Setelah ugutan penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak begitu berkesan untuk membendung penentangan pelaksanaan dasar bahasa Inggeris, taktik hasutan perkauman terus digunakan tanpa menghiraukan akibat buruknya.

Kali ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Abdul Aziz Samsudin pula menuduh Sekolah (Menengah) Cina Swasta sebagai "sudah lama menjalankan program bahasa Inggeris secara rahsia" dan kononnya "kumpulan terbabit (baca: Dong Jiao Zong) hanya mahu kaumnya yang maju dengan menyekat kaum lain menyaingi kemahiran itu."

Tambah beliau: "Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, yang bimbang dengan perkembangan ini, bertindak bijak dengan tidak membenarkan kumpulan terbabit bermaharajalela", oleh itu, "kita tidak akan tunduk terhadap tekanan mereka."

Dalam tuduhannya itu, Dong Jiao Zong digambarkan sebagai kumpulan hipokrit yang 'cakap tak serupa bikin' di satu pihak menentang dasar penggunaan bahasa Inggeris kerajaan, manakala di satu pihak lagi, melaksanakan program bahasa Inggeris yang sama secara 'rahsia'.

Dwistandard itu seolah-olah suatu komplot untuk memajukan kaum Cina, dan pada masa yang sama, ingin pula menyekat kaum lain daripada menguasai kemahiran berbahasa Inggeris dengan penentangan pelaksanaan program yang terbabit. Oleh itu, kerajaan tidak akan tunduk kepada tekanan mereka yang bersikap maharajalela itu, kata Abdul Aziz.

Tuduhan itu serius dan tidak berasas sama sekali. Sebagai suatu gerakan memperjuangkan kewujudan dan perkembangan bahasa dan pendidikan ibunda sebagai hak asasi manusia, hak ibubapa pelajar dan hak sesuatu kaum, Dong Jiao Zong juga tidak pernah mengkompromikan kualiti pendidikan.

Bahasa ibunda

Berasaskan pengalaman amali berpuluh-puluh tahun mereka dalam menguruskan Sekolah Menengah Cina Swasta, Dong Jiao Zong mendapati penggunaan bahasa ibunda untuk pembelajaran semua matapelajaran, melainkan matapelajaran bahasa bukan ibunda, adalah paling berkesan dalam pencapaian akademik.

Oleh itu, penggunaan bahasa ibunda, iaitu bahasa Cina dalam konteks ini, sebagai bahasa pengantar utama (termasuk matapelajaran Sains dan Matematik) di Sekolah Menengah Cina Swasta telah menjadi dasar Dong Jiao Zong yang konsisten sejak tahun 1970-an.

Namun demikian, kerana Dong Jiao Zong bukan badan berkuasa seperti Kementerian Pendidikan, ia tidak dapat memaksa semua Sekolah Menengah Cina Swasta (berjumlah 60 buah) untuk mengikuti dasar bahasa pengantarnya. Oleh itu, terdapat juga sejumlah sekolah, terutama di Sabah dan Sarawak, dan beberapa sekolah di bandaraya (seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru) yang menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajar Sains dan Matematik.

Ada juga beberapa sekolah yang menggunakan bahasa Melayu untuk matapelajaran Sains dan Matematik, di samping terdapat banyak sekolah yang mengadakan kelas petang untuk menyediakan pelajarnya yang ingin menduduki peperiksaan kerajaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Program-program ini diluluskan oleh Lembaga Pengurus Sekolah terbabit dan dilaksanakan oleh pihak sekolah secara terbuka bukan secara rahsia seperti yang digambarkan di atas oleh timbalan menteri pendidikan, kerana tidak perlu dirahsiakan.

Ia dijalankan selama puluhan tahun, malah sebelum dasar penggunaan bahasa Inggeris bagi matapelajaran Sains dan Matematik digubal dan dijadual dilaksanakan mulai tahun depan. Program berkenaan tidak pernah (juga tidak perlu) direstui Dong Jiao Zong. Sebaliknya, ia sering dibidas oleh Dong Jiao Zong dari segi kepentingan pendidikan bahasa ibunda dan keberkesanan/pencapaian akademik.

Tuduhan tidak berasas

Oleh itu, teori komplot oleh Abdul Aziz merupakan tuduhan liar yang boleh dijadikan bahan ketawa di kalangan mereka yang mengetahui fakta sebenar. Lantaran itu, memang tidak masuk akal jika Dong Jiao Zong didakwa sebagai berniat untuk menyekat orang Melayu dari menyaingi kemahiran bahasa Inggeris.

Cuba fikirkan! Berbanding Umno yang berkuasa dan sikit-sikit saja menggertak menggunakan ISA dan Akta Rahsia Rasmi (OSA) untuk menindas mereka yang berani menentang, masakan pimpinan Dong Jiao Zong yang berada dalam dilema dan menghadapi risiko demi mempertahankan pendidikan bahasa ibunda berani dan berkemampuan untuk menyekat orang Melayu dari membuat sesuatu yang mereka relai?

Dengan menyifatkan Dong Jiao Zong sebagai "bermaharajalela", ia mengingatkan saya mengenai cara samseng yang hendak mencari pasal. Taktik yang sering digunakan ialah si mangsa dicabar dengan tenungan provokatif. Sekiranya tenungan itu dibalas, maka si mangsa dituduh mencabarnya.

Setelah si mangsa menderita kerana keganasan si samseng tadi, yang bersalah tetap si mangsa itu kerana mengikut logik si samseng si samseng terpaksa bertindak sedemikian untuk mempertahankan maruahnya (seumpama Umno terpaksa mengambil tindakan untuk mempertahankan maruah bangsa Melayu), kerana pantang tunduk kepada tekanan/cabaran Dong Jiao Zong yang dicap sebagai "puak ekstremis Cina" umpamanya! Padahal yang bermaharajalela ialah samseng, dan yang tertekan/tercabar dan dianiaya adalah si mangsa.

Berbalik kepada isu pertukaran bahasa pengantar, Dong Jiao Zong dan penentang lain dari pelbagai kaum ialah pihak tertekan dan mungkin menjadi mangsa ISA dan OSA sekiranya mereka tidak tunduk kepada dasar bahasa Inggeris kerajaan.

Bahasa komuniti

Dari segi ini, yang bermaharajalela sebenarnya kerajaan Umno, tak mungkin Dong Jiao Zong yang ditekan dan digertak. Dong Jiao Zong memang berpengalaman dan pakar dalam pendidikan bahasa ibunda dan faham benar tentang kesan negatif penggunaan bahasa Inggeris dalam peringkat sekolah rendah dan menengah.

Namun Kementerian Pendidikan begitu angkuh dan birokratik. Mereka enggan berjumpa dengan Dong Jiao Zong, usahkan mengambil iktibar dari pengalaman mereka, tetapi sebaliknya bermati-matian hendak melaksanakan dasar bahasa Inggeris yang barang tentu akan membawa malapetaka kepada ketiga-tiga aliran sekolah negara kita.

Yang ironis sekali ialah bila kita bersedia untuk menggantikan bahasa ibunda dengan bahasa Inggeris untuk matapelajaran Sains dan Matematik; di Britain, guru bahasa komuniti kaum minoriti seperti Arab, Punjabi, Mandarin, Turki, Urdu dan bahasa Benggali sebaliknya dilatih untuk mengajar murid yang belum mahir berbahasa Inggeris.

Menurut laporan editor pendidikan The Independent , Richard Garner pada 4 Ogos 2002, kursus latihan perguruan untuk mengajar matapelajaran bahasa Arab, Mandarin dan Punjabi akan ditawarkan oleh kolej Goldsmith, Universiti London mulai September depan.

Sebelum ini, latihan perguruan bagi bahasa Turki ditawarkan oleh Universiti Middlesex, bahasa Urdu oleh Sheffield Hallam, dan bahasa Bengali oleh East London. Manakala Sekolah White Hart Lane telah menggunakan bahasa Turki untuk mengajar matapelajaran Sains bagi 371 pelajar Turki dan 113 pelajar Kurd.

Sekolah rendah

Kata Encik Daniels, guru kanan sekolah tersebut: "Ini bukan soal meningkatkan tahap pencapaian, tetapi membebaskan pencapaian yang akan diperolehi. Pada permulaannya, mereka mungkin memperolehi 80 peratus melalui bahasa ibunda, tetapi hanya 20 peratus melalui bahasa Inggeris."

Inilah juga hujahan Dong Jiao Zong dan pertubuhan bahasa dan pendidikan Melayu dan India, tetapi tidak diendahkan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan konco-konconya.

Sekarang Gerakan mulai berkokok lebih kurang sama, mengenai penggunaan bahasa Inggeris bagi matapelajaran Sains dan Matematik pada peringkat sekolah rendah (mereka tidak berani menentang pertukaran bahasa pengantar di peringkat sekolah menengah yang juga akan mendatangkan kesan negatif), yang ditokok tambah sana-sini. Hairan sekali, kini Pemuda Umno sanggup menyokongnya!

Kini Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Dr Mahathir tentu dapat membantu lima parti berasaskan kaum Cina dalam BN untuk mencapai kata sepakat. Dan Dr Mahathir juga janji akan menimbang semua cadangan yang dikemukakan, termasuk cadangan Gerakan.

Adakah cadangan Gerakan akan merupakan anak tangga untuk Dr Mahathir dan konco-konconya turun daripada harimau yang ditungganginya? Bersama-sama kita tunggu perkembangannya.