Menerusi Bajet 2023 yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Bersama’, sebanyak RM55 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Salah satu fokus utama adalah untuk memastikan rakyat dapat mengharungi hidup dengan bekalan barangan yang stabil, harga yang munasabah serta boleh dijangkau oleh majoriti rakyat Malaysia terutama golongan B40.

Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM)

Sebanyak RM100 juta telah diperuntukkan bagi membiayai Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) yang akan diperluas kepada 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 13 parlimen did Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan kekerapan dua kali sebulan.

Melalui program ini, rakyat berpeluang membeli barangan dengan lebih murah sehingga 20 peratus daripada harga pasaran setempat. Kebanyakan tawaran harga ini melibatkan barangan keperluan asas. Ini dapat meringankan beban kos sara hidup bulanan, lebih-lebih lagi dari segi barangan dapur dan keperluan.

Kerajaan juga akan berusaha untuk mempromosi barangan Malaysia dan meningkatkan ekonomi pengusaha tempatan dengan peruntukan sebanyak RM10 juta untuk KPDNHEP memperhebatkan Kempen Beli Barangan Malaysia. Selain itu, geran penyelidikan dan pengkomersialan vendor 2.0 akan diperkenalkan untuk memperkasa usahawan francais di bawah program pembangunan kapasiti vendor 2.0.

Program Penyeragaman Harga

Satu lagi inisiatif yang akan diteruskan adalah peruntukan sebanyak RM200 juta iaitu Program Penyeragaman Harga khususnya bagi menampung kos pengangkutan dan kos pengedaran barang keperluan asas agar rakyat di kawasan pedalaman dan pulau-pulau dapat menikmati harga sama dengan pengguna di bandar.

Manfaat program ini akan diperluaskan ke 23 kawasan baharu termasuk di Sabah dan Sarawak.

Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi

KPDNHEP juga akan melakukan peningkatan penguatkuasaan melalui kolaborasi dengan semua agensi penguatkuasaan supaya ketirisan barang bersubsidi dapat dikurangkan.

Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi ditubuhkan supaya mereka mengumpul semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai bagi merangka strategi serta mengkoordinasi tindakan menyelesaikan isu-isu berkaitan inflasi, khususnya mengawal kenaikan harga barang secara lebih efisien dan berkesan.

Membantu penduduk luar bandar

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan mengumumkan peruntukkan RM200 juta bagi menampung kos pengangkutan dan edaran barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gas LPG, petrol dan diesel untuk penduduk luar bandar.

Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI)

Program ReDI adalah salah satu program berimpak tinggi dari KPDNHEP bagi memastikan agenda digitalisasi khususnya penggunaan e-dompet dalam kalangan pengguna dan peniaga diperluaskan ke kawasan luar bandar.

Bagi menggalakkan pembayaran tanpa tunai ini, kerajaan menawarkan inisiatif e-voucher Program Jualan Malaysia yang boleh dimuat turun melalui aplikasi MySales Tracker KPDNHEP sehingga 31 Disember 2022.

MySales Tracker memudahkan semakan pembelian

Aplikasi MySales Tracker yang dibangunkan di bawah KPDNHEP adalah bertujuan untuk memberikan kemudahan kepada pengguna untuk membuat semakan aktiviti jualan murah di sekitar mereka. Anda boleh memuat turun MySales Tracker dari Google Play Store atau dari App Store.

Selari dengan itu, KPDNHEP akan bersama kerajaan merancang program dan inisiatif yang perlu bagi melaksanakan semua strategi yang wajar dan memanfaatkan bajet yang diperuntukkan sebaik-baiknya demi meningkatkan ekosistem perdagangan dalam negeri supaya terus berdaya saing dan berdaya-maju.

Ini juga didukung oleh peniaga beretika di samping memastikan kebajikan dan kepentingan pengguna terus dilindungi.