Beberapa hari kebelakangan ini saya asyik membaca himpunan kertas kerja 'Isu dan Proses Pembukaan Minda Umat Melayu Islam' terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Sesudah mentelaah pendapat Dr Ahmad Amin dari Baling Kedah (Cuba satukan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM)-Matrikulasi-Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang disiarkan pada 22 Mei 2002 dalam ruangan rencana Utusan Malaysia , saya berbisik dalam hati: Nah, seorang lagi pendidik Melayu yang berminda tertutup! P> Dalam ucapan perdananya, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad berkata: "Yang benar dan nyata harus diakui walaupun pedih dan yang benar dan nyata harus memandu pemikiran yang terbuka."

Kepentingan bahasa Inggeris dan juga bahasa Mandarin semakin ketara akibat globalisasi dan kebangkitan Negeri China sebagai kuasa besar ekonomi. Justeru itu, pada satu ketika dahulu, Dr Mahathir bersetuju untuk menimbangkan pemulihan semula sistem aliran Inggeris di negara kita, jika ianya adalah kehendak rakyat.

Saya tidak setuju dengan cadangan yang 'terlalu terbuka' itu, kerana bahasa Inggeris adalah bahasa asing, dan sistem aliran Inggeris wujud di negara kita akibat penjajahan British.

Mementingkan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu dan bahasa teknologi tidak semestinya bermakna mendewakan bahasa itu seperti zaman penjajahan. Memadailah sekadar menguasai bahasa tersebut sebagai suatu subjek yang diutamakan.

Pendidikan ibunda

Tidak dapat dinafikan, rakyat kita juga makin mementingkan bahasa Mandarin, memandangkan kebangkiktan Negeri China sebagai kuasa besar ekonomi di rantau ini. Justeru, lebih 60,000 ibu bapa bukan Cina telah menghantar anak mereka ke SJK(C).

Dalam keadaan sedemikian, sekolah aliran Cina bukan lagi dipelajari pelajar Cina sahaja. Yang lebih penting ialah sekolah Cina dan Tamil merupakan pendidikan ibunda untuk kaum Cina dan kaum India negara kita, dan pendidikan ibunda merupakan hak asasi manusia setiap kaum yang tidak boleh dirampaskan oleh sesiapapun.

Walhal pelajar aliran Cina dan Tamil menghadapi lebih rintangan berbanding dengan pelajar Melayu, kerana mempertahankan pendidikan ibunda. Mereka terpaksa bertukar bahasa pengantar apabila mereka meningkat ke Sekolah (Menengah) Kebangsaan.

Kerana sekatan sistem kuota, kebanyakan mereka terpaksa melanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi swasta (IPTS) yang hampir kesemuanya berbahasa Inggeris. Sekali lagi mereka terpaksa menukar bahasa pengantar mereka.

Mereka yang belajar di IPTS bukan kesemuanya dari keluarga berada seperti yang dijangkakan. Banyak yang berhutang, jual rumah atau kebun, malah banyak yang bekerja untuk tempoh beberapa tahun, sebelum masuk ke IPTS.

Ada pula yang bekerja sambil melanjutkan pelajaran, dengan mengikuti kursus malam atau kursus hujung minggu. Pendek kata, IPTS telah memberi sumbangan dalam mengeluarkan ramai tenaga kerja yang diperlukan oleh pembangunan negara kita, meskipun kebanyakan mereka bukan-bumiputra.

Sistem kuota

Ketidakseimbangan kaum dalam IPTS, sungguhpun merupakan suatu masalah yang patut diatasi, namun IPTS tidak melaksanakan sebarang sistem kuota. Mereka juga tidak melaksanakan diskriminasi kaum. Pelajar semua kaum, malah pelajar negeri asing sekalipun, dialu-alukan atas perhitungan meraih keuntungan. Dalam keadaan demikian, siapakah yang harus disalahkan?

Seramai 60,000 pelajar di Sekolah Persendirian Cina hanya merupakan 10 peratus pelajar kaum Cina yang belajar dalam sekolah menengah, manakala 90 peratus lagi di Sekolah (Menengah) Kebangsaan.

Mereka dibiayai keluarga dan masyarakat, lepasan Sekolah Persendirian Cina. Selain menduduki peperiksaan Unified Examination Certificate (UEC) atau Sijil Peperiksaan Bersepadu, banyak juga yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Adalah tidak benar untuk mengatakan kurilulum UEC berasal daripada kurikulum Taiwan dan China. Pemegang UEC yang berkemampuan (dari segi kewangan) sebenarnya lebih gemar melanjutkan pelajaran ke negara Barat yang berbahasa pengantar Inggeris, seperti Amerika Syarikat, Britain, Kanada, Australia dan New Zealand.

Ramai juga yang pergi ke Jepun, Perancis dan Jerman, selain daripada Singapura, Taiwan dan China. Jika keadaan kewangan tidak mengizinkan, mereka akan memilih IPTS tempatan. Dengan kata lain, Dong Jiao Zong dan pemegang sijil UEC adalah berminda terbuka dalam menuntut ilmu, tidak kira di Barat atau Timur, berbahasa pengantar Cina, Melayu, Inggeris, Jepun, Perancis dan Jerman.

Dong Jiao Zong, secara berdikari telah menyelenggarakan pendidikan berkualiti. Melalui UEC, ia telah berjaya menghasilkan ramai tenaga profesional yang turut mengambil bahagian dalam pembangunan negara. Kenapakah dayausaha ini tidak dapat dihargai?

Mereka juga dirampas peluang untuk bersaing dengan pelajar aliran kebangsaan untuk memasuki institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA). Mereka dengan sabar menerima nasib yang malang kerana dianaktirikan. Kenapakah dalam keadaan demikian, masih ada 'pendidik' yang sampai hati mencadang untuk menghapuskan UEC?

Dari analisis tersebut, ternyata cadangan untuk menyatakan STPM-Matrikulasi-Asasi Sains bagi mewujudkan satu sistem kemasukan ke IPTA sebenarnya tidak ada kena-mengena dengan kewujudan SJK(C) atau SJK(T), peperiksaan UEC dan masalah IPTS.

Justeru seperti kata bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Datuk Dr Ishak Thambi Kechik : "Sebagai sebuah engara yang mempunyai masyarakat majmuk, kewujudan tiga sistem itu dilihat tidak sesuai dan lebih banyak menimbulkan prasangka antara kaum."

Lebih penting lagi ialah sistem meritokrasi tulen memerlukan persaingan adil di atas padang yang sama rata. Dan bukankah pelajar bumiputra menunjukkan daya saing mereka yang cemerlang sekali, seperti yang diakui oleh kebanyakan pejuang nasionalis?

Atau daya saing yang ditunjukkan mereka sebenarnya akibat persaingan yang berat sebelah di atas padang yang tidak sama rata? Bagaimanapun, kita harus memperlihatkan semangat ' fairplay '!


LEE BAN CHEN merupakan penulis dan aktivis dalam bidang pendidikan, politik dan sosial.