Peguam yang mewakili Undang Yang Empat, termasuk Undang yang dipertikai, menegaskan tiada unsur paksaan terhadap Menteri Besar, Ismail Lasim ketika menandatangani dokumen proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada 3 Ogos lalu.

Peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, berkata Ismail terlebih dahulu diberikan penerangan mengenai keperluan menandatangani dokumen berkenaan mengikut Perkara 10(1)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Menurutnya, majlis yang berlangsung di Istana Laguna Biru, Port Dickson itu turut diadakan dalam suasana santai tanpa sebarang tekanan terhadap Menteri Besar.

"Pada 3 Ogos 2026, kira-kira jam 8 malam, kesemua Dato’ Undang Jelebu, Undang Johol, Undang Rembau, Tunku Besar Tampin dan Dato’ Shahbandar Sungei Ujong yang mewakili Dato’ Klana Undang Luak Sungai Ujong telah hadir ke Istana Laguna Biru, Port Dickson untuk majlis makan malam bersama Tunku Nazruddin Tuanku Jaafar.

"Kemudian pada jam 10 malam, Menteri Besar tiba bersama peguam beliau, iaitu Datuk Abu Bakar Isa Ramat dan kemudiannya Dato’-Dato’ Undang telah menerangkan keputusan mereka memecat Tuanku Muhriz serta memberi penerangan mengenai instrumen proklamasi yang memerlukan tandatangan beliau," katanya dalam sidang media di Galeri Diraja Tuanku Jaafar bagi menerangkan kronologi kejadian yang berlaku di Istana Laguna Biru pada 3 Ogos lalu.

Mohd Khairul Azam berkata, selepas penerangan diberikan, Ismail menyatakan persetujuan menandatangani proklamasi berkenaan dengan disaksikan oleh peguamnya sendiri.

Sehubungan itu, dia mendakwa kemungkinan terdapat pihak lain yang mempengaruhi Menteri Besar sehingga mengeluarkan kenyataan bahawa dia dipaksa menandatangani dokumen berkenaan.

"Kami ingin menyatakan bahawa Menteri Besar telah bertindak menandatangani proklamasi berkenaan secara rela hati dan tanpa paksaan, malah dengan kehadiran peguam beliau sendiri.

"Oleh itu, kenyataan beliau bahawa dipaksa menandatangani proklamasi tersebut adalah satu pemikiran terkemudian (afterthought) dan tiada keadaan yang berlaku pada malam tersebut yang mendorong ke arah wujudnya elemen paksaan untuk beliau membuat keputusan," katanya.

Mohd Khairul Azam berkata, dari sudut undang-undang, unsur paksaan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan merujuk kepada paksaan yang melibatkan ancaman terhadap nyawa, ugutan kecederaan atau kehilangan harta benda.

Justeru, katanya, Menteri Besar perlu membuktikan kewujudan unsur berkenaan sekiranya mendakwa dipaksa menandatangani proklamasi tersebut.

Dalam pada itu, Mohd Khairul mengesahkan majlis berkenaan tidak dihadiri pemimpin Umnno lain, termasuk Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Sebelum ini, media melaporkan krisis istana di Negeri Sembilan dijangka semakin meruncing selepas Undang Yang Empat, mendedahkan dokumen yang didakwa sebagai proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Dokumen berkenaan dikatakan telah ditandatangani oleh Ismail.

Bagaimanapun, Ismail mendakwa dia dipaksa menandatangani surat cara proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz.

Dia turut memaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan pihak berkuasa.

Menurutnya, surat cara proklamasi berkenaan ditandatangani tanpa kerelaannya dan dalam keadaan paksaan (duress).