Kisah mogok lapar saya
Pada 10 April 2002, genaplah 365 hari Tian Chua, Mohd Ezam Mohd Nor, Saari Sungib, Hishamuddin Rais, Dr Badrul Amin Bahron dan Lokman Noor Adam ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Mengikut Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yang dianggotai 81 organisasi badan bukan kerajaan (NGO), enam tahanan politik itu telah mengambil keputusan nekad untuk melancarkan mogok lapar pada hari tersebut, sekiranya mereka tidak dibebaskan atau dihadapkan di mahkamah.
Memandangkan perkembangan ini GMI mengambil keputusan untuk mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) memohon Suhakam supaya, pertama berusaha dengan apa juga cara dan kuasa yang ada padanya untuk membebaskan enam orang tahanan ISA ini dan tahanan-tahanan ISA yang lain; dan kedua segera menjalankan penyiasatan terhadap penahanan mereka di bawah ISA.
Sebagai sokongan kepada mogok lapar itu, GMI akan menyelaraskan mogok lapar di luar kem tahanan pada masa yang sama. Sebagai persediaannya, penulis ini bersama beberapa teman, selaku bekas pemogok lapar, telah diundang oleh GMI untuk berkongsi pengalaman dengan bakal pemogok lapar pada malam 7 April lalu.
Sepanjang tujuh tahun (1967-1974) sebagai tahanan politik, saya mengadakan empat kali mogok lapar, kali pertama dan kedua secara bersendirian, dan kali ketiga dan keempat secara kolektif. Mengimbas peristiwa tersebut, saya amat sedih atas sengsara tahanan politik sejak berpuluh tahun dahulu, dan berasa amat malu kerajaan Barisan Nasional (dahulu Kerajaan Perikatan) masih bergantung kepada ISA untuk menindas musuh politiknya!.
Layanan buruk
Pada 12 Jun 1967, saya ditahan di bawah ISA di Ladang Triang, Negeri Sembilan dan disoalsiasat di Balai Polis High Street Kuala Lumpur. Saya ditahan bersama pesalah jenayah yang lain.
Kami dilayan dengan buruk sekali. Bungkusan roti (untuk sarapan pagi) dan nasi (bagi makanan tengah hari dan malam) dicampak ke bilik penjara melalui cerah kekisi pintu, dan kole yang berisi teh juga ditolak satu persatu ke dalam bilik, seolah-olah memberi makan kepada anjing dan kucing.
Pada suatu pagi, kole yang ditolak kepada saya itu tumpah. Secara spontan saya mencapai kole itu, dan mencampaknya ke luar bilik. Lalu diumumkan bahawa saya tidak mahu makan lagi. Ketika itu rasanya maruah saya sebagai seorang tahanan politik telah dicabar.
Pada hari keesokan, pegawai cawangan khas datang menyiasat. Dia memberi jaminan akan menyelesaikan perkara tersebut dan seterusnya kami dibenarkan keluar untuk makan di perkarangan dengan lebih selesa dan bermaruah.
Kali kedua saya mogok lapar selama tiga hari pada 10 hingga 13 Ogos 1967 di Tempat Tahanan Khas Batu Gajah (TTK.Batu Gajah) di Perak. Masa itu, Kem Batu Gajah mempunyai tiga blok bangunan. Jika kita berdiri berhadapan dengan pintu besar TTK.Batu Gajah, Blok A terletak di tengah-tengah, Blok B di sebelah kanan manakala Blok C di sebelah kiri.
Saya ditahan di Blok A bersama-sama belasan aktivis pekerja dan kader Parti Buruh dan Parti Rakyat, serta puluhan tahanan yang terlibat dalam peristiwa konfrontasi Malaysia-Indonesia. Tahanan di Blok B kebanyakannya kader kedua-dua parti tersebut. Dan Blok C disediakan untuk tokoh politik terkenal seperti Ahmad Boestamam, Dr Burhanuddin Helmi, Dr Rajakumar, Hasnul Hadi, Tajuddin Kahar dan sebagainya. Jika tak silap, jumlah tahanan ketiga-tiga blok itu melebihi seratus orang.
Masa itu tahanan dirampas hak untuk berkumpul dan menjalankan aktiviti bersama, malah menyanyi juga dilarang.
Pada 10 Ogos 1967, ketika saya dan tiga tahanan lain sedang menyanyi di bilik kurungan, tiba-tiba kami diserbu dan ditahan sepasukan warden dan dibawa ke pejabat penjara. Saya membantah dan bertengkar dengan mereka. Selepas diserang, saya dikurung dalam bilik roti ( kerana hanya dibekalkan roti dan minuman) selama tiga bulan, dan sebagai hukumannya saya hilang hak untuk berjumpa keluarga dan surat-menyurat.
Teman-teman saya dalam Blok A tidak dapat berdiam diri. Mereka mengadakan mesyuarat tergempar dan seterusnya mencapai tiga resolusi, iaitu:
Tiga resolusi itu juga disokong tahanan Blok B dan Blok C. Bilik roti saya terletak dalam kawasan Blok C, dan Dr Rajakumar berjaya menyampaikan perkembangan terbaru tersebut kepada saya. Saya pun mengemukakan permintaan yang sama dan melancarkan mogok lapar tanpa had masa.
Setelah tiga hari mengadakan mogok lapar, pada 13 Ogos, saya dan wakil ketiga-tiga blok telah dipanggil ke pejabat, dan pengarah kem pun secara terbuka meminta maaf kepada saya di depan mereka. Beliau juga mengumumkan yang pihak berkuasa kem menerima kesemua permintaan kami.
Melalui perjuangan kali ini, kami telah memulihkan hak tahanan untuk menjalankan aktiviti bersama (termasuk menyanyi) dan berkumpul, dan hubungan antara blok juga mulai diakui pihak berkuasa. Apa yang tidak dapat saya lupakan ialah kelazatan makanan yang ditempah khas dari restoran oleh Dr Rajakumar bagi saya berbuka puasa, setelah saya menamatkan mogok lapar!
Mogok ketiga
Mogok lapar kali ketiga saya ialah ketika menyertai tindakan bersama yang melibatkan 118 tahanan politik (termasuk 14 tahanan wanita) di TTK Batu Gajah yang bermula pada 25 Mac 1968 selama 22 hari.
Seramai 58 tahanan dari Tempat Tahanan Muar, Johor turut menyertai mogok lapar tersebut pada 31 Mac itu. Lebih 600 tahanan politik di Sarawak juga melancarkan mogok lapar sehari untuk menyokong rakan seperjuangan mereka di TTK Batu Gajah.
Ia berpunca daripada tindakan pihak berkuasa kem menolak permintaan kami untuk menghantar telegram kepada rakan seperjuangan kami Chu Kui-hua yang lumpuh akibat dibelasah anggota unit simpanan persekutuan (FRU) semasa menyertai demonstrasi jalanan.
Masa itu beliau ingin bertolak ke negeri China untuk menjalani rawatan, dan kami ingin menghantar telegram untuk mengucapkan selamat jalan kepadanya.
Sebagai membantah tindakan pihak berkuasa kem itu, kami enggan masuk ke dalam blok ketika pintu besar hendak ditutup pada jam 7 malam. Setelah beberapa hari berkumpul di luar bangunan blok, kami diserbu anggota FRU pada 25 Mac, menyebabkan 37 tahanan mengalami kecederaan. Kami terpaksa melancarkan mogok lapar untuk mempertahankan keselamatan kami dalam kem.
Keluarga tahanan turut gigih menyokong kami. Pada 29 Mac, lebih 100 ahli keluarga tahanan berkumpul di luar TTK Batu Gajah, menuntut dibenarkan berjumpa kami. Peluru pemedih mata digunakan untuk menyurai ahli keluarga yang berkumpul secara damai, dan lebih 40 daripada mereka ditangkap dan ditahan hingga 4 April, sebelum dibebaskan dengan ikat jamin. Mereka telah mogok lapar selama tiga hari dalam tahanan untuk membantah keganasan pihak polis.
Pada masa itu, Parti Buruh dan Parti Rakyat masih kuat. Mereka melakukan demonstrasi jalanan di merata tempat dan memberi tekanan hebat kepada kerajaan dan pihak kem untuk menyelesaikan mogok lapar di TTK Batu Gajah dan Muar.
Mogok lapar tersebut ditamatkan setelah perundingan di antara pihak berkuasa kem dan wakil tahanan diadakan pada 17 April.
Pada hari berikutnya, delegasi pusat Parti Buruh mengadakan perundingan dengan perdana menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman di mana beliau bersetuju dengan 11 permintaan (kebanyakannya telah disetujui oleh pihak berkuasa kem dalam perundingan dengan wakil tahanan pada hari sebelumnya).
Antara permintaan itu ialah:
Kejadian 12.29'
Mogok lapar kali keempat adalah yang teruk sekali. Ia merupakan mogok lapar tahanan ISA yang paling lama 47 hari yang berlaku pada 29 Disember 1973.
Ia juga dikenali sebagai Kejadian 12.29'. (Sila rujuk kepada kisah Sengsara 47 hari, dibelasah FRU (III) yang disiarkan dalam kolum ini pada 12 September 2001 )
Peristiwa itu tercetus selepas kejadian membunuh diri oleh seorang teman seperjuangan bernama Wong Swee Sang. Wong mengidap penyakit tinnitus yang serius tetapi tidak mendapat rawatan perubatan. Beliau membunuh diri sebagai membantah seksaan pihak berkuasa terhadap tahanan ISA.
Saya nyaris cacat kerana luka teruk akibat serangan anggota FRU, dan berpuluh-puluh lagi tahanan turut cedera oleh keganasan pasukan yang sama. Kesemua pemogok telah pengsan berkali-kali, dan dibawa berulang-alik di antara Hospital Batu Gajah dengan Kem Batu Gajah.
Akhirnya mereka menjadi begitu lemah sekali, sehingga pihak Hospital Batu Gajah meminta Hospital Ipoh mengambil alih rawatan ke atas kesemua pemogok kerana tidak berani bertanggungjawab sekiranya mereka mati. Sekalipun berhenti mogok, kesihatan kebanyakan mereka masih dalam keadaan buruk bagi tempoh jangka panjang.
Pihak berkuasa yang didalangi polis cawangan khas hanya bersedia untuk menyelesaikan masalah pada saat akhir ketika pemogok berada dalam keadaan yang amat serius. Penyelesaian sering merupakan janji kosong, seperti bersetuju menyiasat keganasan FRU. Selama ini, tiada ada tindakan disiplin diambil ke atas seorang pun FRU atau warder yang mengganasi tahanan.
Tahanan tidak pernah mendapat satu sen pun sungguhpun pihak berkuasa kem bersetuju membayar gantirugi bagi kerosakan hartabenda milik mereka. Manakala pembaikan layanan dan kebajikan tahanan juga dinafikan dengan sebarang alasan. Bantahan besar-besaran sering dibangkitkan apabila bekalan bola bulu tangkis, bola pingpong, bola keranjang, kertas tandas, sabun, atau kasut sengaja diberhentikan atau dikurangkan.
Pengalaman mogok lapar tahanan politik tahun 60-an dan 70-an telah membuktikan ia merupakan senjata terakhir tahanan untuk mempertahankan maruah, hak asasi dan keselamatan fizikal mereka. Senjata itu terpaksa digunakan apabila tiada pilihan lain lagi, kerana mogok lapar sendiri memang merupakan tindakan yang mempunyai kesan pasif dan negatif (terutamanya kepada kesihatan pemogok).
Selama berpuluh-puluh tahun tahanan politik ISA terpaksa mogok lapar untuk memperjuangkan hak perundangan mereka untuk diadili di mahkamah atau dibebaskan tanpa syarat. Atau demi mempertahankan keselamatan fizikal mereka.
Adakah rakyat Malaysia akan berpeluk tubuh untuk membiarkan mogok lapar dilakukan semula dan dilanjutkan berpuluh-puluh tahun lagi pada masa yang akan datang seperti zaman dahulu?
Bila digelar sebagai pemogok veteran, saya tidak berasa bangga. Saya sebenarnya merasa sedih memikirkan mereka yang telah mengorbankan kesihatan mereka.
Semoga permintaan adil enam kawan kita di Kem Kamunting itu dapat diterima segera oleh Kementerian Dalam Negeri supaya mogok lapar mereka dapat dielakkan atau diselesaikan dalam jangka masa yang tersingkat, dan tiada sesiapa lagi dalam negara kita terpaksa menggunakan senjata mogok lapar pada masa yang akan datang.
LEE BAN CHEN merupakan penulis dan aktivis dalam bidang pendidikan, politik dan sosial.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.