Dasar Inggeris dan ugutan ISA
Suasana negara kita tiba-tiba menjadi tegang selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad memberi amaran keras terhadap 'puak ekstremis Cina', Dong Jiao Zong (Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Malaysia Cina dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina).
Kononnya mereka telah "bermain api dengan terus membangkitkan sentimen perkauman dalam isu pelaksanaan penggunaan bahasa Inggeris dalam matapelajaran Sains dan Matematik".
Tegas beliau lagi: "kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap puak terbabit yang cuba membakar perasaan kaum Cina sehingga boleh mencetuskan huru-hara di negara ini."
Ketika mengulas amaran Perdana Menteri tersebut, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Zainal Abidan Zin berkata kerajaan akan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam usaha menbendung kegiatan ekstremisme perkauman.
Sikap Dr Mahathir dan Kerajaan BN tersebut adalah "melampau, lari dari isu sebenar dan berbau hasutan" sepertimana tuduhan Pemuda Umno terhadap Pengerusi Dong Zong, Quek Suan Hiang.
Dasar penggunaan bahasa Inggeris dalam matapelajaran Sains dan Matematik itu bukan dasar yang digubal secara demokratik dan saksama dengan penyertaan dan persetujuan semua pihak yang terbabit, tetapi ia dipaksakan oleh Dr Mahathir dan konco-konconya secara terburu-buru ke atas Umno, Kabinet Barisan Nasional (BN), Kementerian Pendidikan dan sekolah-sekolah yang berkenaan.
Masalah siswazah Melayu
Mereka sebenarnya bukan pakar dalam bidang pendidikan. Mereka tidak berkemampuan untuk meyakinkan pihak-pihak yang menentang dasar berkenaan kerana mereka sendiri juga tidak begitu pasti tentang tujuan dan kesudahan pelaksanaan dasar terlibat.
Pada mulanya, Dr Mahathir mendapat 'inspirasi' dan berura-ura hendak memulihkan aliran bahasa Inggeris untuk mengatasi masalah siswazah Melayu yang kononnya gagal mendapat kerja kerana tidak dapat menguasai bahasa Inggeris -- suatu pandangan yang keliru dan mengelirukan.
Cadangan Dr Mahathir yang cukup 'radikal' ini tentu sukar diterima oleh Umno yang selama ini mengamalkan dasar ketuanan Melayu. Sebagai tolak ansur (baca:memberi muka kepada Dr Mahathir), suatu dasar yang dianggap tidak begitu radikal, iaitu penggunaan bahasa Inggeris dalam matapelajaran Sains dan Matematik pun diluluskan.
Setelah disangsikan keberkesanan meningkatkan tahap Inggeris melalui penggunaan bahasa Inggeris dalam matapalajaran Sains dan Matematik, dasar itu pun dipertahankan dengan alasan baru bahawa pelaksanaannya bertujuan untuk meningkatkan pencapaian ilmu Sains dan Matematik.
Pengalaman dan kajian di Hong Kong, Singapura dan Sekolah Menengah Cina swasta di negara kita sendiri, mendapati penggunaan bahasa Inggeris bagi matapelajaran Sains dan Matematik di sekolah aliran Cina, tidak dapat meningkatkan tahap bahasa Inggeris, malah tahap pencapaian mereka dalam matapelajaran tersebut turut terjejas. Bak kata pepatah Melayu: Yang dikejar tak dapat, yang dikandung keciciran!
Dalam keadaan ini, dasar berkenaan bukan saja ditentang oleh Dong Jiao Zong, ia turut ditentang banyak pertubuhan nasionalis Melayu, termasuk Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) dan Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM).
Alasan yang menyakinkan
Turut menentangnya ialah Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Kesatuan Pekerja Dewan Bahasa dan Pustaka dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan banyak lagi pertubuhan bukan-kerajaan India (NGO) dan pendidik India.
Di samping Dong Jiao Zong, Persatuan Guru-Guru Besar Sekolah Cina Malaysia juga menentang dasar tersebut, dengan mengeluarkan kenyataan panjang lebar mengandungi alasan-alasan yang berasaskan pengalaman/pengetahuan praktikal mereka mengajar murid di sekolah masing-masing.
Ramai guru besar, guru dan ibubapa pelajar Sekolah Tamil juga menyuarakan penentangan mereka tanpa menghiraukan tekanan politik yang mereka hadapi dari MIC. Jika dibenarkan dan berpeluang, saya yakin pendidik dan ibubapa Sekolah Kebangsaan tentu tidak kurang lantang menyuarakan penentangan mereka.
Mengikut media, dilaporkan DBP sedang dalam proses pemungutan tandatangan sejuta orang untuk menentang dasar tersebut. Memandangkan PAS, Parti Rakyat Malaysia (PRM), Keadilan dan DAP turut menentang dasar tersebut, maka MCA, Gerakan, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan parti komponen BN yang lain, menjadi serba-salah dan buat sementara itu, cuba duduk di atas pagar.
Jika ada mana-mana pihak yang menjalankan pemungutan suara secara besar-besaran dan tersusun, mendapat sejuta tandatangan penentang, tentu tidak menjadi masalah!
Jika dasar penggunaan Inggeris itu diperdebatkan secukupnya secara terbuka dan demokratik tanpa sebarang sekatan, amaran serta ugutan dan selepas itu, suatu pungutan suara diadakan di seluruh negara, saya yakin dasar itu tentu dapat ditolak oleh rakyat pelbagai bangsa yang cintakan bahasa ibunda masing-masing.
Oleh itu, yang menentang dasar itu yang membabitkan ratusan malah ribuan pertubuhan bukan-kerajaan dan parti-parti politik pelbagai bangsa, kenapa Dong Jiao Zong saja yang dijadikan kambing hitam? Kenapa Quek Suan Hiang dan Sim Mou Yu yang dijadikan sasaran amaran sebagai 'puak ekstremis Cina' dan ugutan ISA digunapakai untuk menganiayai mereka?
Bermain dengan api
Dong Jiao Zong dicap sebagai "puak ekstremis Cina yang bermain api dan akan mencetuskan huru-hara", betul-betul tuduhan yang "lari dari isu" dan tidak berasas sama sekali, kerana tiada sesiapa yang tidak setuju untuk meningkatkan tahap bahasa Inggeris di sekolah kita. Perselisihan faham hanya mengenai cara untuk mencapainya.
Dalam sebuah negara yang kononnya mengamalkan sistem demokrasi, bukankah sepertimana NGO yang lain, Dong Jiao Zong juga berhak menyuarakan penentangannya sekiranya ia berpendapat dasar berkenaan akan mengorbankan kepentingan pelajar di SK, SJKC dan SJKT? Masakan ini boleh dicap sebagai membakar sentimen perkauman?
Soal sekarang bukanlah orang Cina bertentangan dengan orang Melayu, tetapi isu bahasa ibunda, iaitu bahasa Melayu, bahasa Cina dan bahasa Tamil bertentangan dengan bahasa Inggeris.
Pertentangan tersebut tidak bermakna mereka memusuhi bahasa Inggeris, sebaliknya mereka bersetuju untuk meningkatkan tahap bahasa Inggeris di sekolah masing-masing, tetapi bukannya melalui penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran/pembelajaran matapelajaran Sains dan Matematik. Itu saja!
Pada hakikatnya tiada sesiapa yang sedang membakar sentimen perkauman dalam ertikata mengadu-dombakan satu kaum dengan kaum yang lain. Oleh itu, tidak mungkin huru-hara akan dicetuskan, selain daripada ketegangan yang ditimbulkan akibat ugatan penggunaan ISA!
Cara penyelesaian yang diperlukan sekarang bukan penggunaan ISA, tetapi amalan demokrasi yang tulen, iaitu mencari kata-sepakat melalui perundingan dengan pihak-pihak berkenaan! Anggapan Dong Jiao Zong bahawa pelaksanaan dasar itu akan menghakiskan ciri atau identiti SJKC juga berasas.
Puak ekstremis Melayu
Cuba fikirkan, jika dasar itu dilaksanakan, bermakna dalam lima matapelajaran peperiksaan UPSR -- iaitu bahasa Cina, bahasa Melayu, bahasa Inggeri, Sains dan Matematik -- hanya satu kertas saja bahasa Cina digunakan sebagai pengantar, maka bolehkah ia masih dikenali sebagai SJKC? Jika kita tidak berprasangka, kita tentu setuju ia lebih sesuai dipanggil sebagai Sekolah Jenis Kebangsaan Inggeris (SJKI) !
SK dan SJKT juga akan mengalami nasib yang sama. Adakah sesiapa yang mendedahkan hakikat ini juga akan dituduh sebagai 'puak ekstremis Melayu' dan 'puak ekstremis India' yang cuba membakar sentimen perkauman Melayu dan sentimen perkauman India?
Kenapa hanya membenarkan Dr Mahathir dan konco-konconya untuk mengagung-agungkan bahasa Inggeris, tetapi tidak membenarkan rakyat pelbagai bangsa untuk membela bahasa ibunda masing-masing?
Dr Mahathir dan konco-konconya malah cuba menghasut kaum Melayu agar salah faham dan bermusuhan dengan Dong Jiao Zong dan pemimpin-peminpinnya. Kononnya "ada orang fikir mereka begitu penting sehingga orang lain tidak berani bertindak", dan "orang ini bukan sahaja tidak mahu bahasa Inggeris, mereka juga tidak mahu budak Melayu dan Cina bercampur. Dekat pun tak boleh. Sebab itu, mereka menentang Sekolah Wawasan."
Maklumlah pemimpin masyarakat Cina juga manusia biasa. Mana ada manusia biasa yang tidak takut kepada ISA? Jika mereka terpaksa menggagahkan diri untuk menghadapi undang-undang zalim itu, sudah pasti bukan kerana mereka memikirkan mereka begitu penting sehingga Dr Mahathir tidak berani bertindak, tetapi kerana mereka juga ada maruah dan sudi berkorban untuk mempertahankan bahasa dan pendidikan ibundanya.
Kenapa diheret pula isu Sekolah Wawasan yang tidak berkaitan dengan isu penggunaan bahasa Inggeris ini? Mengikut panduan Projek Sekolah Wawasan, prinsip sukarela telah digunapakai.
Pengalaman pahit
Dengan perkataan lain, sekolah yang terbabit berhak untuk memilih sama ada menyertai projek berkenaan atau kekal seperti sediakala . Jika kita semua bersetuju bahawa perpaduan tidak boleh dipaksakan, maka isu Projek Sekolah Wawasan tentu telah selesai.
Maklumlah bahawa Dong Jiao Zong menaruh syak wasangka terhadap Projek Sekolah Wawasan bukan tanpa sebab. Pengalaman lampau mereka terlalu pahit untuk dilupakan, akibat senantiasa terancam oleh matlamat muktamad Dasar Pelajaran Nasional yang ingin menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam semua aliran sekolah.
Namun demikian , menuduh Dong Jiao Zong tidak mahu budak Melayu bercampur dengan budak Cina, dekat pun tak boleh (hasutan yang terang lagi menyuluh) jelas sekali berniat jahat. Jika benar, masakan Dong Jiao Zong bersetuju pada 1981 dan mencadang semula sekarang supaya Rancangan Integrasi Murid-murid untuk Perpaduan yang melibatkan lapan aktiviti itu dilaksanakan!
Berdasarkan analisis tersebut, nampaknya Dr Mahathir dan konco-konconya sedang melalui media yang dikuasainya, secara sistematik, berkomplot untuk menghasut dan membakar sentimen perkauman Melayu untuk memusuhi Dong Jiao Zong dan pemimpinnya, agar ISA dapat digunakan terhadap mereka sekiranya mereka tidak tunduk kepada ugutan dan gertakan ISA dan terus menentang dasar Inggeris yang mahu dilaksanakan tahun depan.
Saya yakin kaum Melayu yang kian insaf kini tentu tidak begitu mudah tertipu oleh komplot Dr Mahathir dan konco-konconya . Umpan seumpan, kail sebentuk, masakan dapat membendung gerakan penentangan rakyat pelbagai bangsa yang kian merebak di seluruh negara itu!
LEE BAN CHEN merupakan penulis dan aktivis dalam bidang pendidikan, politik dan sosial.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.