestasi Keseluruhan Tahun Kewangan
Diterbitkan:  Feb 26, 2026 9:33 PM
Dikemaskini: 1:33 PM

KPJ Healthcare Berhad (“KPJ Healthcare” atau “Kumpulan”) hari ini melaporkan keputusan kewangan bagi suku keempat yang berakhir pada 31 Disember 2025, melengkapkan prestasi Kumpulan untuk keseluruhan tahun kewangan.

Keputusan Suku Keempat TK2025

Prestasi Kewangan

  • Hasil untuk S4 TK2025 meningkat sebanyak 10% tahun ke tahun kepada RM1.152 bilion dan 3% suku ke suku. 

  • EBITDA bagi suku tersebut berjumlah RM312 juta, meningkat 3% tahun ke tahun dan 14% suku ke suku. Margin EBITDA adalah 27.1%, lebih rendah tahun ke tahun namun meningkat 2.5 mata peratus suku ke suku.

  • PATAMI bagi S4 TK2025 meningkat 10% tahun ke tahun kepada RM133 juta dan 42% suku ke suku, dengan margin PATAMI pada 11.5%, secara relatif stabil tahun ke tahun dan lebih tinggi suku ke suku.

Prestasi Operasi

  • Kemasukan pesakit dalam meningkat 3% tahun ke tahun kepada 99,721 manakala lawatan pesakit luar meningkat 6% tahun ke tahun kepada 773,799.

  • Jumlah kes pembedahan meningkat 11% tahun ke tahun kepada 30,784.

  • Purata hasil bagi setiap pesakit dalam meningkat 7% tahun ke tahun kepada RM8,379, manakala purata hasil bagi setiap pesakit luar meningkat 1% tahun ke tahun kepada RM335.

  • Kadar Penghunian Katil untuk suku tersebut adalah 67% lebih rendah tahun ke tahun dan lebih tinggi bagi suku ke suku.

Keputusan Tahun Penuh TK2025

Prestasi Kewangan

  • Hasil bagi TK2025 meningkat 9% tahun ke tahun kepada RM4.26 bilion.

  • EBITDA bagi tahun penuh meningkat 6% tahun ke tahun kepada RM1.05 bilion.

  • PATAMI untuk TK2025 berjumlah RM366 juta.

Dividen

Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 1.35 sen sesaham bagi TK2026 berjumlah RM59.2 juta yang akan dibayar pada 17 April 2026.

Prestasi Operasi TK2025

Pada suku tersebut, Kumpulan merekodkan pertumbuhan hasil sebanyak 10% tahun ke tahun, selaras dengan peningkatan jumlah lawatan pesakit dalam tahun kewangan semasa. Bilangan katil operasi meningkat 4% tahun ke tahun sejajar dengan peluasan kapasiti, manakala jumlah kes pembedahan meningkat 11% dan purata hasil bagi setiap pesakit dalam meningkat 7%, mencerminkan pertumbuhan berterusan aktiviti pesakit di seluruh rangkaian. Pihak pengurusan kekal fokus untuk memastikan keseimbangan antara kadar penggunaan kemudahan, kualiti klinikal dan disiplin kos dalam persekitaran yang masih berdepan tekanan tenaga kerja serta peningkatan kos dalam sektor penjagaan kesihatan.

Chin Keat Chyuan, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare berkata, “Tahun kewangan 2025 mencerminkan kemajuan yang jelas dalam memperteguh kualiti hasil, kecekapan operasi serta integrasi sistem di seluruh Kumpulan. Pertumbuhan yang disokong oleh permintaan pesakit yang berdaya tahan, penambahbaikan campuran kes dan peningkatan keupayaan pakar kini mengubah komposisi perkhidmatan KPJ ke arah perkhidmatan berakuiti tinggi yang menjana nilai lebih besar. Peluasan kapasiti serta disiplin operasi diterjemahkan kepada penukaran pendapatan yang lebih kukuh.”

Bagi memacu hala tuju masa depan KPJ, kami memperkenalkan KPJ Health System (KPJHS) pada penghujung 2024. Berteraskan tiga tonggak iaitu amalan, pendidikan serta penyelidikan dan inovasi, KPJHS menjadi enjin transformasi Kumpulan dengan menyepadukan tadbir urus, infrastruktur digital dan protokol klinikal bagi mengurangkan variasi, memperkukuh penyelarasan serta meningkatkan kecekapan secara keseluruhan. KPJHS memperkukuh misi “Care for Life” sebagai teras utama Kumpulan dengan mengintegrasikannya secara lebih mendalam tentang cara penjagaan kesihatan disampaikan, dinilai dan dipertingkat secara berterusan.

Fasa pertumbuhan KPJ seterusnya akan dipacu oleh penyepaduan kecerdasan buatan, genomik dan penjagaan berasaskan nilai dalam satu model operasi bersepadu, sekali gus mentransformasikan cara penjagaan disampaikan, dinilai dan menjana pulangan yang mampan. Pendekatan ini memberi penekanan lebih jelas terhadap penjagaan ramalan, pencegahan dan ketepatan rawatan, yang meletakkan hasil klinikal serta pengalaman pesakit sebagai ukuran utama kejayaan kami.

Hala Tuju Pelan Strategik (“Pelan”) 2026 – 2030 

Dalam pengumuman yang sama, KPJ Healthcare turut memperkenalkan Pelan Strategik 2026–2030, iaitu pelan tindakan berdisiplin yang menjadi asas kepada peruntukan modal, pelaksanaan serta transformasi keseluruhan sistem. Strategi ini menandakan peralihan struktur daripada kumpulan hospital yang beroperasi sebagai entiti berasingan di bawah satu Kumpulan kepada Sistem Kesihatan Akademik Bersepadu swasta pertama di Malaysia, berteraskan KPJ Health System (“KPJHS”) yang dilancarkan pada 2024.

KPJHS merupakan langkah signifikan dalam memperkasa komitmen “Care for Life”, dengan aspirasi jelas untuk memastikan hasil klinikal yang cemerlang dan konsisten kepada pesakit. Pada masa yang sama, inisiatif ini akan mengukuhkan kemampanan kewangan serta mewujudkan impak sosial yang bermakna.

Menjelang 2030, KPJ menyasarkan untuk memperkukuh kedudukannya sebagai sistem kesihatan bersepadu serantau, sekali gus menetapkan penanda aras bagi kecemerlangan klinikal, kesalinghubungan sistem, inovasi dan disiplin institusi dalam sektor penjagaan kesihatan swasta di Malaysia.

1.
Kerangka strategik: Satu Sistem, Satu Tujuan, Satu Standard

Di bawah Pelan Strategik tersebut, KPJ akan melengkapkan integrasi di bawah prinsip Satu Sistem, Satu Tujuan, Satu Standard dengan menyatukan tadbir urus, platform digital dan protokol klinikal bagi memastikan hasil klinikal yang konsisten di seluruh negara. KPJHS yang bersepadu ini akan dilengkapi oleh KPJ Care Network, iaitu ekosistem berasaskan digital yang menghubungkan hospital, pakar dan pesakit melalui aliran maklumat yang lancar serta penyelarasan penjagaan yang menyeluruh.

KPJ Care Network akan beroperasi berasaskan model hub and spoke, yang menghubungkan hab utama dan hospital KPJ, Pusat Penjagaan Ambulatori (ACC), klinik bersekutu, hospital rakan strategik, pengamal perubatan am, rakan diagnostik serta kolaborator luar yang lain. Struktur ini memperkukuh rujukan pesakit dalam rangkaian, meningkatkan penyelarasan merentasi sempadan dan menyokong pertumbuhan pelancongan kesihatan, di samping mempertingkat kecekapan sistem secara menyeluruh.

2. Platform Pertumbuhan: Hubs and Spokes, Pengembangan Kawasan Brownfield, Pusat Kecemerlangan (CoE) dan Pusat Penjagaan Ambulatori (ACC)

Pertumbuhan akan dipacu oleh Pusat Kecemerlangan (CoE) utama iaitu Jantung & Paru-Paru, Onkologi, Neuro & Strok serta Ortopedik yang akan berperanan sebagai hab utama dalam rangkaian KPJ Care Network. CoE ini akan menyokong peralihan kepada campuran kes berakuiti lebih tinggi, memperkukuh penghasilan penyelidikan serta meningkatkan disiplin penandaarasan di seluruh sistem.

Dalam tempoh lima tahun akan datang, KPJ menyasarkan penubuhan 15 Pusat Kecemerlangan bagi memperkukuh standard yang konsisten, memperdalam keupayaan pakar dan memastikan hasil klinikal yang boleh diukur di seluruh rangkaian.

Bagi memperkukuh kapasiti, KPJ akan melaksanakan pengoptimuman aset dalam rangkaian hospital sedia ada serta pengembangan kawasan brownfield secara berperingkat di sembilan hospital sepanjang tempoh Pelan Strategik lima tahun iaitu Kuching Specialist Hospital (SH), Perdana SH, Johor SH, Damansara SH 2, KPJ Rawang SH, KPJ Klang SH, KPJ Kajang SH, Ipoh SH dan Bandar Dato’ Onn SH yang dijangka menambah kira-kira 2,200 katil setelah siap sepenuhnya.

KPJ juga akan memperluas Pusat Penjagaan Ambulatori (ACC) di Kawasan yang mempunyai permintaan tinggi. ACC ini akan berfungsi sebagai Spoke yang menghubungkan pesakit ke rangkaian KPJ Care Network yang lebih luas, sekali gus memperkukuh akses, meningkatkan kadar penggunaan, mempertingkat intensiti hasil serta mengukuhkan kecekapan kos operasi di seluruh Kumpulan.

3.
Inovasi Klinikal, Data dan Penjagaan Berasaskan Nilai

KPJ akan mengintegrasikan kecerdasan buatan, data dan genomik ke dalam aliran kerja klinikal serta operasi, termasuk diagnostik berasaskan AI, pengelasan risiko pesakit berasaskan analisis ramalan dan keupayaan Smart Ward yang dikawal selia melalui kerangka keselamatan serta etika yang kukuh.

Genomik dan perubatan berketepatan tinggi akan diterapkan dalam Pusat Kecemerlangan bagi mempertingkat pengesanan awal, memperhalusi pelan rawatan mengikut keperluan pesakit serta menyokong terapi lanjutan. Pada masa yang sama, ketelusan kos yang diperkukuh, penilaian prestasi dan penjejakan hasil klinikal akan menyokong peralihan kepada penjagaan berasaskan nilai dan berorientasikan hasil sebagai persediaan menghadapi pembaharuan DRG.

4.
Platform Akademik dan Penyelidikan

KPJ Healthcare University akan ditransformasikan sebagai Universiti Kesihatan dan Kesejahteraan yang mengintegrasikan kesihatan digital, kecerdasan buatan dan genomik, dengan penekanan kepada pembangunan bakat klinikal selaras dengan keperluan untuk masa hadapan, penyelidikan translasi serta kerjasama industri.

5.
Pemerkasaan Jenama melalui Pengalaman Pesakit dan Kecemerlangan Perkhidmatan

Di bawah Pelan Strategik 2026–2030, KPJ akan memperkukuh kedudukan jenamanya dengan mengangkat hospital daripada sekadar pusat rawatan kepada destinasi kesihatan bersepadu, melalui penerapan kecemerlangan perkhidmatan serta pendekatan berteraskan hospitaliti bagi memastikan pengalaman pesakit yang konsisten dan premium di setiap peringkat perjalanan pesakit.

KPJ akan bersaing bukan berdasarkan jumlah, tetapi melalui kredibiliti, konsistensi dan keyakinan, dengan memastikan penjagaan bukan sahaja berkesan malah lancar dan tanpa sebarang kesulitan, menggabungkan ketepatan klinikal dengan kecemerlangan perkhidmatan yang menjadi teras jenama KPJ.

Hospital-hospital akan secara berperingkat memperuntukkan antara 10 hingga 15 peratus ruang kepada elemen runcit, gaya hidup dan kesejahteraan seperti kafe, studio rehabilitasi dan butik kesihatan bersepadu, agar identiti KPJ bukan sekadar dapat dilihat, tetapi turut dirasai oleh setiap pesakit dan pengunjung.

Pelaksanaan dan Penggunaan Modal

Bagi menterjemahkan strategi kepada pelaksanaan yang berdisiplin, KPJ telah mengenal pasti saluran inisiatif berstruktur bagi tempoh 2026–2030. Inisiatif ini merangkumi pembangunan semula hospital dan pengembangan kawasan brownfield, pembinaan menara hospital baharu serta blok klinikal, pengoptimuman kapasiti dan peluasan perkhidmatan kepakaran; peluasan berterusan Pusat Penjagaan Ambulatori (ACC) serta model pesakit luar dan penjagaan harian yang bersepadu dalam rangkaian; pengembangan sistem maklumat klinikal digital yang saling beroperasi serta platform data; pelaburan dalam peralatan klinikal termaju dan infrastruktur hospital; serta kerjasama serantau terpilih bagi menyokong pertumbuhan berintensiti aset rendah dan pertukaran kepakaran di seluruh Asia Tenggara.

Bagi menyokong inisiatif-inisiatif tersebut, pelaburan modal akan dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka berjumlah secara kumulatif antara RM4 bilion hingga RM5 bilion sepanjang tempoh Pelan. Pelaburan ini turut merangkumi pembangunan tenaga kerja serta pemerkasaan sistem secara menyeluruh bagi memperkukuh keupayaan jangka panjang. Penggunaan modal akan terus tertakluk kepada ambang pulangan yang ditetapkan dan disiplin peruntukan modal yang ketat, dengan paras gearing dikekalkan dalam had perjanjian kewangan yang ditetapkan sepanjang tempoh pelaksanaan Pelan.

Ringkasan Pelan Strategik

Sepanjang tempoh 2026–2030, Pelan Strategik ini mengubah model pertumbuhan KPJ daripada peluasan kapasiti yang berasaskan pengembangan kepada penciptaan nilai yang dipacu system menerusi KPJ Health System dan KPJ Care Network sebagai terasnya. Prestasi akan semakin diperkukuh melalui pendalaman klinikal berakuiti tinggi melalui Pusat Kecemerlangan, pengukuhan rujukan serta kadar penggunaan merentasi rangkaian hub and spoke, selain pengoptimuman kawasan brownfield dan peluasan ACC yang dilaksanakan secara berdisiplin bagi meningkatkan intensiti hasil dan kecekapan kos operasi.

Pada masa yang sama, penyepaduan kecerdasan buatan, data, genomik serta penjagaan berasaskan nilai yang merangkumi pendekatan ramalan, pencegahan dan ketepatan rawatan, disokong oleh platform akademik dan penyelidikan serta pengukuhan pengalaman pesakit dalam penyampaian perkhidmatan, dijangka akan mempertingkatkan kecekapan ekonomi rawatan, daya tahan margin dan nilai jangka panjang kepada pemegang saham.

Hala Tuju dan Jangkaan

Bagi tahun 2026, KPJ kekal optimistik terhadap prospeknya, disokong oleh pelaksanaan berterusan program pengoptimuman aset, peluasan kapasiti serta penekanan yang konsisten terhadap peningkatan kecekapan operasi.

Persekitaran operasi terus dipengaruhi oleh perkembangan ekonomi dan kawal selia yang lebih meluas. Bank Negara Malaysia (BNM) melaporkan pertumbuhan KDNK sebanyak 6.3% bagi S4 2025, didorong oleh peningkatan perbelanjaan isi rumah, aktiviti pelaburan yang stabil serta permintaan berterusan terhadap eksport elektrik dan elektronik serta aktiviti pelancongan. BNM menjangkakan pertumbuhan pada 2026 berada dalam julat 4% hingga 4.5%, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan serta prestasi eksport yang berterusan.

Keputusan Kementerian Kesihatan untuk menangguhkan pelaksanaan sistem Diagnosis Related Group (DRG) ke tahun 2027 memberikan kejelasan yang lebih baik kepada industri dan menyokong peralihan yang lebih tersusun serta mampan bagi sektor penjagaan kesihatan.


Kandungan ini disediakan oleh KPJ Healthcare

Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS