Syabas, pemogok lapar anti ISA!
Pada 21 April 2002, setelah mogok lapar diadakan selama 12 hari, enam tahanan politik Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kem Kamunting telah menghentikan mogok lapar mereka, setelah sekali lagi mereka menerima pesanan dari pemimpin dan teman-teman yang prihatin dari luar, khususnya dari Dato Seri Anwar Ibrahim dan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail agar mereka menghentikan mogok lapar ini.
Keputusan enam tahanan politik ISA ini membolehkan mogok lapar sokongan yang diadakan serentak di dataran Markaz PAS Pusat, Taman Melewar, Gombak serta mogok lapar Anwar dapat dihentikan sekali gus. Dengan kata lain, ancaman terhadap kesihatan dan nyawa pemogok lapar dapat dihentikan meskipun kesihatan beberapa orang pemogok lapar masih agak membimbangkan.
Mengikut kenyataan media enam tahanan politik ISA terbabit tanggal 21 April, sungguhpun dua perkara yang dituntut mereka agar mereka dibicarakan atau dibebaskan dan Anwar diberikan hak untuk mendapat rawatan perubatan daripada pakar yang beliau pilih belum dicapai sepenuhnya, namun mogok lapar selama 12 hari ini sudah mencapai tujuan-tujuan yang tertentu, termasuk:
1) 183 orang penyokong mereka telah melancarkan mogok lapar serentak (termasuk 15 pemogok lapar total) di luar kem tahanan dan disusuli dengan serentetan aktiviti anti ISA.
2) Perjuangan mereka telah mendapat sokongan penuh Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yang terdiri daripada 82 NGO dan semua parti pembangkang, dan satu memorandum mendukung tuntutan pemogok lapar telah diserahkan kepada Suhakam pada tanggal 10 April oleh 200 orang wakil badan-badan tersebut.
3) Tuntutan mereka telah mendapat timbalbalik Suhakam yang menggalakkan, termasuk:
4) Berita mogok lapar mereka sungguhpun disekat dalam media arus perdana negara kita, namun telah disiarkan oleh media massa di seluruh dunia, khususnya di Australia, Hong Kong, Switzerland, India, Kanada, Amerika Syarikat, New Zealand, Taiwan, United Kingdom dan hampir keseluruhan negara-negara Eropah lain.
5) Puan Bahirah Tajol Aris isteri kepada tahanan ISA Mohd Ezam Mohd Nor sebagai wakil keluarga telah menghadiri, menyampaikan memorandum dan berucap dalam perhimpunan tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (UNHRC) di Geneva, dan memberikan gambaran jelas tentang kepincangan hak asasi manusia di negara kita dan mengenai mogok lapar yang sedang dijalankan.
6) Sepanjang tempoh mogok lapar, beberapa siri tunjuk perasaan menentang akta zalim ISA telah dilancarkan di Manila, Hong Kong, Bangkok, Amsterdam, Copenhagen, Kathmandu dan beberapa tempat lain.
Kezaliman ISA
Nyata sekali, perjuangan pemogok lapar di dalam dan luar Kem Kamunting telah secara berkesan mendedahkan kezaliman ISA dalam menindas musuh-musuh politik pemerintah dan suara-suara penentangnya.
Justeru itu, Timbalan Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi cuba menafikan keberkesanan mogok lapar tersebut dengan mengatakan bahawa pemogok lapar di Kamunting telah gagal mendapat simpati majoriti rakyat dan sudah mulai makan sejak 17 April.
Dusta dan penghinaan Timbalan Perdana Menteri tersebut sangat memarahkan pemogok lapar dalam Kamunting, mereka berura-ura hendak mendakwa beliau atas dusta dan penghinaan yang berkenaan.
Kezaliman ISA dan kerajaan Barisan Nasional telah ditonjolkan dalam proses mogok lapar kali ini, terutamanya pihak Kem Kamunting enggan menghantar tahanan Dr Badrulamin Bahron yang sakit tenat untuk rawatan perubatan mengikut nasihat doktor, serta menolak lawatan doktor dan peguam yang diundang oleh keluarga tahanan.
Dr Musa Mohd Nordin, Presiden Persatuan Perubatan Islam Malaysia, telah menulis surat kepada Abdullah pada 19 April. Secara perincian, beliau telah menjelaskan bagaimana kesihatan Badrulamin dan pemogok lapar yang lain telah terancam akibat hak perubatan mereka seperti yang tercatat dalam Piagam Pesakit ( Patient's Charter ) telah dicabuli oleh pihak Kem Kamunting.
Padahal Musa sendiri telah ditolak oleh pihak Kem Kamunting untuk merawati Badrulamin sungguhpun Badrulamin berkeras meminta dirawati oleh beliau.
Kedegilan kerajaan BN dalam penggunaan ISA secara sewenang-wenang terbukti dengan penangkapan terbaru terhadap 14 orang yang dituduh sebagai berhubungan dengan Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM). Kini tahanan ISA di Kamunting berjumlah 38 orang, enam berhubung dengan Reformasi Keadilan, dan 32 dikatakan berhubungan dengan KMM.
Moga-moga siasatan Suahakam terhadap enam tahanam politik Kamunting yang dijanjikan itu dapat diadakan secara terbuka, dan berlandaskan pendirian Suhakam selama ini berkenaan dengan tahanan ISA, iaitu kesemua tahanan politik hendaklah dibebaskan atau dibicarakan.
Rintihan hati
Saya akhiri rencana ini dengan rintihan hati 11 orang bekas tahanan politik/pemogok lapar tahun 1960an hingga 1980an dari Johor Bahru, petikan berikut ialah terjemahan dari kenyataan akhbar mereka demi menyokong tuntutan mogok lapar enam tahanan politik ISA Kamunting:
"Perjuangan mogok lapar mereka telah menghidupkan kenangan kami mengenai mogok lapar kami yang berjangka panjang dan sukar sekali 30 tahun dahulu. Dalam keadaan hak asasi dirampas, kebebasan dinafi, segala cara telah gagal mempertahankan maruah tahanan politik, tanpa pilihan yang lain, kami terpaksa menggunakan jasad kami, darah kami dan nyawa kami untuk memulakan perjuangan mogok lapar satu cara memusnahkan diri untuk menentang keganasan dan kezaliman!"
Tiga puluh tahun telah lalui, keganasan dan kezaliman masih berkekalan. Adakah rakyat Malaysia sanggup berbisu dan berpeluk tubuh buat 30 tahun lagi?
LEE BAN CHEN merupakan penulis dan aktivis dalam bidang pendidikan, politik dan sosial.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.