Membukakan minda yang tidak terbuka
Dalam ucapan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di majlis perasmian persidangan Isu dan Proses Pembukaan Minda Umat Melayu/Islam anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka di Kuala Lumpur pada 29 Januari 2002, beliau berkata:
Kita memilih tajuk ini tentulah kerana kita berpendapat bahawa minda Melayu/Islam tidak terbuka atau kurang terbuka dan pembukaan minda Melayu/Islam akan menguntungkan kita, menjadikan kita manusia yang lebih baik, lebih berjaya mungkin.
Penulis tidak begitu bersetuju minda mana-mana kaum atau agama dianggap sebagai terbuka atau tertutup walaupun minda terbuka penting dan harus digalakkan dalam masyarakat pelbagai kaum, agama dan kebudayaan seperti di negara kita.
Tidak guna soal sikap dan minda terbuka hanya retorik semata-mata tanpa dipraktikkan, terutamanya sebagai dasar konkrit sebuah kerajaan yang memerintah. Contohnya, melarang pelajar Islam bertudung atau pelajar Sikh berserban - tidak kira di mana ia berlaku, oleh sesiapapun - merupakan diskriminasi agama oleh pihak berkuasa yang berminda tidak terbuka yang patut ditentang.
Pada masa yang sama, memaksa pelajar bukan Islam untuk bertudung/bersongkok atau memaksa pelajar bukan Sikh untuk berserban, juga merupakan diskriminasi agama yang patut ditentang, tidak kira di mana ia berlaku dan oleh sesiapapun.
Ia sedang berlaku di institusi pengajian tinggi awam kita di mana graduan bukan Islam dipaksa untuk bersongkok dalam majlis penganugerahan ijazah, sehingga ada yang memboikotnya.
Tema yang relevan
Baru-baru ini, 50 siswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di kampus Skudai, Johor, membuat bantahan beramai-ramai kerana pameran dan pertunjukan kebudayaan Cina yang disiapsediakan selama enam bulan terpaksa dibatalkan.
Difahamkan ia berikutan tindakan pihak Hal Ehwal Pelajar universiti itu menarik balik, pada saat-saat akhir, kebenaran penggunaan Dewan Sultan Iskandar di kampus itu sebagai tempat pameran dan pertunjukan itu dijadualkan berlangsung.
Alasan yang dikemukakan dianggap tidak munasabah, iaitu dewan berkenaan hanya boleh digunakan untuk tujuan akademik.
Pameran dan pertunjukan kebudayaan tersebut sempana Tahun Baru Cina merupakan aktiviti tahunan yang telah diadakan 10 tahun berturut-turut. Temanya pula meliputi sejarah kedatangan kaum Cina ke Malaysia, fahaman Konfusianisme, Seni Perang Sunzi, hari perayaan tradisi Cina, halatuju fahaman politik Cina Malaysia, pendidikan Cina Malaysia, kampung-kampung baru
Cina, refleksi mengenai kebudayaan Cina, refleksi mengenai kebudayaan konsumsi masyarakat kontemporari dan refleksi dan sorotan mengenai fahaman perkauman Malaysia.
Nyata sekali tema-tema tersebut bukan saja penting bagi siswa Cina khasnya, ia juga penting bagi siswa pelbagai kaum amnya. Ia sudah barang tentu merupakan tema yang relevan bagi dialog budaya yang sewajarnya digalakkan oleh institut pengajian tinggi awam (IPTA)
Unit perisik
Apa yang dikesalkan, inisiatif dan usaha siswa Cina UTM tersebut bukan saja tidak dihargai pihak universiti, malah dirintangi dengan sedaya upaya, sehingga aktiviti terbabit bagi tahun 1998 hingga 2000 dan tahun ini terpaksa dibatalkan.
Persatuan bahasa Cina, umpamanya, selalu tidak dibenarkan didaftar, kononnya ia merupakan aktiviti perkauman. Mengapa tidak menggalakkan siswa bukan Cina untuk mempelajari bahasa Cina supaya ia tidak merupakan aktiviti satu-satu kaum saja?
Sekiranya siswa bukan Cina tidak berminat mempelajari bahasa Cina, adakah aktiviti siswa Cina mempelajari bahasa ibundanya boleh dicap sebagai aktiviti perkauman?
Sekatan dan larangan pelajaran dan penggunaan bahasa dan kebudayaan bukan Melayu dalam kampus IPTA telah wujud berpuluh-puluh tahun. Ia sebenarnya merupakan pelaksanaan dasar bahasa, pendidikan dan kebudayaan BN dalam kampus yang pada asasnya merupakan hasil minda yang tidak terbuka.
Kini, warga kampus dan kakitangan kerajaan dikehendaki menandatangani surat akur janji, yang tujuan utamanya untuk mengawal mereka daripada terlibat dalam aktiviti yang dianggap anti-kerajaan dan anti-nasional.
Jika mereka hanya dibenarkan menyokong parti pemerintah dan terlibat dalam aktiviti pro-kerajaan, bolehkah manusia yang mindanya terbuka kepada propaganda dan kepentingan kerajaan sahaja dianggap sebagai manusia yang benar-benar berminda terbuka?
Andainya selain cawangan khas polis, pasukan keselamatan kampus, ditubuh pula unit perisik dalam IPTA untuk mengintip setiap gerak-geri warga kampus, adakah manusia yang hidup dalam suasana curiga-mencurigai ini dapat memupuk minda yang terbuka?
Tipu-helah parti
Mungkin dalam kacamata Dr Mahathir, parti PAS, yang merupakan Melayu/Islam, yang tidak atau kurang berminda terbuka.. Misalnya, parti itu dituduh ingin melaksanakan Negara Islam ala Taliban sekiranya ia mendapat kuasa pemerintahan.
Namun, adakah Dr Mahathir berminda terbuka dalam mengisytiharkan bahawa negara kita merupakan sebuah Negara Islam tanpa dibahaskan dalam Parlimen atau dipinda Perlembagaan Persekutuan?
Mungkinkah minda yang terbuka tidak sensitif dan peka terhadap hasrat dan hak rakyat bukan Islam yang merupakan hampir separuh penduduk negara kita?
Selama ini PAS sering dikritik kerana tidak memberi kedudukan setaraf kepada kaum wanita, termasuk tidak mengizinkan mereka bertanding dalam pilihanraya. Baru-baru ini, PAS telah mengumumkan bahawa parti itu akan menurunkan calon wanita dalam pilihanraya umum yang akan datang.
Aneh sekali, pihak yang mengkritik PAS, terutamanya Umno, bukan mahu mengalu-alukan perubahan PAS yang positif itu, sebaliknya, pelbagai andaian dilontarkan, termasuk menuduh ia sebagai tipu-helah parti semata-mata.
Umno dan pihak yang tidak mempercayai PAS memang berhak mengesyaki keikhlasan cadangan PAS untuk menurunkan calon wanita dalam pilihanraya umum akan datang. Namun membuat tuduhan melulu, tanpa pertimbangan lanjut, tidak boleh dianggap sebagai bersikap minda yang terbuka, bukan begitu?
Pemimpin PAS telah dicap sebagai manusia yang tidak berkemampuan untuk mengaku salah dan meminta maaf. Oleh itu, parti berkenaan dianggap tidak berkemampuan untuk membetuli kesalahannya sebelum ini yang tidak membenarkan ahli wanita untuk bertanding dalam pilihanraya umum!
Rasanya semua pihak, termasuk parti pemerintah dan parti pembangkang, perlu membuka minda yang tidak atau kurang terbuka. Ini adalah unsur yang penting sekali sekiranya mereka dapat terus maju dan diterima rakyat pelbagai kaum.

