Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kandungan Berjenama
Kembalikan hak kepada orang yang berhak menerima
Diterbitkan:  Dec 17, 2022 4:42 PM
Dikemaskini: 8:42 AM

Zakat, kedengaran sesuatu yang kecil, namun mempunyai kandungan makna dan tanggungjawab yang besar terhadap semua ummah. Zakat yang terdiri daripada salah satu rukun Islam yang kelima, yang disyariatkan oleh Allah SWT mempunyai pelbagai hikmah dan kebaikan bagi kepentingan orang Islam, terutamanya golongan Asnaf. PPZ-MAIWP bermatlamat untuk mengeluarkan golongan-golongan asnaf daripada kemiskinan dengan bayaran zakat daripada umat Islam. 

Bagi perihal zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menubuhkan dua buah organisasi yang berbeza bagi pengutipan serta penagihan zakat bagi kemudahan ummah. Bagi memudahkan orang ramai untuk menunaikan zakat, Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) telah mendukung tanggungjawab yang penting bagi perihal pengurusan pengutipan zakat sebelum menyalurkan kutipan tersebut bagi pengendalian zakat kepada asnaf terpilih. 

Penolong Pengurus Besar Penyelidikkan & Pembangunan PPZ-MAIWP, Haji Khairulazhar Samsuddin menyatakan bahawa organisasi ini juga menjadi kenderaan utama bagi usaha penyebaran kesedaran dalam menyeru umat Islam yang berkemampuan dari segi syarat-syarat yang ditetapkan bagi menunaikan kewajiban zakat melalui program yang dilaksanakan oleh organisasi ini. 

Persamaan dan perbezaan antara kewajipan zakat dan cukai

“Apabila mengujar persoalan zakat dan cukai, secara kasarnya dua perihal ini dilihat mempunyai perbezaan ketara dimana cukai dilaksanakan bagi tanggungjawab rakyat terhadap negara, manakala zakat pula ialah tanggungjawab kepada agama. Namun, apabila diteliti secara halus, kedua ini terdapat dalil yang sama mengenai tanggungjawab dan amanah yang harus dipatuhi”, ujar Haji Khairulazhar. 

Persamaan seterusnya juga boleh dilihat dari segi kutipan dan agihan. Bagi cukai yang dibayar oleh individu atau syarikat secara berwajib kepada pemerintah sesebuah negara sepertimana yang ditetapkan undang-undang adalah penting bagi pembangunan negara. Namun, bagi zakat pula kutipan tersebut akan diagihkan kembali kepada orang miskin dan fakir serta asnaf zakat yang lain. Asnaf zakat, selain orang miskin dan orang fakir ialah Amil, Muallaf, Ar-Riqab, Al-Gharimin, Fisabilillah dan Ibnu Sabil. 

Namun, masih terdapat segelintir yang keliru akan perbezaan antara zakat dan cukai. Walaupun pembayaran zakat telah dilaksanakan oleh seseorang individu tersebut, maka cukai yang dibayar tersebut tidak menghapuskan kewajiban zakat ke atas individu tersebut. Dengan kata lain, tanggungjawab berzakat masih perlu dilaksanakan bagi orang Islam yang cukup syarat.

Rebat cukai dengan zakat

Malaysia adalah negara yang menawarkan undang-undang bagi kelonggaran kepada para pembayar zakat serta cukai menerusi Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, Seksyen 6A (3).

Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, Seksyen 6A (3) menyebut, “Rebat hendaklah diberikan pada tahun-tahun taksiran untuk sebarang bayaran zakat fitrah atau lain-lain tuntutan agama Islam yang mana pembayarannya wajib dan yang telah dibayar dalam tahun asas bagi tahun taksiran itu dan dibuktikan oleh resit yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama yang berkenaan yang ditubuhkan mengikut undang-undang bertulis”.

Rebat secara umumnya bermaksud jumlah cukai yang akan dikurangkan dengan pembayaran zakat yang dibuat. Jadi, semakin banyak berzakat, semakin sedikit cukai yang akan dibayar. Jika amaun zakatnya menyamai atau melebihi cukai, maka pembayar zakat tidak lagi perlu membuat pembayaran cukai pendapatannya. 

Namun, pembayaran zakat ini harus dilaksanakan dalam tahun semasa taksiran bagi mendapatkan rebat ini, umat Islam perlulah melunaskan zakat selewat-lewatnya 31 Disember pada setiap tahun, sebagaimana tahun semasa taksiran dilakukan. Jadi, segala transaksi zakat yang dilakukan perlu disimpan oleh individu tersebut bagi dokumentasi kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM). 

Kaedah PPZ-MAIWP bagi kemudahan pembayaran zakat

Sebagai agensi induk pungutan zakat di Wilayah Persekutuan, PPZ-MAIWP proaktif dalam memperkenalkan alternatif dan cara bagi memudahkan orang ramai melaksanakan kewajiban zakat. 

“Selain Portal PPZ-MAIWP sebagai saluran bayaran utama zakat, PPZ-MAIWP turut menyediakan 10 Kaunter PPZ-MAIWP yang dibahagi kepada tiga kawasan iaitu Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Labuan. Terdapat juga Kaunter Zakat Bergerak, Kaunter Zakat Digital, Skim Potongan Zakat Bulanan (Skim PZB), Aplikasi MyZakat, Kaunter Bank, Perbankan Internet dan juga Ejen-ejen lain yang dilantik bagi kemudahan orang ramai”, katanya. 

Haji Khairulazhar juga menyatakan hasrat PPZ-MAIWP dalam kekal aktif bagi aktiviti  perkembangan akan kepentingan zakat kepada umat Islam dan juga negara setiap tahun. Pelbagai aktiviti seperti kempen, program, dakwah dan banyak lagi yang dijalankan secara ‘online’ dan ‘physical’ akan diteruskan dan diperbanyakkan demi memupuk kesedaran yang lebih dalam terhadap zakat. 

Bagi menyempurnakan pengakhiran tahun 2022, pihak PPZ-MAIWP mengajak orang Islam untuk melaksanakan tanggungjawab pembayaran zakat selewat-lewatnya 31 Disember 2022. Untuk maklumat lanjut berkenaan zakat, orang ramai boleh mengunjungi portal rasmi PPZ-MAIWP di www.zakat.com.my. Sebarang pertanyaan boleh emelkan kepada [email protected] atau hubungi talian zakat 1 300 88 5757. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS