14 April lalu, genaplah 10 tahun tragedi “Black 14” di negara kita. Pada har itu tahun 1999, rakyat turun ke jalan raya untuk membantah perbicaraan yang tidak adil terhadap Anwar Ibrahim oleh regim Dr Mahathir Mohamad.

Pada ketika itu juga kita dapat saksikan bagaimana regim itu menggunakan polis untuk menyuraikan perhimpunan aman rakyat yang membantah ketidakadilan dengan kekerasan.

Peristiwa Black 14 tersebut akhirnya membuka mata rakyat Malaysia mengenai kebobrokan pemerintahan negara yang diterajui Umno-BN. Dan tragedi itu juga meyakinkan rakyat Malaysia bahawa Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain perlu bersatu untuk melawan kezaliman pemerintah.

Keganasan yang dilakukan oleh polis pada peristiwa Black 14 itu juga membuktikan bahawa kezaliman berlaku terhadap rakyat pelbagai kaum. Pasti ramai yang masih teringat tentang gambar Tian Chua dan aktivis-aktivis reformasi yang lain berlumuran darah kerana dipukul oleh polis.

Keganasan polis tidak mengenal Melayu dan bukan Melayu. Keganasan polis berlaku terhadap semua kaum. Sekurang-kurangnya, inilah satu daripada beberapa perkara penting yang dapat dipelajari daripada tragedi Black 14.

Setelah 10 tahun, peristiwa Black 14 berlalu, Dr Mahathir kembali berkuasa. Semasa pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi, Dr Mahathir tidak dapat berbuat apa-apa kerana Khairy Jamaluddin menjadi penghalang utama.

Kini setelah Abdullah berundur dan digantikan oleh Najib Razak sebagai perdana menteri keenam, pengaruh Dr Mahathir kembali menguasai pentadbiran kerajaan. Ini dapat dilihat apabila Najib membentuk kabinetnya.

Najib secara terang-terangan menunjukkan bahawa beliau hanyalah boneka Dr Mahathir apabila melantik Mukhriz Mahathir - yang kalah dan mendapat tempat yang paling tercorot dalam perlawanan merebut jawatan ketua Pemuda Umno - menjadi timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri.

Sedangkan Khairy yang memenangi jawatan ketua Pemuda Umno tidak dinamakan untuk menganggotai kabinetnya.

Sebelum Najib mengumumkan barisannya, Dr Mahathir secara terang-terangan telah menulis dalam blognya bahawa beliau tidak mahu seseorang yang tercemar dengan imej politik wang dilantik menganggotai kabinet baru Najib.

Jadi tidak salahlah jika sesetengah pihak menamakan kabinet baru sebagai kabinet "Mahajib", singkatan kepada Mahathir-Najib.

Tahun ini, tidak ada lagi kedengaran daripada mana-mana pihak termasuk PKR sendiri untuk menyambut perayaan Black 14 yang kesepuluh. Lebih menyedihkan lagi, PKR dan Pakatan Rakyat telah menguasai Selangor dan beberapa negeri di Semenanjung.

Seharusnya, Black 14 menjadi upacara tahunan sekurang-kurangnya di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat. Dengan sambutan tragedi Black 14, rakyat dapatlah diingatkan mengenai kezaliman pemerintah dan perjuangan rakyat yang bangkit untuk melawan.

Di negara seperti Korea Selatan, mereka begitu menjaga tanggal-tanggal dan peristiwa-peristiwa penting seperti ini. Tarikh 18 Mei menjadi satu tarikh keramat untuk memperingati kebangkitan rakyat Gwangju pada 1980 untuk melawan regim diktator Chun Doo Hwan, sekaligus pemangkin perjuangan rakyat untuk mendapatkan demokrasi.

Kerajaan Korea Selatan menubuhkan Yayasan Memperingati 18 Mei (The May 18 Memorial Foundation) untuk melaksanakan program-program untuk memberi pendidikan kepada rakyat Korea Selatan dan masyarakat antarabangsa mengenai pengorbanan rakyat Gwangju terhadap pembangunan demokrasi di negara tersebut.

Walaupun peristiwa Black 14 tidaklah sehebat kebangkitan 18 Mei 1980 di Korea Selatan, namun ia perlulah juga diingati dan dikenang. Ia tetap penting agar generasi baru tahu mengenai perjuangan dan kebangkitan rakyat yang pernah berlaku di Malaysia.

Black 14 juga penting agar dapat mengingatkan rakyat Malaysia bahawasanya perjuangan mereka masih belum selesai. Apa yang mereka lawan sepuluh tahun lalu masih lagi kuat bertapak.

Dr Mahathir masih lagi menguasai pemerintahan negara walaupun kini muncul dalam bentuk baru. Najib Razak adalah boneka kepada Dr Mahathir yang sejak awal lagi memberikan isyarat yang jelas kepada rakyat Malaysia bahawa Mahathir telah kembali.

Tahun lalu semasa ulang tahun kesembilan Black 14, lebih 20,000 rakyat pelbagai kaum berhimpun di Kampung Baru untuk mendengar amanat Anwar yang pada ketika itu secara sah telah "habis pantang" boleh bertanding dalam pilihanraya.

Mengapa Black 14 sudah tiada tahun ini? Bukankah sudah ada tempat-tempat seperti Stadium Melawati dan Stadium Shah Alam yang boleh digunakan? Apakah Black 14 telah dilupakan?