Era Mahathir di penghujung jalan
Politik Malaysia penuh dengan paradoks. Ketika gerakan reformasi berada di kemuncak kekuatannya, dan desakan serta pekikan "Undur, Mahathir! Mahathir undur!" dilaung tanpa putus-putus, tiada sebarang bayangan Dr Mahathir Mohamad akan berbuat demikian.
Tatkala ramai percaya Dr Mahathir telah mengatasi krisis politik akibat penyingkiran timbalannya Anwar Ibrahim, dan kuasa pemerintahannya semakin kukuh, beliau menggemparkan Umno dan seluruh negara dengan pengumuman perletakan jawatan Presiden Umno, Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan semua jawatan dalam parti.
Beliau membuat kejutan itu ketika menggulung perbahasannya pada Perhimpunan Agung Umno ke-56 pada 22 Jun 2002. Seluruh perwakilan dalam Dewan Merdeka terpaku dan tersentak, diikuti tangisan, jeritan, nyanyian, dan segala-segalanya menjadi kecoh dan hilang pedoman.
Keadaan ini berlanjutan hampir satu jam sehingga Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan bahawa Majlis Tertinggi (MT) Umno telah mendapat persetujuan Dr Mahathir untuk terus kekal sebagai Presiden Umno dan Pengerusi BN.
Pengumum Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu disambut dengan tepukan gemuruh ahli-ahli MT, perwakilan serta pemerhati dalam dewan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Di luar dewan, sorakan gemuruh kedengaran dan ramai yang saling berpelukan. Adegan-adegan tersebut mendedahkan satu paradoks lagi: meskipun Dr Mahathir membidas habis-habisan mentaliti tongkat orang Melayu, malang sekali beliau sendiri telah merupakan sebatang tongkat yang terbesar sekali yang menjadi sandaran Umno, khasnya dan BN amnya.
Pada petang 25 Jun, mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) Umno diadakan untuk menerima laporan hasil pertemuan di antara Dr Mahathir dengan Jawatankuasa Pengurusan Umno yang diberi mandat untuk berjumpa dengan beliau pada jam 9 pagi di Seri Perdana di Putrajaya.
Kenyataan lapan perkara
Setelah mendengar laporan Jawatankuasa Pengurusan Umno mengenai hasil perjumpaannya dengan Dr Mahathir, maka MT Umno telah mengeluarkan kenyataan lapan perkara, yang antara lain menyebut:
Dr Mahathir telah memutuskan untuk tetap berundur dan melepaskan semua jawatan beliau dalam Umno, Barisan Nasional dan Kerajaan.
Kenyataan MT Umno tersebut bukan saja tidak dapat menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku sehingga Dr Mahathir seolah-olah ingin meletakkan jawatan Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional dengan serta-merta. Malah ia telah menimbulkan kekeliruan sama ada suatu rampasan kuasa telah berlaku seperti ulasan Parti Rakyat Malaysia (PRM).
Jika masa perletakan jawatan sepertimana yang ditetapkan adalah kerelaan Dr Mahathir sendiri untuk "membolehkan peralihan kuasa dan tugas-tugas secara teratur", maka apakah perlunya beliau melakonkan adegan "pengumuman perletakan jawatan mengejut" itu?
Tongkat terbesar
Alangkah baiknya jika ia dibuat tanpa adegan dramatik tersebut, dan Dr Mahathir sendiri memanggilkan sidang akhbar untuk mengumumkannya, dengan pengetahuan dan sokongan penuh MT Umno dan Barisan Nasional?
Sekiranya adegan perletakan jawatan mengejut itu bukan sesuatu yang dirancangkan, tetapi cetusan emosi yang terlalu kecewa dengan orang Melayu dan Umno seperti yang diluahkan berkali-kali baru-baru ini, maka setelah dipujuk untuk menarik balik keputusannya, habislah ceritanya.
Setelah kembali daripada cuti di Itali, segala-galanya akan pulih seperti sediakala, dan kedudukan Dr Mahathir mungkin lebih kukuh lagi setelah membuktikan beliau sebenarnya tongkat yang terbesar sekali di mana orang Melayu dan Umno bersandar.
Jaminan Abdullah bahawa beliau tidak akan mengumumkan sebarang dasar baru, selama bertindak sebagai pemangku kelak, juga menimbulkan kesangsian.
Ini berikutan pengumuman beberapa dasar baru oleh Dr Mahathir, termasuk penggunaan bahasa Inggeris untuk subjek Matematik dan Sains bagi sekolah rendah dan sekolah menengah kebangsaan mulai tahun depan.
Beliau juga mengumumkan kuota 10 peratus pelajar bukan bumiputera memasuki program matrikulasi dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), dan pengumuman negara kita sebagai Negara Islam, dan Islam anutan Umno bukan yang sederhana tetapi fundamentalis.
Kesemua pengumuman yang begitu penting sanggup dibuat tanpa kehadiran Dr Mahathir menunjukkan mesti ada sesuatu yang tidak kena. Sebelum Dr Mahathir sendiri membuka mulut, tidak dapat disalahkan jika pelbagai dugaan akan dikemukakan oleh pihak-pihak yang berkenaan.
Suatu gejala yang menonjolkan sekarang ialah seolah-olah MT Umno telah menjadi satu pihak, Dr Mahathir di pihak yang lain, dan apa yang diumumkan melalui kenyataan MT merupakan tolak-ansur antara perwakilan MT dengan Dr Mahathir.
Masalah sekarang ialah seandainya tarikh dan cara pengunduran Dr Mahathir bukan kerelaan beliau, siapakah dapat menjamin beliau akan mematuhi tarikh dan cara yang diumumkan oleh MT Umno itu?
Dan sekiranya pengunduran Dr Mahathir telah menjadi sesuatu yang tidak dapat diubah, siapa pula dapat menjamin Abdullah tidak akan dicabar dalam perhimpunan Umno dalam bulan Jun 2003 kelak?
Yang pasti era Mahathir telah berada di penghujung jalan, tetapi masih terlalu awal untuk memastikan siapakah penggantinya.!
LEE BAN CHEN merupakan penulis dan aktivis dalam bidang pendidikan, politik dan sosial.

