Dasar buka pintu: kuota dalam kuota?
Dari bulan lepas (Mei 2002) hingga sekarang, dasar pendidikan kebangsaan kita seolah-olah kucar-kacir dan tidak tentu arah setelah menghadapi kejutan demi kejutan.
Kejutan pertama, bahasa Inggeris akan digunakan sebagai bahasa pengantar bagi matapelajaran Matematik dan Sains mulai Tahun Satu di samping memperkenalkan kesusasteraan Inggeris kontermporari, setelah cadangan mewujudkan semula aliran bahasa Inggeris ditolak.
Kejutan kedua, penggunaan buat kali pertama kaedah meritokrasi dalam pengambilan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), dan pelajar bumiputra mencapai peratusan cemerlang di luar dugaan.
Kejutan ketiga, pada minggu lepas, Kabinet telah memutuskan supaya kuota 10 peratus diperuntukkan kepada pelajar bukan bumiputra untuk memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan mengikuti program matrikulasi.
Berbanding dengan kejutan pertama dan kedua, kejutan ketiga rasanya lebih hebat lagi kerana program matrikulasi dan MRSM yang diadakan secara eksklusif untuk pelajar bumiputra selepas 13 Mei 1969, bertujuan membolehkan mereka memasuki jurusan kritikal dalam IPTA bagi mengimbangi pelajar bukan bumiputra.
Dengan kata lain, kehadiran pelajar bumiputra dalam program matrikulasi dan MRSM sebenarnya merupakan kuota yang terlindung daripada saingan pelajar bukan bumiputra yang sebelum ini dipercayai lebih cemerlang dalam pencapaian akedemik mereka, sungguhpun rumusan ini boleh dipertikaikan.
Oleh itu, ia sering dianggap sebagai hak istimewa pelajar bumiputra untuk menjamin kuota mereka dalam jurusan kritikal IPTA. Dengan pelaksanaan dasar buka pintu tahun depan, bermakna 'terdapat kuota dalam kuota', dan mereka terpaksa bersaing dengan pelajar bukan bumiputra dalam padang yang sebelum ini eksklusif bagi pelajar bumiputra sahaja.
Percanggahan pandangan
Terdapat dua sikap yang agak berlainan terhadap dasar buka pintu tersebut. Satu menganggap hak istimewa pelajar bumiputra dalam program matrikulasi dan MRSM harus dikekalkan, seperti yang ditegaskan oleh Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Suhaimi Ibrahim: "Kita berpendapat kepentingan orang Melayu tidak boleh diketepikan atau digadai mana-mana pihak dan kerana itu ia harus dipertahankan sampai bila-bila pun."
Berpegang kepada pendirian tersebut, 26 NGO Melayu, termasuk GPMS, Barisan Bertindak Melayu (BBM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan sebagainya, yang mendakwa kewakili kepentingan orang Melayu, telah mencapai sebulat suara meminta kerajaan menangguhkan peruntukan kuota 10 peratus kepada bukan bumiputera di MRSM dan Program Matrikulasi setelah majlis dialog pendidikan diadakan di Kolej Islam Antarabangsa K.L. pada 4 Jun 2002.
Satu lagi beranggapan tibalah masanya hak istimewa pelajar bumiputera itu ditarik balik secara perlahan-lahan. Dalam hal ini, pandangan Awang Sulung boleh dikatakan antara yang paling berani sekali (
"Pada hemat Awang, hak istimewa itu kini telah menjadi musuh besar orang Melayu dan bumiputra lain. Ia membuatkan mereka mengambil mudah banyak perkara dan membesar dengan mentaliti subsidi - semuanya mesti ditolong, mesti diberi dan mesti dipermudahkan kerana mereka Malayu.
"Meratap dan menangis supaya hak dan keistimewaan kita dikekalkan sampai bila-bila samalah seperti mengakui kita masih lemah dan tidak boleh hidup tanpanya. Ia juga menunjukkan bahawa kita takut menghadapi bukan Melayu di atas padang yang sama rata.
"Jika Melayu masih memerlukan perlindungan yang sama setelah 30 tahun, mereka sepatut berasa malu. Keistimewaan itu yang dianggap sebagai hak kelahiran boleh bertukar menjadi satu penghinaan terhadap mereka."
Rasanya, pertentangan dua sikap tersebut akan menyullitkan dasar buka pintu berkenaan. Bagaimanapun, pencapaian cemerlang pelajar bumiputra bagi kali pertamanya, selepas sistem meritokrasi digunakan dalam pengambilan pelajar IPTA , sudah barang tentu akan meyakinkan lagi pelajar bumiputera khasnya dan kaum Melayu amnya untuk bersaing dengan pelajar bukan bumiputera dalam padang yang sama rata.
Dasar pintu terbuka
Namun demikian, jika ditinjau sistem meritokrasi yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan, pembukaan kuota 10 peratus dalam Program Matrikulasi dan MRSM merupakan 'pengunduran' sistem kuota, bukannya mara ke sistem meritokrasi seperti yang janjikan oleh kerajaan.
Berdasarkan latar belakang Program Matrikulasi dan MRSM dilaksanakan bagi menjamin kuota pelajar bumiputera dalam jurusan kritikal IPTA dan bagaimana orang Melayu memandangnya sebagai hak istimewa, ternyata ia adalah hasil sistem kuota yang bertentangan dengan sistem meritokrasi yang ingin dilaksanakan, dan dasar buka pintu juga merupakan kuota dan kuota semata-mata.
Justeru itu, apabila pemeriksaan matrikulasi disetarafkan dengan pemeriksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) untuk kemasukan pelajar ke IPTA tahun ini melalui apa yang dinamakan sistem meritokrasi, pelajar dan kaum bukan bumiputra secara amnya merasa tidak berpuas hati.
Ini kerana mereka sebenarnya bukan bertanding dalam padang yang benar-benar sama rata, tetapi "disamaratakan" secara arbitrari untuk tujuan yang tertentu.
Jika sistem meritokrasi tulen yang menjadi tujuan kita, maka pemeriksaan bersama untuk semua pelajar tanpa mengira kaum adalah satu-satunya penyelesaian yang logik dan munasabah yang perlu diusahakan.
Jika ada apa-apa tindakan yang perlu diambil untuk membantu mereka yang lemah dalam kedudukan sosial-ekonomi, maka latar belakang kaum juga tidak patut diambil kira.
Berasaskan analisis tersebut, dasar buka pintu Kabinet sebenarnya sangat mengelirukan: Kembali ke sistem kuota atau menuju ke sistem meritokrasi? Atau meritokrasi sebagai retorik, padahal imbang-mengimbangi kuota bagi kaum-kaum berkenaan masih diutamakan?
Prestasi Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad dalam kontroversi-kontroversi tersebut sangat mengecewakan, terutamanya dalam mempertahankan kesama-tarafan pemeriksaan matrikulasi dengan STPM -- dua pemeriksaan yang memang tidak dapat disama-tarafkan dari segi jangka masa program, kurikulum, kaedah dan tujuan pemeriksaan.
Kini, dapatkah beliau mengemukakan sesuatu untuk membimbing dasar pendidikan negara daripada terjerumus dalam jalan buntu? Sekurang-kurangnya memberitahu apakah yang kerajaan mahu: sistem kuota, sistem meritokrasi, atau campuran sistem kuota dengan sistem meritokrasi (yang mengikut beliau tidak dapat dikompromikan antara satu sama lain)?

