Ahli Parlimen DAP RSN Rayer mengemukakan beberapa perkara yang disifatkannya sebagai “soalan mudah” kepada PAS berhubung peningkatan cabutan khas loteri kepada 22 kali setahun di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

Soalan ahli parlimen Jelutong itu susulan penjelasan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan bahawa cadangan meningkatkan jumlah cabutan itu tidak pernah dibawa ke kabinet oleh menteri kewangan ketika itu, Tengku Zafrul Abdul Aziz, dan PAS hanya membantah selepas mengetahui keputusan tersebut sudah dibuat.

Dengan mengandaikan penjelasan itu benar, “soalan mudah” utama Rayer ialah: “Mengapa PAS tidak segera keluar daripada kerajaan selepas itu?”

“PAS tidak boleh sekarang menggambarkan dirinya sebagai pemerhati yang tidak berdaya dan tidak mempunyai kuasa, sedangkan pada masa sama mendakwa menjadi sebahagian daripada kerajaan yang dasarnya kononnya dianggap tidak boleh diterima.

“Jika peningkatan cabutan khas loteri benar-benar bertentangan dengan prinsip PAS, mengapa PAS kekal dalam kerajaan selepas mengetahui keputusan itu sudah dilaksanakan?” katanya kepada Malaysiakini.

Rayer kemudian mengemukakan tiga lagi “soalan mudah”: Mengapa PAS tidak menuntut keputusan itu dibatalkan serta-merta? Mengapa PAS tidak mendesak perdana menteri campur tangan? Dan mengapa PAS tidak mengumumkan secara terbuka bahawa parti itu tidak lagi boleh kekal dalam kerajaan yang didakwa memperluas peluang perjudian tanpa kelulusan kabinet?

Ahli parlimen DAP itu turut mempersoalkan sama ada keputusan PAS untuk kekal dalam kerajaan selepas pelaksanaan 22 cabutan khas berkenaan boleh dianggap sebagai “sekurang-kurangnya, keakuran politik, kalau bukan sokongan dan persetujuan secara tersirat terhadap dasar tersebut?”

‘Mengapa baru merungut selepas semuanya berlaku?’

Rayer berhujah dakwaan Takiyuddin bahawa PAS hanya menyuarakan bantahan selepas mengetahui keputusan tersebut menimbulkan lebih banyak persoalan.

Dia mengingatkan bahawa PAS bukan pembangkang ketika itu dan menteri daripada parti berkenaan merupakan sebahagian daripada kerajaan, dengan akses kepada perdana menteri, kabinet dan jentera kerajaan.

“Jika dasar itu begitu tidak boleh diterima, kekal dalam kerajaan sambil sekadar mengemukakan bantahan secara dalaman tidak boleh disamakan dengan memikul tanggungjawab politik.

“Sementara itu, Zafrul menegaskan pengembalian had 22 cabutan ketika tempoh Covid-19 merupakan tanggungjawab bersama kabinet, termasuk menteri daripada PAS,” katanya.

Bekas menteri kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz

Rayer berkata keadaan itu menyebabkan rakyat Malaysia berdepan dua penjelasan yang pada asasnya bercanggah.

“Jika Zafrul betul, PAS tidak boleh melepaskan diri daripada prinsip tanggungjawab bersama kabinet. Jika Takiyuddin betul, PAS mesti menjelaskan mengapa parti itu terus menyokong dan menyertai kerajaan selepas mengetahui dasar yang didakwa ditentangnya sudah dilaksanakan tanpa kelulusan kabinet.

“Walau apa pun, PAS tidak boleh sekarang menulis semula sejarah dan menggambarkan dirinya sebagai pemerhati yang tidak bersalah,” tambahnya.

‘Makian’ perjudian

Angka 22 cabutan itu mula menjadi perhatian selepas setiausaha akhbar kanan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Tunku Nashrul Abaidah, membangkitkannya sebagai respons terhadap amaran Menteri Besar Kedah Sanusi Nor kepada perdana menteri.

Sanusi berkata rakyat Kedah akan “memaki” Anwar, yang juga menteri kewangan, jika dia gagal membantu menghapuskan perjudian di negeri itu.

Nashrul turut mengingatkan pemimpin PAS berkenaan bahawa Anwar yang mengurangkan jumlah cabutan khas kepada lapan kali.

Bagaimanapun, usaha Kedah mengharamkan premis perjudian berdepan halangan undang-undang selepas Mahkamah Rayuan memutuskan kawal selia perjudian dan loteri terletak secara eksklusif di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.

Mahkamah Persekutuan kemudian menolak permohonan kebenaran merayu, menyebabkan usaha kerajaan negeri membendung perjudian menemui jalan buntu di sisi undang-undang.

[Baca berita asal]