Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menggariskan lapan tunjang utama yang bertemakan ‘Demi Bangsa Johor’ sebagai ikrar untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 yang akan berlangsung pada 22 Mac 2022.
Tunjang tersebut berpacukan 24 strategi dan berlandaskan 145 pendekatan yang akan menegaskan perkembangan ekonomi pesat serta keprihatinan terhadap kebajikan rakyat.
“Perikatan Nasional telah merangka satu tawaran yang inklusif dan menyeluruh kepada seluruh rakyat Johor. Ini bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir daripada mendapat limpahan manfaat hasil pembangunan pesat negeri ini dalam pelbagai sektor ekonomi dan sosial.” beliau berkata.

8 Tunjang Perikatan Nasional
Tunjang Pertama: Mewujudkan kempimpinan yang berintegriti dan bebas rasuah.
Jelas beliau, PN akan membentuk sebuah kerajaan yang sentiasa mendokong pemimpin berintegriti, bebas rasuah dan menolak penyalahgunaan kuasa.
Selain itu, PN akan memastikan hasil sumber bumi Johor digunakan sebaiknya untuk pembangunan negeri dan rakyat.
Tunjang Kedua: Keutuhan Ekonomi
PN akan turut memberi tumpuan kepada keutuhan ekonomi Johor melalui Pelan Sedekad Ekonomi Johor 2022-2032 yang merangkumi pelbagai bantuan khas.
“Penyediaan hab PMKS, Skim Prihatin PMKS dan pengecualian sepenuhnya bayaran lesen perniagaan bagi PMKS di seluruh negeri Johor diberikan untuk tempoh lima tahun agar usahawan PMKS dapat terus menjadi antara pemangkin utama ekonomi Johor,” katanya.
Beliau juga akan menubuhkan Task Force Pulih Johor bagi melaksana inisiatif pemulihan ekonomi dan kebajikan pekerja yang terkesan akibat pandemik COVID-19 khususnya penutupan sempadan Johor – Singapura.
Tunjang Ketiga: Keutamaan Tangani Kos Sara Hidup
Tunjang ketiga pula akan memfokuskan kepada skim air percuma sebanyak 20 meter padu kepada setiap isi rumah, meningkatkan kecekapan rantaian bekalan makanan, termasuk jualan terus dari ladang serta penambahan lokasi dan kekerapan pasar tani.
Muhyiddin berkata bahawa PN akan menghapuskan hutang peneroka Felda. Beliau berikrar untuk meningkatkan penglibatan peneroka Felda dalam ekonomi, serta mengehadkan premium tanah mereka kepada RM1 sekaki persegi. Untuk golongan penjaja, PN akan menyediakan bantuan khas dengan memberi penghapusan bayaran lesen dan penyewaan tapak perniagaan secara one-off.
Tunjang Keempat: Keprihatinan Rakyat
Tunjang keempat menegaskan keprihatinan kepada rakyat termasuk golongan masyarakat antaranya, golongan belia, wanita, warga emas, orang kurang upaya, masyarakat orang asli dan komuniti FELDA.
PN akan memperkenalkan pelan 5 tahun lonjakan sosioekonomi belia Johor melalui penekanan kepada aspek pendidikan, keusahawanan, pembangunan prasarana serta pembangunan modal insan dan sahsiah.
Menurut Muhyiddin, antara inisiatif yang akan diusahakan adalah mewujudkan Dewan Undangan Negeri Belia dan Yayasan Kepimpinan Anak Muda Johor bagi menggilap generasi pemimpin masa depan dalam kalangan anak muda. Bantuan komputer riba dan bantuan tunai juga akan disediakan untuk untuk pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang memasuki universiti.
Tunjang Kelima: Kesejahteraan Sosial
Demi kesejahteraan sosial pula, pendidikan berkualiti kepada semua rakyat Johor akan disediakan untuk memperhebatkan generasi pewaris Johor dengan menaik tarafkan fasiliti dan teknologi digital serta meningkatkan akses kepada pendidikan agama berkualiti menerusi sekolah-sekolah agama untuk murid-murid beragama Islam di Johor.
Di samping itu, strategi untuk meningkatkan perkhidmatan kesihatan termasuk penyediaan Skim Takaful Prihatin Johor dan Kad Prihatin Johor kepada kumpulan berpendapatan rendah untuk mendapatkan rawatan di hospital dan klinik swasta.
Antara strategi lain termasuk meningkatkan akses perumahan mampu milik, memperkasa keselamatan dan ketenteraman awam dan memperkukuh perpaduan bangsa Johor melalui inisiatif Dana Harmoni Johor, Program Sejahtera Johor dan pemerkasaan komuniti rukun tetangga (KRT).
Tunjang Keenam: Kecekapan Infrastruktur
Bagi tunjang keenam pula, beliau berkata PN akan meningkatkan kecekapan infrastruktur termasuk pembinaan dan naik taraf jalan serta jambatan, landasan keretapi, pengangkutan awam dan lapangan terbang. Tambahan pula, liputan Internet 5G akan dipercepatkan dan kemudahan hotspot WiFi percuma akan diperluaskan di pusat tumpuan ramai, termasuk pusat komuniti dan pusat kegiatan belia.
Tunjang Ketujuh: Kerancakan Sektor Pelancongan
Dari segi memacukan industri pelancongan di Johor pula, beliau telah mencadangkan pendekatan ‘Johor Agro Visit’ dengan pakej farmstay atau latihan pertanian.
“Selain itu, kemudahan perkhidmatan Meetings, Incentives, Conferences & Exhibitions (MICE) yang dilengkapi dengan fasiliti bertaraf dunia juga dilihat sebagai berpotensi untuk diketengahkan.” beliau berkata.
Tunjang Kelapan: Kelestarian Alam Sekitar
Tunjang terakhir yang digariskan oleh beliau adalah kelestarian alam sekitar yang juga merupakan paksi dan tunjang utama PN.
“Bagi mendepani cabaran perubahan iklim, fokus akan diberikan untuk menyegerakan pelaksanaan projek tebatan banjir dan menyediakan pelan induk kesiapsiagaan Kerajaan Negeri dalam mendepani bencana alam. Sistem saliran dan perparitan di kawasan berkepadatan tinggi akan dinaik taraf bagi mengatasi masalah banjir kilat” katanya.
Untuk memastikan tawaran PN dipenuhi, Jawatankuasa Khas Pemantau Pelaksanaan projek berkenaan akan ditubuhkan.
“Ini untuk memastikan ikrar yang dilafazkan untuk rakyat di negeri Johor ini akan direalisasikan menerusi satu daya usaha yang gigih dan telus” ujarnya”
Kempen PRN Johor telah bermula pada 26 Februari lalu dan pengundi akan membuat pilihan pada 12 Mac ini.
Muhyiddin menyeru agar seluruh Bangsa Johor bersatu hati dan memberi mandat dan peluang kepada Perikatan Nasional untuk membentuk sebuah kerajaan negeri yang berintegriti, cekap dan prihatin rakyat. Undilah Perikatan Nasional demi masa depan Bangsa Johor yang gemilang, makmur dan sejahtera.
