Mereka yang menghayati kenyataan Mohamad Ezam Mohd Nor di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya selepas dijatuhkan hukuman dua tahun penjara di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) pada 7 Ogos 2002, tentu meyakini bahawa Ezam telah "melaksanakan tanggungjawab moral kepada rakyat dan negara" seperti tajuk kenyataannya.

Sayangnya, belum ada mahkamah bebas yang berani mengadili, menghukum dan membetulkan segala penyelewengan yang didakwa oleh Ezam itu.

Tegas Ezam: "Sekiranya mendedahkan salahlaku rasuah dan salahguna kuasa pemimpin kerajaan menjadikan saya seorang penjenayah, saya rela untuk seribu kali lagi dihukum dan digelar penjenayah."

Seandainya Ezam seorang pengecut, sudah tentu dua dokumen yang dicop "RAHSIA", - mengenai Siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz dan Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik, yang diterimanya melalui kiriman Pos Laju - diserah kepada pihak polis seperti yang diwajibkan oleh OSA.

Sekiranya Ezam tidak berani menghadapi risiko, sudah tentu dia tidak berani mengadakan sidang akhbar pada 6 November 1999 untuk mendedahkan perkara itu, kerana mengikut OSA, perbuatan beliau itu, jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara minimum setahun atau maksimum tujuh tahun.

Ezam tidak menyerahkan dua dokumen tersebut kepada polis kerana dia tidak lagi menaruh harapan kepada pasukan itu, setelah"puluhan laporan polis membabitkan penguasa yang rasuah yang pernah saya (beliau) buat bersama raka-rakan lain, kesemuanya lenyap begitu sahaja."

Sungguhpun Ezam memberi kerjasama apabila dipanggil memberi keterangan, tetapi akhirnya dia sedar telah tertipu, kerana "keterangan hanya diambil dari saya. Polis tidak pernah mengambil keterangan daripada individu yang disabitkan dalam laporan polis saya kerana mereka adalah Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri serta kerabat dan kroni mereka"

Ditahan di lokap

Lebih malang lagi, dia telah dilihat sebagai "musuh negara" yang "mengancam keselamatan negara". Dia menghadapi pelbagai tuduhan dan ditahan berkali-kali di lokap polis dan akhirnya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) "untuk mempastikan saya tidak tampil lagi ke balai polis untuk membuat laporan yang akan mengancam kedudukan pemimpin rasuah, bukannya keselamatan negara".

"Saya (beliau) digelar penderhaka, pengkhianat, pengganas, penghasut" yang "memfitnah dan memecahbelahkan rakyat", dan ditahan di bawah ISA dan OSA yang melucutkan hak beliau untuk mempertahan dirinya.

Cabar beliau: "Kalau itu alasannya, mengapa tidak diambil tindakan undang-undang ke atas dakwaan fitnah? Tidak sukar untuk menyaman dan mendakwa saya kerana pendedahan saya spesifik dan khusus - menyebut nama projek, nama syarikat, nama kroni, nama kerabat, nama dana dan jumlah wang rakyat yang disamun."

"Laporan siasatan BPR itu menampilkan bukti dan asas-asas yang kukuh mengenai perlakuan rasuah dan salahguna kuasa dua pemimpin kerajaan, Datuk Seri Rafidah Aziz ( kiri ) dan Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik. Dalam laporan itu, BPR mencadangkan agar kedua-dua pemimpin kerajaan ini didakwa di mahkamah. Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara dalam laporan yang sama turut menyokong dan memperakukan cadangan BPR itu."

Kata Ezam:"Sesiapa yang meneliti kandungan laporan ini pasti dapat melihat betapa gigihnya pegawai-pegawai BPR menyiasat salahlaku rasuah dua pemimpin kerajaan ini. Bukti yang ditampilkan kukuh. Maklumat khusus termasuk beberapa akaun bank milik mereka bernilai jutaan ringgit ditampilkan. Maklumat khusus berjuta saham yang diperuntukkan dan pemilikan harta peribadi bernilai jutaan ringgit juga disenaraikan dengan terperinci."

Tambah beliau :"Lebih menjijikkan bila membaca pengakuan menteri itu bahawa beliau terus mempengerusikan mesyuarat itu walaupun sedar ianya merupakan satu kesalahan kerana diarah oleh Perdana Menteri. Perdana Menteri, supaya beliau pastikan anak beliau (Perdana Menteri) juga diberikan peruntukan saham dalam mesyuarat yang sama."

"Persoalannya, bagaimana seorang individu yang telah disiasat dan dibuktikan oleh BPR dan Jabatan Peguam Negara mempunyai asas kukuh untuk didakwa, masih terus lepas bebas? Bagaimana individu ini bukan sahaja bebas, tetapi masih menjadi menteri?" Ini memang suara rakyat Malaysia yang berdhamir (conscience).

Dakwaan serius

Ezam telah mengemukakan dakwaan-dakwaan yang amat serius sekali terhadap Dr Mahathir Mohamad dan menteri-menteri kabinetnya bahawa:

Keputusan akhir terletak di tangan Perdana Menteri. Laporan siasatan BPR menjadi komoditi untuk dinilai sebagai tukaran kesetiaan politik. Kalau kamu setia, pendakwaan tidak akan berlaku. Bukan sekadar itu, dia dijamin selamat. Kertas laporan siasatan akan dicop "RAHSIA" agar tiada siapa tahu. Inilah yang menjadi asas kepada budaya impuniti - kebal dari tindakan undang-undang - di kalangan elit politik negara ini.

Saya (beliau) berani menyatakan di sini hampir kesemua menteri kabinet di negara ini mempunyai asas untuk didakwa atas kesalahan rasuah dan salahguna kuasa. Saya (beliau) mengambil tanggungjawab penuh berhubung dakwaan ini dengan syarat BPR diberikan kebebasan untuk menyiasat dan mengemukakan laporan siasatan kepada umum. Jangan gunakan cop "RAHSIA" di atas semua laporan siasatan tersebut.

Semua dakwaan tersebut dibuat dalam mahkamah secara rasmi dan terbuka bila beliau dibenarkan membuat "rayuan". Namun, sekiranya rejim Dr Mahathir Mohamad tidak berdaya untuk membersihkan dirinya dari tuduhan-tuduhan Ezam, dan tidak berani menyahut cabaran-cabaran Ezam, rejim itu terbukti "sebuah negara yang rosak (a rotten state)" seperti anggapan Ezam.

Kenyataan Ezam tersebut merupakan dokumen bersejarah yang tidak dapat diRAHSIAkan oleh OSA atau mana-mana pihak. Ia merupakan sebahagian daripada kesalahan-kesalahan rejim Dr Mahathir, jika beliau gagal membuktikan tuduhan-tuduhan tersebut adalah palsu!

Bagaimanapun, rakyat Malaysia patut berasa bangga seperti bangganya isteri Ezam, Bahirah: "Saya rasa bangga, bangga apabila beliau mengorbankan kebebasannya kerana menegakkan kebenaran. Ramai yang boleh bercakap, tetapi berapa ramai yang bersedia membayar harganya seperti yang dilakukan suami saya?"

Sekarang Ezam sudah dipenjarakan, salahlaku rasuah dan salahguna kuasa rejim Dr Mahathir masih diterus dan dilindungi oleh ISA , OSA, AH (Akta Hasutan) dan undang-undang zalim yang lain. Patah tumbuh hilang berganti, adakah lebih ramai Ezam akan tampil ke hadapan?


LEE BAN CHEN merupakan penulis dan aktivis dalam bidang pendidikan, politik dan sosial.