Pergerakan kadar pertukaran sering menjadi perhatian apabila nilai ringgit meningkat atau merosot dengan ketara. Pada tahun 2025, ringgit muncul antara mata wang paling berprestasi di Asia apabila mengukuh hampir 9 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), sebelum mengakhiri tahun pada sekitar RM4.07.

Momentum pengukuhan ini berterusan sehingga Februari 2026 apabila ringgit melepasi paras psikologi penting RM4 berbanding dolar AS, meningkat kepada kira-kira RM3.97 — paras tertinggi dalam tempoh tujuh tahun.

Pencapaian ini meletakkan ringgit sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia, mengatasi mata wang utama lain seperti yen Jepun dan dolar Singapura. Namun, menjelang pertengahan 2026, ringgit kembali berdepan tekanan apabila nilainya susut melepasi paras RM4.10 berikutan reaksi pasaran terhadap pendirian Rizab Persekutuan AS (Fed) yang lebih ketat dan perubahan sentimen risiko serantau.

Carta ini menunjukkan prestasi ringgit yang ditentukan oleh pasaran sepanjang tahun lalu.

Walaupun ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan dan pergerakan ringgit secara umumnya selari dengan mata wang serantau dalam jangka panjang, perubahan pasaran boleh menyebabkan nilainya turun naik dari semasa ke semasa. 

Namun, perlukah kita bimbang setiap kali nilai ringgit berubah?

Doris Liew, ahli ekonomi IDEAS Malaysia

Menurut ahli ekonomi IDEAS Malaysia, Doris Liew, pengukuhan ringgit sejak Julai 2024 mencerminkan peningkatan keyakinan luar terhadap kedudukan makroekonomi Malaysia yang semakin baik.

Bagi rakyat, kesan paling ketara dapat dilihat melalui perubahan harga. Ringgit yang lebih kukuh menjadikan barangan import lebih murah, sekali gus membantu mengurangkan tekanan kos yang ditanggung oleh pengimport dan syarikat yang bergantung pada bahan mentah dari luar negara.

Pengukuhan ringgit juga dapat mengurangkan kesan turun naik harga komoditi global. Walaupun ia tidak semestinya menyebabkan harga barangan turun secara mendadak, keadaan ini boleh membantu memperlahankan kenaikan kos dan seterusnya mengekalkan kuasa beli pengguna.

Apakah yang mempengaruhi pergerakan ringgit?
Seperti kebanyakan mata wang lain, nilai ringgit dipengaruhi oleh gabungan faktor jangka pendek dalam pasaran serta faktor asas ekonomi jangka panjang. Memandangkan nilainya ditentukan oleh pasaran, pergerakan hariannya bergantung pada perubahan permintaan dan penawaran dalam pasaran kewangan global.

Faktor luaran turut memainkan peranan penting. Sebagai contoh, pengukuhan ringgit pada tahun lalu banyak dipengaruhi oleh jangkaan penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed), yang mengurangkan daya tarikan aset dalam dolar AS dan mendorong aliran modal masuk ke pasaran membangun.

Bagaimanapun, sentimen pasaran menjadi lebih berwaspada tahun ini susulan ketidaktentuan geopolitik yang semakin meningkat, termasuk ketegangan di Timur Tengah, serta pendirian Fed AS untuk mengekalkan kadar faedah pada paras tinggi untuk tempoh yang lebih panjang bagi mengawal inflasi serta menarik aliran modal global.

Keadaan ini menyebabkan pergerakan ringgit terus dipengaruhi perubahan sentimen risiko global. Meskipun ketegangan geopolitik sedikit reda susulan perjanjian damai sementara antara AS dan Iran, perhatian pasaran kewangan global kini masih tertumpu kepada kemungkinan kadar faedah AS kekal tinggi berikutan tekanan inflasi yang berterusan.

Faktor domestik juga memainkan peranan penting. Kestabilan politik yang semakin kukuh serta hala tuju dasar ekonomi yang lebih jelas membantu meningkatkan keyakinan pelabur. Kedudukan fiskal yang lebih sihat dan keadaan makroekonomi yang lebih stabil turut mengukuhkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan.

Selain itu, keyakinan terhadap peranan Malaysia dalam rantaian bekalan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) global, bersama permintaan domestik yang kekal berdaya tahan, terus menyokong prospek pertumbuhan ekonomi. Asas ekonomi yang kukuh ini membantu menyokong prospek ringgit dalam jangka panjang, meskipun pergerakan kadar pertukaran terus dipengaruhi oleh perkembangan semasa.

Asas ekonomi Malaysia yang kukuh turut membantu mengurangkan kesan perubahan dalam persekitaran pasaran. Ekonomi negara terus mencatat pertumbuhan yang stabil, disokong oleh prestasi eksport, perbelanjaan domestik dan aliran pelaburan yang berterusan. Sistem perbankan pula kekal kukuh dan dikawal selia dengan baik.

Pelaksanaan reformasi seperti pelarasan subsidi bersasar menerusi BUDI, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), serta penambahbaikan infrastruktur perdagangan menunjukkan komitmen Malaysia untuk meningkatkan daya saing dalam jangka panjang.

Secara keseluruhan, perkembangan global dan faktor domestik akan terus mempengaruhi prestasi ringgit. Namun, asas ekonomi Malaysia yang kukuh akan terus menjadi faktor sokongan utama kepada kestabilan mata wang negara.

Bagaimanakah prestasi ringgit dijangka pada masa hadapan
Menurut Liew, eksport kekal menjadi antara tonggak utama yang menyokong ringgit. Kepelbagaian sektor eksport Malaysia, daripada elektrik dan elektronik (E&E) hingga minyak sawit dan gas asli cecair (LNG), turut memastikan aliran pendapatan luar negara kekal stabil.

“Prestasi sektor luaran Malaysia terus menjana aliran masuk mata wang asing dan menyokong kedudukan imbangan pembayaran negara. Lebihan perdagangan yang sihat pula membantu mengukuhkan akaun semasa, sekali gus menyediakan sokongan struktur kepada ringgit.”

“Selain perdagangan, pelaburan langsung asing (FDI) dan aliran portfolio turut memainkan peranan, khususnya apabila pelabur global menilai semula kedudukan pasaran membangun berdasarkan jangkaan terhadap kadar faedah AS dan prospek pertumbuhan serantau.

“Kekuatan ringgit bukan sekadar bergantung pada aliran modal jangka pendek, sebaliknya turut mencerminkan prestasi eksport yang lebih kukuh, pertumbuhan domestik yang berdaya tahan serta pengaliran semula sebahagian modal global ke rantau Asia,” katanya.

Pada masa sama, peningkatan tadbir urus dan kejelasan dasar turut membantu mengukuhkan keyakinan pelabur. Langkah seperti rasionalisasi subsidi, hala tuju fiskal yang lebih jelas serta usaha memperkukuh asas cukai menunjukkan perjalanan ekonomi yang lebih mampan.

Bagi pelabur, kepastian dasar amat penting. Apabila tahap kebolehjangkaan meningkat, kesediaan untuk menyalurkan modal juga bertambah.

Minat pelabur yang semakin meningkat ini dapat dilihat melalui aliran pelaburan. Pelaburan langsung asing (FDI) kekal kukuh, khususnya dalam sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor dan infrastruktur data.

Aliran masuk ini bukan sahaja mencerminkan keyakinan terhadap ekonomi Malaysia, malah turut memberi sokongan langsung kepada ringgit apabila dana asing ditukar kepada ringgit untuk digunakan dalam negara.

Ringgit ditentukan oleh pasaran
Malaysia mengamalkan rejim kadar pertukaran fleksibel, di mana nilai ringgit ditentukan oleh kuasa pasaran berdasarkan permintaan dan penawaran.

Kadar pertukaran ringgit yang fleksibel ini memainkan peranan penting dalam memastikan ekonomi mampu bertahan daripada kejutan luaran dengan membolehkan pelarasan yang bersesuaian dalam urus niaga ekonomi dan kewangan antarabangsa.

Peranan Bank Negara Malaysia dalam pasaran pertukaran asing adalah untuk menggalakkan kestabilan monetari dan kestabilan kewangan, bukannya menetapkan nilai tetap bagi ringgit. Bank pusat menjalankan operasi pasaran pertukaran asing apabila perlu bagi memastikan kecukupan mudah tunai dan pasaran pertukaran asing yang teratur. Operasi ini menghasilkan pengumpulan atau pengeluaran rizab antarabangsa sebagai produk sampingan. 

Penting untuk difahami bahawa sebahagian besar gangguan dalam pasaran hanya bersifat sementara. Peristiwa seperti pengumuman dasar atau kenyataan daripada tokoh berpengaruh boleh mencetuskan pergerakan mendadak dalam pasaran. Namun, pergerakan kadar pertukaran sering didorong oleh aktiviti pelabur jangka pendek yang mengambil peluang daripada perubahan harga.

Kebiasaannya, pasaran akan kembali stabil apabila ketidaktentuan mula reda dan hala tuju dasar menjadi lebih jelas.

Pengukuhan ringgit turut mencerminkan peningkatan keyakinan terhadap hala tuju ekonomi Malaysia. Meskipun nilai mata wang akan terus berubah seiring dengan perkembangan global, prestasi perdagangan yang kukuh, kejelasan dasar dan minat pelabur yang berterusan dijangka menyokong prospek ringgit yang lebih stabil dalam jangka panjang.