DYTM Raja Muda Perlis sanjungi komitmen kemasyarakatan McDonald’s Malaysia
Keprihatinan terhadap golongan memerlukan sentiasa menjadi pegangan nilai kemasyarakatan McDonald’s Malaysia di seluruh negara tanpa mengira kaum dan agama. Kali ini, McDonald’s Malaysia berkunjung ke Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis untuk meneruskan tanggungjawab sosial mereka.
Program Kayuhan MAIPs Peduli
Berganding bahu bersama Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia), dengan kerjasama Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), McDonald’s Malaysia mempergiatkan lagi inisiatif komunitinya di Perlis melalui ‘Program Kayuhan MAIPs Peduli’ yang turut diserikan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis.
Pek Kembali ke Sekolah
Antara tumpuan program yang berlangsung untuk kali ke-6 ini adalah penyampaian sumbangan Pek Kembali ke Sekolah kepada 250 kanak-kanak sekolah rendah daripada latar belakang keluarga kurang berkemampuan, ihsan bernilai sejumlah RM250,000 daripada McDonald’s Malaysia dan RMHC Malaysia, dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis.
“Menyantuni golongan masyarakat yang memerlukan termasuk anak yatim dan golongan asnaf adalah satu kewajipan bagi mereka yang berkemampuan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan syarikat korporat terkemuka seperti McDonald’s Malaysia, dan organisasi bukan berasaskan keuntungan seperti RMHC Malaysia,” titah DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra, yang juga merupakan Yang Dipertua MAIPs.
Mengurangkan beban keluarga dan memupuk pembelajaran
Tujuan sumbangan ini adalah untuk meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan di samping memupuk semangat belajar sempena ketibaan sesi persekolahan baharu pada tahun hadapan bagi kesemua kanak-kanak sekolah tersebut. Setiap Pek Kembali ke Sekolah mengandungi set alat tulis, buku-buku latihan dan botol air.
Teladan kemasyarakatan korporat
“Ini bukanlah kali pertama beta bersama pihak McDonald’s Malaysia dan RMHC Malaysia mendekati warga Perlis yang memerlukan, malah ia sudah menjadi satu acara masyarakat yang beta akan turut serta setiap kali mereka menyampaikan hasrat untuk berkunjung ke negeri Perlis. Besar harapan beta agar hubungan baik yang terjalin ini dapat dikekalkan demi kesejahteraan rakyat di negeri ini,” titah baginda agar inisiatif kemasyarakatan sebegini dapat dicontohi oleh syarikat korporat yang lain.
Program kayuhan yang berlangsung di sekitar Kampung Seberang Ramai turut menziarah dan menyampaikan sumbangan makanan McDonald’s kepada 30 keluarga asnaf di sana.

Meningkatkan kesejahteraan anak-anak yatim
Selain itu, demi meningkatkan keselesaan kediaman anak-anak yatim Teratak Rahmat, Persatuan Al Islah Perlis, McDonald’s dan RMHC Malaysia turut menghulurkan sumbangan set kelengkapan bilik tidur berupa tilam, bantal, dan cadar baharu bernilai sejumlah RM15,000 kepada pusat kebajikan tersebut.
Penglibatan aktif dalam usaha kemasyarakatan
Mengulas mengenai penglibatan aktif McDonald’s Malaysia dalam usaha menyantuni masyarakat yang memerlukan, Dato’ Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia, merangkap Presiden, RMHC Malaysia berkata:
“Negeri Perlis sudah menjadi satu lokasi yang wajib dikunjungi oleh kami pada setiap hujung tahun, berikutan hubungan baik yang telah terbina sejak sekian lama. Inisiatif kemasyarakatan sebegini merupakan nilai teras McDonald’s Malaysia, dan mendapat sokongan sepenuhnya daripada badan kebajikan pilihan kami, iaitu RMHC Malaysia. Sebagai sebuah syarikat korporat terkemuka, kami ingin terus mewujudkan impak positif dalam kalangan masyarakat, lebih-lebih lagi komuniti di sekitar lokasi operasi kami.”
Keprihatinan terhadap segenap masyarakat
Beliau menekankan bahawa McDonald’s Malaysia sentiasa berusaha memelihara kesejahteraan komuniti kurang berkemampuan dan kurang bernasib baik termasuk golongan kanak-kanak dan tua agar mereka tidak terpinggir.
Demi membantu golongan masyarakat yang memerlukan di seluruh negara, McDonald’s Malaysia dan RMHC Malaysia melaksanakan sekitar 10,000 aktiviti kemasyarakatan setiap tahun.
Sumbangan zakat korporat
Sementara itu, McDonald’s juga telah menunaikan zakat korporatnya sebanyak RM100,000 kepada MAIPs bagi tahun 2022, yang diagihkan kepada golongan asnaf yang layak.
Secara keseluruhannya, ketiga-tiga program yang berlaku pada hari yang sama tersebut menyaksikan McDonald’s Malaysia dan RMHC Malaysia membuat sumbangan sejumlah RM365,000, bagi membantu golongan yang memerlukan di negeri Perlis.
Mendekati masyarakat
“McDonald’s Malaysia dan kakitangannya sentiasa tekun melaksanakan inisiatif kemasyarakatan sepanjang tahun,” ikrar Dato’ Azmir Jaafar.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/12/c58819528d656e3eaa3102ffc97f117d.png)
