Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kandungan Berjenama
Kerajaan lulus peruntukan pembangunan bomba berjumlah RM132.4 juta
Diterbitkan:  May 23, 2022 4:39 PM
Dikemaskini: 8:39 AM

Baru-baru ini, kerajaan telah meluluskan peruntukan pembangunan RM132.4 juta kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) di bawah Rancangan Malaysia ke-12 bagi menambah baik kebajikan anggota.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan telah mengambil pelbagai usaha untuk memenuhi komitmen perkhidmatan terhadap rakyat Malaysia khususnya dari aspek pembangunan infrastruktur kebombaan dan modal insan.

Peruntukan ini meliputi perolehan jentera bomba, kenderaan utiliti, kenderaan forensik kebakaran, Personal Protective Equipment (PPE) serta sistem perisian pemantauan kebombaan yang bertujuan meningkatkan keberkesanan jabatan dalam menangani kes kecemasan.

Dalam ucapannya, beliau menjelaskan kelulusan itu melibatkan bayaran Insentif Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) iaitu pada kadar RM30 bagi setiap operasi (maksimum RM600 sebulan) dan bayaran Insentif Penyelamat Di Air melibatkan kadar RM30 bagi setiap operasi (maksimum RM600 sebulan).

Bayaran Insentif Rawatan Kecemasan (EMRS) melibatkan kadar secara pro rata (maksimum RM150 sebulan) serta bayaran Elaun Tanggungjawab Khas Pemandu melibatkan kadar secara pro rata (maksimum RM150 sebulan) juga telah diluluskan.

Jelasnya, kelulusan elaun itu akan memberi manfaat kepada 114 pegawai bomba dari Gred KB19 hingga KB38 yang bertugas sebagai jurulatih dan tenaga pengajar di lima buah Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Beliau berharap dengan kelulusan ini, jurulatih dan tenaga pengajar dengan kemahiran khas ini akan terus meningkatkan komitmen dan kualiti kerja ke arah melahirkan modal insan yang berwibawa.

Dasar Kebombaan dan Penyelamat Negara (DKPN) 2021-2023

Perdana Menteri juga melancarkan Dasar Kebombaan dan Penyelamatan Negara (DKPN) 2021-2030 bagi mempertingkatkan kecekapan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). Dasar ini melibatkan komitmen pelbagai pihak dalam menjalin hubungan kerjasama strategik dengan industri keselamatan, kebakaran dan kebombaan.

Beliau yakin DKPN 2021-2023 dapat melahirkan Keluarga Malaysia yang berdaya tahan (resilient community) serta mampu mengadaptasi konsep penyelamat nyawa rakyat (citizen life saver) dalam kehidupan seharian terutama ketika berdepan sebarang situasi kecemasan atau bencana.

Dasar DKPN 2021-2023 yang digubal oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersama JBPM akan membabitkan program-program strategik disusuli pelan tindakan yang melibatkan seluruh lapisan Keluarga Malaysia.

“Saya yakin melalui DKPN 2021-2030, warga KPKT khususnya JBPM akan menzahirkan komitmen padu untuk merealisasikan hasrat dan aspirasi penyampaian perkhidmatan kebombaan yang dinamik dan progresif,” katanya dalam ucapan Sambutan Hari Anggota Bomba sedunia di perkarangan Dewan Millenium.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS