Uji sebelum guna bahasa pengantar Inggeris
Dalam satu dua minggu kebelakangan ini, kontroversi mengenai pendidikan negara telah mencapai kemuncaknya, terutamanya dalam media bahasa Melayu, setelah beberapa perkembangan terbaru, seolah-olah telah menggoncangkan beberapa 'mitos' dan dasar pendidikan negara kita.
Sebelum ini memang sukar dipercayai sistem meritokrasi boleh membawa tuah dan kebanggaan kepada pelajar Melayu khasnya dan kaum Melayu amnya.
Juga sukar dipercayai bahawa tiada penentangan hebat daripada "pejuang nasionalis Melayu" terhadap kesediaan kerajaan menimbang diwujudkan semula sekolah aliran Inggeris, disusuli dengan keputusan menggunakan bahasa Inggeris bagi subjek matematik dan sains, mulai Tahun Satu, dan langkah memperkenalkan kesusasteraan Inggeris Semasa (kontemprorari).
Yang aneh ialah ketiga-tiga perkembangan yang 'cukup berani' itu kesemuanya bukan atas dayausaha Kementerian Pendidikan, tetapi dari 'ilham' Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sendiri. Kini beliau merupakan pemimpin paling berkuasa dalam semua bidang penting negara, termasuk bidang politik, ekonomi dan pendidikan.
Kepantasan beliau membuat cadangan atau keputusan atas nama 'rakyat' kadang-kadang mengelirukan banyak pihak, bagaimana hendak memberi reaksi terhadapnya.
Umpamanya pada 6 Mei 2002, Dr Mahathir mengumumkan kerajaan sedia menimbang cadangan mewujudkan semula sekolah aliran Inggeris sebagai pilihan, jika rakyat mahu ia dilakukan bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar .
Pada 11 Mei 2002, beliau mengumumkan pula bahawa Majlis tertinggi (MT) Umno menolak cadangan itu kerana ia tidak sococok dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Sebaliknya penggunaan bahasa Inggeris akan diperluaskan di sekolah melalui pengajaran subjek Sains dan Matematik dari Tahap Satu, di samping memperkenalkan kesusasteraan Inggeris kontemporari.
Apakah Dr Mahathir tidak menyedari bahawa menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam sistem sekolah negara tidak secocok dengan 'matlamat muktamad' Dasar Pendidikan Kebangsaan?
Pak turut
Ditanya mengapa Umno menolak cadangan mewujudkan semula sekolah aliran bahasa Inggeris sebelum mengambil kira pandangan semua lapisan masyarakat, Dr Mahathir berkata cadangan parti itu adalah gambaran kehendak rakyat!
Ketika sokongan lapisan masyarakat yang mengagungkan bahasa Inggeris dan "pak turut" Dr Mahathir mencurah-curah dalam media arus perdana, manakala 'pejuang nasionalis' pula masih belum pasti apa yang sedang berlaku, dalam tempoh kurang dari seminggu Dr Mahathir telah menarik balik cadangan itu!
Pujangga China Lu Hsun pernah mengibaratkan bagaimana jika seorang penyewa ingin membuka tingkap rumah sewanya, tetapi tidak dibenarkan oleh tuan rumah berbuat demikian.
Katanya, penyewa itu, terlebih dahulu, boleh menggertak hendak merobohkan rumah sewa itu, lalu berkompromi meminta dibukakan satu tingkap. Maka peluang untuk tuan punya rumah membenarkan tingkap itu dibuka, adalah baik.
Adakah Dr Mahathir juga menggunakan taktik yang sama
Pengalaman Dong Jiao Zong mengenai perkara ini, melalui Sekolah Menengah Cina Swasta, boleh dikatakan cukup luas sekali. Dalam tahun 60-an hingga 70-an, banyak sekolah menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar subjek Sains dan Matematik, dan matlamat mereka juga untuk mengingkatkan taraf bahasa Inggeris.
Malangnya, pencapaian akademik pelajar mereka dalam subjek Sains dan Matemetik, terutama biologi dan fizik, terus merosot, manakala taraf bahasa Inggeris juga tidak meningkat sepertimana yang diharapkan.
Dong Jiao Zong
Sekolah-sekolah ini, terutama di kawasan desa, di mana persekitaran untuk mempelajari bahasa Inggeris amat tidak menguntungkan, hampir ditutup kerana kemerosotan pencapaian akademik dan kekurangan pelajar.
Hanya setelah mereka kembali menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar, maka barulah taraf akademiknya meningkat dan sekolah-sekolah berkenaan berjaya mencapai perkembangan yang menggalakkan. Pengalaman ini bukan hanya di satu sekolah sahaja, tetapi di puluhan sekolah.
Berasaskan kepada pengalaman pahit Sekolah Menengah Cina Swasta tersebut, maka pimpinan Dong Jiao Zong dengan tegas menentang subjek Sains dan Matematik di Sekolah Rendah Kebangsaan China atau SRK(C) diajar dalam bahasa Inggeris.
Ini kerana Dong Jiao Zong tahu melalui pengalaman praktikalnya, bahawa bahasa ibunda adalah bahasa pengantar yang berkesan sekali, berbanding dengan penggunaan bahasa bukan ibunda, lebih-lebih lagi bahasa asing .
Oleh itu, Kementerian Pendidikan tidak harus terburu-buru menerima cadangan Umno mengenai perkara itu kerana keputusan tersebut mungkin membawa masalah kepada sistem pendidikan negara kita.
Cara yang lebih bertanggungjawab ialah dengan mengadakan kelas ujian terlebih dahulu. Jika hasilnya dapat membuktikan bahawa rumusan kajian di Singapura, Hongkong, Kanada dan pengalaman di Sekolah Menengah Cina Swasta itu, adalah salah, maka barulah ada asas bagi Kementerian Pendidikan untuk melakukan rombakan radikal terhadap dasar pendidikan negara.
LEE BAN CHEN merupakan penulis dan aktivis dalam bidang pendidikan, politik dan sosial.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.