Kerajaan Negeri Terengganu Pas telah meluluskan Undang-Undang Syariah (Hudud dan Qisas) walaupun ia ditentang dan dipertikaikan oleh banyak pihak, termasuk parti sahabat Barisan Alternatif (PRM misalnya) sendiri.

Menteri Besar Terengganu merangkap Pemangku Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri pernah mengakui bahawa hukum hudud hanya 0.001 peratus daripada keseluruhan syariah Islam.

Namun demikian, kenapa Pas begitu ghairah dan secara terburu-buru hendak melaksanakan bahagian syariah yang amat kontroversial ini?

Pihak Umno menuduh hudud yang digubal oleh Kerajaan Negeri Pas sebagai muslihat politik, kerana mereka tahu penggubalan undang-undang jenayah adalah dalam bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Oleh itu, Undang-Undang Syariah (Hudud dan Qisas) yang diluluskan, baik oleh Kerajaan Negeri Kelantan maupun Kerajaan Negeri Terengganu tidak dapat dikuatkuasakan.

Apabila penguatkuasaannya ditegah oleh Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional (BN), maka Umno, sebagai parti Melayu dalam BN, dilihat sebagai anti-Islam.

Perlembagaan Negara

Oleh itu, menurut PAS, pengumuman Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad bahawa Malaysia sebuah negara Islam dianggap tidak betul, tetapi sebaliknya negara Islam tajaan PAS yang merupakan negara Islam tulen. Atau dengan lebih ringkas: PAS lebih Islam daripada Umno.

Menurut pemimpin PAS, mereka telah bersedia menghadapi dakwaan bahawa undang-undang hudud, qisas dan takzir Kelantan dan Terengganu bertentangan dengan Perlembagaan Negara, sekaligus ianya tidak dapat dikuatkuasakan. Namun mereka merahsiakan strategi mereka untuk menangkis dakwaan tersebut.

Malah pihak polis Terengganu telah menegaskan pendiriannya tidak dapat membantu kerajaan negeri untuk melaksanakan undang-undang berkaitan kerana bercanggah dengan Perlembagaan Negara.

Bagaimanapun sesetengah pemimpin Pas (umpamanya Hassan Mohd Salleh, Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Payung) berpendapat bahawa undang-undang tertinggi negara kita bukanlah perlembagaan yang digubal oleh orang Kristian, Lord Reid, tetapi adalah al-Quran.

Kepada umat Islam, ini memang kebenaran yang tidak dapat dipertikaikan, tetapi ia bercanggah dengan realiti sistem politik negara kita yang dilaksanakan selama ini.

Demikianlah percanggahan dan dilema dasar PAS yang memperjuangkan keagungan dan pelaksanaan syariah yang menyeluruh, akibat agama dicampuradukkan dengan sistem politik negara yang melibatkan rakyat semua kaum, termasuk Islam dan bukan Islam.

Umno tertekan

Dalam persaingan dengan Umno (iaitu sesama Islam), terutamanya di Kelantan dan Terengganu, hujah mengenai kewajiban untuk melaksanakan hukum hudud sebagai undang-undang Allah mungkin sukar ditepis oleh Umno khasnya dan umat Islam amnya.

Tetapi, ia tidak semestinya merupakan strategi yang bijaksana dan menguntungkan sekiranya ditinjau dari senario politik negara keseluruhannya, demi jangka masa yang pendek dan panjang.

Tinjauan ini dibuat atas tiga pertalian: Pertama, persaingan PAS dan Umno untuk menarik sokongan umat Islam; kedua, hubungan PAS dengan masyarakat bukan Islam; dan ketiga, hubungan PAS dengan parti-parti sahabat dalam Barisan Alternatif.

Tidak dapat dinafikan, selepas tahun 1997/98, tindakan Dr Mahathir dalam menangani kes Anwar Ibrahim, penggunaan Akta Keselamtan Dalam Negeri (ISA), politik wang, rasuah dan kronisme, telah menyebabkan Umno kehilangan banyak sokongan orang Melayu. Manakala PAS pula mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya umum 1999 dengan mendapat sokongan daripada 60 peratus pengundi Melayu.

Umno rasanya tertekan oleh serangan PAS dari segi agama, sehingga Dr Mahathir terpaksa memainkan muslihat politik, dengan mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam pada 29 Sept 2001.

Malah, beliau juga mendakwa dirinya sebagai seorang Islam fundamentalis, bukan seorang pemimpin Islam yang sederhana seperti yang dianggap selama ini.

Nampaknya PAS dan Umno sedang berlumba-lumba untuk membuktikan bahawa masing-masing lebih bersifat Islam dan lebih radikal. Kedua-dua parti itu melipatgandakan usaha masing-masing dalam melaksanakan program-program Islamisasi.

Selama ini, hudud merupakan satu dasar yang membezakan PAS dengan Umno. PAS sejak tahun 80-an telah sibuk menyediakan draf undang-undang hudud dan cuba sedaya-upaya untuk melaksanakannya. Umno sebaliknya menentang pelaksanaannya, meskipun alasan penentangannya berubah-ubah dari masa ke semasa.

Program Islamisasi

Memandangkan hudud merupakan undang-undang yang digunapakai 14 abad dahulu, di satu pihak, ia adalah undang-undang Allah yang tidak boleh diubah oleh manusia, manakala di pihak yang lain, tanpa ubahsuai mengikut edaran zaman, ia tentu sukar dilaksanakan secara adil seperti yang dihendaki Islam.

Justeru itu, setengah negara Islam yang melaksanakan hudud telah gagal atau sedang menghadapi pelbagai masalah.

Pertikaian, perdebatan, penentangan dan permasalahan yang ditimbulkan berkaitan kezaliman dan kelemahan undang-undang hudud di Kelantan dan Terengganu sebelum ia dilaksanakan, sudah cukup untuk menjelaskan keutamaan yang diberikan oleh PAS untuk melaksanakan undang-undang hudud, tidak begitu bijaksana dari segi strategi politik.

Buat apa membebankan diri dalam menggubal dan melaksanakan undang-undang hudud yang begitu kontroversial, sedangkan ia adalah dalam bidang kuasa Kerajaan Persekutuan? Kenapa tidak dibiarkan Kerajaan Barisan Nasional yang memikul beban tersebut untuk mengisi dakwaannya bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam?

Mana-mana parti politik atau pakatan parti politik yang ingin memegang tampuk kuasa pemerintahan negara mesti ingat bahawa negara kita merupakan negara berbilang kaum. Oleh itu, sebarang dasar yang tidak dapat diterima oleh rakyat berbilang kaum tentunya tidak dapat dianggap sebagai dasar yang baik jika dipandang dari segi strateginya.

Berpura-pura hudud akan diterima oleh rakyat bukan Islam adalah tidak realistik. Mendakwa rakyat bukan Islam tidak dapat menerima hudud adalah kerana mereka belum atau kurang faham juga sangkaan subjektif yang tidak berasas.

Implikasi politik

Usahlah meyakinkan rakyat bukan Islam untuk menerima hudud, saya percaya ramai juga orang Islam yang keberatan untuk menerimanya, yang berlainan hanya mereka sebagai orang Islam sukar hendak menolak undang-undang Allah .

Satahu saya, ramai penyokong Barisan Alternatif yang menyokong PAS dalam pilihanraya umum lalu, telah berubah sikap, sama ada berpaling ke pihak Barisan Nasional atau terlalu kecewa dengan PAS sehingga teragak-agak untuk terus menyokong BA.

Ketegasan PAS dalam penggubalan dan pelaksanaan undang-undang hudud telah menyerlahkan imejnya sebagai parti radikal yang memperjuangkan hegemoni Islam terhadap rakyat bukan Islam demi mewujudkan sistem negara teokrasi yang sukar diterima oleh rakyat bukan Islam.

Dr Syed Husin Ali, ketika menyentuh tentang hudud, dalam ucapan dasarnya sebagai Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM) dalam kongres nasional parti itu yang ke-35, telah mengatakan mereka tidak faham mengapa Kerajaan Terengganu begitu terburu-buru sehingga parti-parti sahabat dalam BA pun tidak diberi peluang untuk menghalusi dan mengkaji implikasi politiknya terlebih dahulu.

Beliau juga mengatakan PRM tidak bersetuju dengan sebarang usaha oleh sesiapa pun dan dari apa agama pun, untuk mewujudkan sebuah negara teokrasi, di mana sekumpulan elit politik yang berkuasa cuba memaksakan sistem serta nilai agamanya saja ke atas seluruh rakyat, termasuk rakyat yang berlainan agama.

Beliau berkata, sekiranya PAS beranggapan ia tidak perlu lagi berbincang dengan parti-parti sahabat dan yakin bahawa dengan membawa isu negara Islam dan akta Hudud itu, ia boleh menguat serta meluaskan pengaruhnya, maka ia bermakna kedudukan BA menjadi bertambah sulit.

Kurang bijaksana

Seterusnya, kata beliau, jikalau PAS mengutamakan strategi untuk mempertahan dan meluaskan sokongan hanya di negeri dan kawasan majoriti besar pengundi Melayu, berertilah ia tidak begitu mementingkan peranannya dalam politik negara seluruhnya.

Seandainya semua ini berlaku, maka pentinglah bagi BA untuk segera membuat penilaian diri, dan menentukan apakah cara baru yang terbaik dan berkesan bagi semua parti pembangkang untuk menentang BN dalam pilihanraya umum akan datang. Nampaknya strategi PAS telah menimbulkan krisis baru bagi pakatan BA.

Berdasarkan analisis di atas, maka nyatalah sebagai strategi politik, keutamaan dan keghairahan PAS memperjuangkan hudud dan negara teologi sebenarnya telah menyerlahkan imejnya sebagai sebuah parti agama yang berwawasan sempit dan konservatif.

Ia bukan saja telah mensia-siakan hubungan baik yang telah dibinanya dengan masyarakat bukan Islam selama ini, malah menghakiskan perpaduan pakatan BA yang memperjuangkan reformasi politik negara kita.

PAS harus mengubah strategi politiknya yang kurang bijaksana ini sekiranya ia benar-benar menghargai imejnya yang lebih terbuka, progresif dan berwawasan, serta mementingkan hubungan baik parti itu dengan masyarakat bukan-Islam.

Ia juga penting untuk perpaduan pakatan BA untuk memperjuangan suatu sistem politik baru yang lebih adil, demokratik, terbuka dan progresif untuk rakyat kita yang berbilang kaum dan agama. Bertindaklah sebelum terlewat!


LEE BAN CHEN merupakan penulis dan aktivis dalam bidang pendidikan, politik dan sosial.