Ismail Sabri minta rakyat buat pilihan bijak utamakan kestabilan
Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menjawab beberapa soalan mengenai beberapa isu yang diutarakan oleh pelbagai pihak berhubung Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan misi memimpin negara.
Beliau berkata, strategi Barisan Nasional (BN) untuk menguasai kawasan panas dan kubu kuat pembangkang terutamanya di kawasan calon BN bertembung dengan calon ‘heavyweight’ pembangkang juga jelas menunjukkan keyakinan gabungan itu.
BN yakin barisannya mampu menewaskan sesiapa sahaja termasuk nama besar daripada pembangkang.
“Kalau kita lihat di Parlimen Sungai Buloh, kekalahan BN waktu itu adalah lebih daripada 20,000 (majoriti). Waktu itu, calon bukan daripada UMNO sedangkan kawasan itu adalah kawasan majoriti Melayu.
“Ini merupakan suatu cabaran kepada orang Melayu yang meminta kerusi itu diberikan kepada UMNO. Apabila kita berikan kepada UMNO, maka tidak ada alasan lagi bagi mereka untuk merampas kerusi tersebut kerana mereka kata “kalau diberikan kepada UMNO, kita boleh memenanginya.
“Sebab itulah bagi kita, soal ‘nama besar’ mereka bukan menjadi halangan untuk kita bekerja kuat bagi memastikan kemenangan. Inilah yang saya sebutkan strategi dan keyakinan UMNO dalam memenangi satu-satu kerusi yang ditandingi,” ujar beliau.
BN akan lebih menumpukan kepada ‘produk’ dan tawaran kepada rakyat dalam usaha menarik lebih ramai sokongan lagi untuk membentuk kerajaan.
Katanya, ini kerana beliau percaya manifesto yang dikemukakan BN jauh lebih baik berbanding parti lain kerana sebahagian besarnya adalah daripada bajet yang sudah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober lepas.
Ada empat calon Perdana Menteri yang dikemukakan oleh parti-parti bertanding pada PRU-15. Mengapa rakyat perlu mengundi YAB Dato’ Sri?
“Gambaran pentadbiran yang saya akan buat selepas PRU telah pun ada gambarannya sewaktu sebelum PRU. Saya mengambil kerajaan ini pada waktu yang sangat sukar. Kes COVID-19 sebanyak 24,000 sehari dengan kematian ratusan setiap hari.
“Katil di ICU hampir tidak mencukupi, ekonomi dalam keadaan yang amat teruk kerana sektor ekonomi telah ditutup hampir sepenuhnya. Perebutan kuasa di dalam politik daripada segi kestabilan politik tidak ada sebab dua Perdana Menteri telah bertukar.
“Tapi cuba lihat dalam setahun empat bulan ini, apa pencapaian yang telah saya lakukan. Daripada segi COVID, 24,000 (kes), akhirnya kita menjadi salah satu negara terbaik dalam menyelesaikan isu COVID-19 apabila vaksinasi kita menjadi salah satu yang tertinggi daripada peratusan rakyat yang mendapatkan vaksin berbanding dengan negara-negara lain,” ulas beliau.
Selain itu, ekonomi negara ketika itu juga terjejas, tetapi Bank Negara mengisytiharkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga kita mencapai 14.2 peratus, menjadikan negara kita sebagai salah satu negara yang terbaik daripada segi pencapaian KDNK. Daripada 5 paratus pada suku pertama menjadi 8.9 peratus pada suku kedua dan meningkat 14.2 peratus pada suku ketiga tahun ini.
Apa lagi YAB Dato’ Sri boleh beri kepada pengundi?

Berjaya menstabilkan politik negara
“Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kita yang kerajaan bersama pembangkang boleh duduk semeja menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) supaya diwujudkan gencatan senjata di dalam negara yang menjadikan politik stabil ketika itu. Malah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan diluluskan dengan sokongan semua pihak secara sebulat suara,” katanya.
“Undang-undang Anti Lompat Parti yang tidak pernah diluluskan, sudah lama kita cakap soal lompat parti. Waktu saya, ia diluluskan dengan begitu tenang dan tidak ada bantahan daripada sesiapa pun. Akhirnya politik negara dapat distabilkan.
“Berbanding dengan yang lain, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah dapat membuktikan kejayaannya sebagai Perdana Menteri. Tun Dr Mahathir Mohamad yang memerintah selama 22 bulan digulingkan oleh parti gabungan mereka sendiri. Selepas itu Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi selepas 18 bulan juga tumbang.
“Walaupun saya 15 bulan (mentadbir negara), tetapi tidak ada dibubarkan oleh sesiapa. Jadi saya nak beritahu, kalau sepanjang tempoh itu saya boleh menyelesaikan pelbagai isu yang dibangkitkan, cubalah beri saya lima tahun. Banyak perkara yang boleh saya lakukan,” ulas beliau.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/414897152c6f3b226c4ff8142d0b111d.png)
