MOSTI Sedia Tingkat Kerjasama dengan Sarawak, Memacu sebagai Hab Hidrogen Hijau
Persidangan dan Pameran Hidrogen Hijau Asia Pasifik (APGH) 2024 berpotensi menjadi platform terbaik untuk meletakkan Sarawak di barisan hadapan dalam industri tenaga hijau.
Dalam forum ‘The Future of Borneo in Green Hydrogen anjuran APGH 2024’, Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan potensinya sebagai pengeluar hidrogen hijau berikutan usahanya untuk muncul sebagai peneraju ekonomi hidrogen menjelang 2050.
Manfaatkan penyelidikan dan pembangunan hidrogen hijau
“Kerajaan persekutuan boleh memanfaatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) hidrogen hijau yang dilakukan oleh Sarawak. Malah, kita juga boleh menarik pelaburan terhadap pengeluaran, pengagihan dan aplikasi hidrogen hijau untuk menyerlahkan ekonomi hidrogen”
“MOSTI mengalu-alukan syarikat tempatan atau luar negara menjadi rakan kongsi dalam projek pembangunan teknologi hijau. Sebagai contoh, bagaimana untuk menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran hidrogen,” katanya.
Menurunkan kos pengangkutan

“Terdapat pemain industri yang bersedia menggunakan hidrogen hijau, terutamanya industri berat, tetapi kita perlu menurunkan kos pengangkutan. Memandangkan Sarawak kini sedang mengeksportnya ke Korea dan Jepun, saya yakin kedua-dua negara sedang berusaha untuk menurunkan kos agar ia dapat mencapai tahap yang mampu dibeli oleh beberapa industri tempatan kita,” kata beliau.
Beliau menyarankan agar semua pihak berkepentingan memanfaatkan kolaborasi quadruple helix agar segala inisiatif selari dengan Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen Negara.
Pembangunan bakat dalam sektor hidrogen hijau
“Untuk melengkapkan dan membangunkan keseluruhan ekosistem, bakat merupakan kunci. Di Malaysia, kita masih berada pada tahap awal dalam menarik bakat dalam sektor ini,” katanya.

Pembangunan hidrogen hijau di Sarawak boleh memberi faedah tidak langsung kepada Putrajaya dalam bentuk pendapatan dari cukai yang dikenakan ke atasnya, dengan itu mencipta situasi “win-win” bagi kedua-dua pihak, kata Datuk Dr Hazland Hipni, Timbalan Menteri Tenaga dan Kestabilan Alam Sekitar.
Beliau berkata negeri itu mempunyai sumber semulajadi yang diperlukan untuk membangunkan industri hidrogen berbanding di Semenanjung Malaysia, yang masih belum menemui tenaga hijau untuk menghasilkan hidrogen.
Platform unik untuk pihak berkepentingan menjalin rangkaian
APGH 2024 menampilkan program yang meluas, termasuk ucaptama, perbincangan panel, sesi teknikal, dan pameran komprehensif yang memaparkan kemajuan terkini dalam teknologi hidrogen hijau. Sebanyak 95 organisasi global mengambil bahagian dalam pameran ini dengan kira-kira 500 delegasi tempatan dan antarabangsa dari lebih 20 negara.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, persidangan dan pameran ini mampu memupuk kerjasama dan akses teknologi dalam industri berkenaan buat pemain industri terutama di negeri ini.
Selain itu katanya, persidangan ini dapat membantu mencari jawapan mengenai penggunaan hidrogen dalam pelbagai bentuk, termasuk kemungkinan pengangkutan hidrogen dalam bentuk gas di dalam tangki.
"Justeru, harapan saya adalah agar mereka dapat berinteraksi dengan kami dan pada masa yang sama mendapatkan teknologi terbaru yang tersedia," katanya.Pada majlis berkenaan, sebanyak lapan memorandum persefahaman (MoU) dimeterai yang disaksikan oleh beliau.
Untuk maklumat lanjut tentang APGH 2024, layari www.hydrogenapac.com.
Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi advertise@malaysiakini.com atau advertise@fgmedia.my.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/06/12adcdf7857dd3c1dc74ece308dfc4ac.png)
