Apabila peperiksaan bersama Sekolah Menengah Cina Swasta (SMCS) yang pertama hendak diadakan pada 1975, pemimpin gerakan pendidikan bahasa ibunda Lim Fong Seng dan pemimpin Dong Jiao Zong yang lain dipanggil oleh Menteri Pendidikan ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, ke pejabatnya. Beliau memberitahu mereka bahawa Kabinet memutuskan untuk melarang peperiksaan bersama SMCS diadakan. Jika diteruskan juga mereka akan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Berikutan itu, banyak mesyuarat tergempar diadakan, di samping meminta nasihat perundangan mengenainya, tetapi Lim dan pemimpin Dong Jiao Zong yang lain sukar hendak diyakini bahawa ianya menjadi kesalahan di sisi undang-undang untuk mengadakan peperiksaan bersama itu. Namun mereka sedar jika diteruskan juga mereka mungkin menjadi mangsa ISA seperti yang disebut oleh Mahathir.

Akhirnya mereka mengambil keputusan untuk mengadakan juga peperiksaan bersama SMCS itu. Bagaimanapun, mereka bernasib baik kerana Kabinet telah bertukar fikiran dan mereka tidak ditahan di bawah ISA. Kini, Sijil Peperiksaan Bersama SMCS menjadi ukuran pencapaian akademi pelajar lepasan SMCS yang diakui ratusan kolej dan universiti di merata dunia. Berikutan itu, pelajar lepasan SMCS dapatkan melanjutkan pelajaran mereka di kolej dan universiti terbabit, tetapi tidak di institusi pelajaran tinggi awam (IPTA) negara kita sendiri!

Setelah berpuluh-puluh tahun bekerja keras, Jawatankuasa Kerja SMCS berjaya mengemaskinikan kurikulum dan penerbitan buku teks baru, latihan semula guru dan sebagainya. Jumlah pelajar SMCS juga meningkat daripada 20,000 hingga 60,000 orang. Kakitangan di sekretariat Jawatankuasa Kerja SMCS juga bertambah daripada hanya seorang sahaja, kepada lebih 100 sekarang.

Selain itu, bangunan Pusat pendidikan Dong Jiao Zong telah dibina pada 1993 di Kajang, dan permohonan penubuhan Kolej New Era juga diluluskan dan pengambilan pelajar bermula pada tahun 1998.

Bagaimanapun, Lim tidak begitu nasib baik kerana ditahan di bawah ISA bersama Sim Mou Yu, Dr Kua Kia Soong dan Dr Tuang Pik King sewaktu Operasi Lalang pada 1987 disebabkan penglibatannya dalam gerakan pendidikan bahasa ibunda. Lim dibebaskan selepas merengkuk selama lapan bulan dalam tempat tahanan di Kamunting. Beliau menyimpan janggut sebagai bantahan tidak bersuara!

Operasi Lalang

Tidak sukar difahami mengapa Lim menjadi mangsa Operasi Lalang. Sebabnya ialah kerana beliau dianggap sebagai seorang yang berani menentang kerajaan Barisan Nasional (BN). Pada tahun 1978, apabila permohonan penubuhan Universiti Merdeka ditolak, Majlis Universiti Merdeka pimpinan Lim telah membawa kes penolakan penubuhan Universiti Merdeka ke mahkamah, kerana keyakinannya bahawa menerima pendidikan bahasa ibunda dan mengembangkan pendidikan bahasa ibunda sehingga ke peringkat yang tertinggi merupakan hak asasi setiap kaum yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Justeru itu, apabila kes Universiti Merdeka gagal pada 6 Jun 1982, Lim membuat kesimpulan bahawa: "Kes Universiti Merdeka dibawa ke mahkamah bagi menunjukkan tekad Majlis Universiti Merdeka untuk menuntut dan mengembang hak sivil rakyat dan semangat perundangan. Dan kegagalan kes Universiti Merdeka telah mendedahkan kelemahan Perlembagaan Persekutuan dalam melindungi kedudukan bahasa setiap kaum di negara kita. Ia merupakan suatu kegagalan bagi gerakan hak sivil dalam negara kita."

Kesedaran beliau tentang hak sivil dan hak asasi manusia sangat penting kerana ia telah meningkatkan asas perjuangan bahasa, pendidikan dan kebudayaan daripada asas tuntutan satu-satu kaum kepada asas tuntutan hak sivil dan hak asasi manusia semua rakyat tanpa mengira kaum.

Menjelang pilihanraya umum 1986, Lim dan pemimpin 15 Persatuan Pimpinan Utama pimpinannya telah mengemukakan satu dokumen bersejarah  Deklarasi Bersama Persatuan-persatuan Cina Malaysia  dengan sokongan lebih 5,000 persatuan Cina . Dokumen itu mengandungi pelbagai permintaan dalam bidang politik, ekonomi, kebudayaan, pendidikan dan sosial. Bagaimanapun, kandungan dokumen itu dianggap lebih sederhana jika dibandingkan dengan rayuan Suqiu menjelang pilihanraya umum 1999.

Konsep dua parti

Pada masa yang sama, sebagai timbalan pengerusi Jawatankuasa Hak Sivil Persatuan Cina Malaysia, Lim dengan tegas menyokong dan menyebarkan konsep sistem dua parti atau dua barisan sebagai sistem yang lebih menguntungkan perkembangan demokrasi di negara ini.

Ini nyata sekali menunjukkan bahawa pendirian politik Lim telah semakin matang, berbanding dengan sokongannya kepada lapan orang pemimpin gerakan pendidikan Cina yang menyertai parti Gerakan pada 1982, termasuk Ker Kim Tim dan Dr Koh Su Koon untuk "membetulkan dasar pendidikan BN dari dalam".

Pada tahun 1990, setelah melalui ujian ISA dan penjara, di samping terdedah kepada pelbagai kemelut politik negara, Lim kian menyedari monopoli dan hegemoni Umno dalam BN. Lim juga menyedari kelemahan parti pembangkang untuk mencabar Umno dan BN yang merupakan punca utama gerakan sivil dan hak asasi manusia negara ini semakin susut, sehingga ruang bagi gerakan bahasa, pendidikan dan kebudayaan pelbagai kaum kian menjadi sempit dan tertekan .

Kali ini, Lim tidak menghadkan kempennya di bidang pendidikan atau bidang hak sivil, tetapi turut merangkumi politik. Dan secara terus-terang Lim mengisytiharkan bahawa 24 pemimpin dan kader gerakan pendidikan akan menyertai DAP untuk menguatkan parti pembangkang, dan mengimbangi sistem demokrasi negara ini yang terlalu condong kepada parti pemerintah!

Pemberontakan hak sivil

Tindakan yang cukup berani ini amat mengagumkan. Sim Mou Yu menggelarkannya sebagai "pemberontakan hak sivil". Tindakan 24 pemimpin dan kader gerakan pendidikan Cina ini mendapat liputan utama semua akhbar Cina arus perdana!

Sungguhpun pemberontakan kali ini tidak mencapai matlamatnya, namun ia sebenarnya merupakan peringkat pemutikan sistem dua barisan yang terbentuk selepas tertubuhnya Gagasan Rakyat dan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) menjelang pilihanraya umum 1990, dan Barisan Alternatif (BA) pada pilihanraya umum 1999.

Dari analisis tersebut, Lim terbukti adalah seorang pemimpin yang berani mempraktikkan teorinya. Jika didapati salah, beliau berani pula mencari jalan yang betul dan membuat cubaan baru.

Beliau sanggup memainkan peranan berbeza jika perlu, demi mencapai kesetaraan kedudukan bahasa, pendidikan, kebudayaan dan kesamarataan kedudukan kaum. Justeru itu, sebagai seorang pemimpin persatuan Cina, pejuang hak sivil dan tokoh penganjur sistem politik dua barisan, pendirian Lim adalah konsisten  yang ubah hanya cara dan bidang perjuangannya .

Keberanian Lim dalam menghadapi segala risiko yang mungkin menimpanya, pantang tunduk kepada kezaliman ISA dan rela kehilangan kebebasan demi membela prinsip perjuangan; malah dengan gigih sekali memimpin pemberontakan sivil dalam bidang politik demi memperjuangkan sistem dua barisan  membuktikan bahawa Lim bukan seorang pemimpin sembarangan!

Pepatah Cina ada berkata: kematian seseorang itu mungkin lebih ringan daripada bulu burung, atau lebih berat daripada Gunung Tai. Maka berasaskan kepada jasa, sumbangan dan pengorbanan Lim kepada perjuangan pendidikan bahasa ibunda, hak sivil, hak asasi manusia dan sistem dua parti yang lebih demokratik, pemergian beliau pasti lebih berat daripada Gunung Tai!

Saudara Lim Fong Seng, beristirehatlah dalam persemadian yang aman dan damai!(26 Mac 2002)


LEE BAN CHEN merupakan penulis dan aktivis dalam bidang pendidikan, politik dan sosial.

Bhgn I

Show your support for robust journalism

Millions depend on Malaysiakini for the truth. Millions depend on Malaysiakini for quality journalism. Millions depend on Malaysiakini to stand in honour of integrity and justice.

Without a mafia owner to dictate our journalism; free from political or commercial influence, Malaysiakini has only one boss - you, the rakyat.

We take this opportunity to thank you for your love for our country, your trust and respect in us to do our job in holding the powerful to account. We depend on your subscription to protect the sanctity of our journalism. Thank you.

Malaysiakini Team

Read more from this author :
Read more like this :
Most Read
Most Commented
Most Recent