Ruang Bicara Khas Kestabilan dan Kemakmuran Bersama Perdana Menteri
Barisan Nasional (BN) yakin kemenangan akan meniup kepada mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berdasarkan penerimaan pengundi berbanding PRU14.
“Semasa PRU14, kita boleh kesan sejak awal lagi dengan melihat ('mood' berbeza) para pengundi, namun kali ini keadaannya berbeza. Bukan setakat dalam kalangan pengundi Melayu mahupun pengundi bandar, tetapi juga pengundi bukan Melayu, terutamanya kaum Cina juga sudah menampakkan penerimaan yang lebih bagus berbanding PRU14,” katanya.
Perdana Menteri juga ditanya apakah yang beliau akan tawarkan bagi tempoh lima tahun akan datang sekiranya diberi peluang memimpin negara selepas PRU15.
Sejajar dengan manifesto BN

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, apa sahaja yang beliau akan lakukan selepas ini mestilah sejajar dengan manifesto BN dan ini termasuk Jemaah Menteri yang dilantik juga perlu kuat dan merangkumi kepelbagaian bagi menstabilkan politik dan tumpuan membangunkan ekonomi.
Walaupun negara dijangka berdepan cabaran ketidaktentuan ekonomi yang tinggi pada tahun hadapan, manifesto BN dengan slogan Kestabilan dan Kemakmuran bakal diteruskan dan kejayaan ekonomi akan kekal teras.
"Yang pasti, kejayaan ekonomi diteruskan. Itulah teras dia. Untuk negara kita, perkara yang penting adalah kestabilan dan kemakmuran dari segi ekonomi kerana kita tahu bahawa situasi tahun hadapan, ketidaktentuan ekonomi agak tinggi dan ia adalah cabaran besar kepada kita," katanya.
Memberi fokus kepada kos sara hidup rakyat
Kedua, isu besar yang menjadi perbualan rakyat hari ini adalah kos sara hidup.
“Walaupun kita telah mengadakan Jawatankuasa Jihad Perangi Inflasi dan sebagainya, kita masih akan menambah baik setiap kelemahan kerana yang paling penting bagi rakyat adalah isu harga barang yang perlu diberi perhatian”
Tingkatkan peluang pekerjaan untuk golongan muda
Tambah beliau, kerajaan perlu terus memberi tumpuan terhadap isu yang dihadapi golongan muda, terutama dari segi peluang mendapatkan pekerjaan.
"Menerusi Program Jamin Kerja kita berjaya dan sasaran kita adalah 600,000 peluang pekerjaan untuk tahun ini serta program mengurangkan pengangguran akan diteruskan walaupun kita sudah mencapai 3.6 peratus," katanya.

Mengecilkan kabinet
“Saya akui memang terlalu besar dan pastinya saya akan mengecilkannya. Daripada segi kepelbagaian kepakaran, saya akan menjadikannya sebagai panduan untuk membentuk Kabinet nanti. Bukan sahaja terdiri daripada ahli politik tetapi daripada segi teknokrat juga akan turut dimasukkan”
Memperkasakan semua agensi dan jabatan kerajaan
Terdapat banyak rungutan tentang kerenah birokrasi yang melampau dalam jabatan kerajaan. Kadang-kala ini menghindarkan kemasukan pelabur asing ke negara kita. Jika dibandingkan dengan negara lain, setiap kelulusan itu terpaksa menunggu lama (di negara kita). Kerenah birokrasi ini perlu diberikan fokus.
Mengubah dasar luar
"Dasar luar kita juga mesti diubah kerana suatu ketika dahulu, kehadiran Malaysia di luar negara dengan dasar luarnya amat dirasai. Tetapi mungkin akhir-akhir ini ia agak kurang, mungkin disebabkan masalah COVID-19. Kita perlu dilihat lebih aktif dan kehadiran kita dalam memperjuangkan isu besar (perlu) yang dirasai oleh dunia," ujarnya.
Membangunkan Sabah dan Sarawak
Beliau turut menyentuh mengenai tumpuan membangunkan Sabah dan Sarawak daripada segi pembangunan infrastruktur, meningkatkan ekonomi dalam kalangan rakyat Sabah dan Sarawak. Peruntukan Bajet 2023 akan banyak memberikan kelebihan kepada kedua-dua negeri itu.
Katanya, selain menyiapkan projek besar seperti Lebuh Raya Pan Borneo, kerajaan juga akan memberikan keutamaan kepada penyediaan kemudahan di luar bandar termasuk jalan-jalan kampung.
Beliau berharap semua rakyat akan keluar mengundi pada 19 November ini dan membuat perbandingan parti yang mana yang dilihat mampu membawa Malaysia ke arah lebih cemerlang.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/a28386286ff9c44c591fb67365bbd250.png)
