Batalkanlah dasar bahasa Inggeris demi kepentingan nasional
Penggunaan bahasa Inggeris untuk matapelajaran Sains dan Matematik mulai tahun depan merupakan isu serius kerana ia melibatkan lima juta pelajar dari tahun satu sehingga ke institusi pengajian tinggi. Dan pendidikan ibunda semua kaum akan terjejas akibat pelaksanaannya.
Tak kira apa alasan untuk mempertahankan dasar baru itu, suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah akibat pelaksanaannya, ciri-ciri Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) akan bertukar menjadi Sekolah Jenis Kebangsaan Inggeris (SJKI).
Ini kerana, daripada lima matapelajaran bagi peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), hanya tinggal satu sahaja dalam bahasa ibunda (bahasa Melayu bagi SK, bahasa Cina bagi SJKC atau bahasa Tamil bagi SJKT). Manakala kertas ujian dalam bahasa Inggeris sebaliknya bertambah menjadi tiga Sains, Matematik dan bahasa Inggeris.
Selain itu, mungkin wujud pula agenda tersembunyi berhubung pelaksanaan Sekolah Bersepadu ( Integrated School ) untuk menghapuskan pelbagai aliran sekolah rendah melalui Sekolah Wawasan yang akan dilaksanakan.
Penggunaan bahasa Inggeris untuk matapelajaran Sains dan Matematik mulai tahun depan merupakan isu serius kerana ia melibatkan lima juta pelajar dari tahun satu sehingga ke institusi pengajian tinggi. Dan pendidikan ibunda semua kaum akan terjejas akibat pelaksanaannya.
Tak kira apa alasan untuk mempertahankan dasar baru itu, suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah akibat pelaksanaannya, ciri-ciri Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) akan bertukar menjadi Sekolah Jenis Kebangsaan Inggeris (SJKI).
Ini kerana, daripada lima matapelajaran bagi peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), hanya tinggal satu sahaja dalam bahasa ibunda (bahasa Melayu bagi SK, bahasa Cina bagi SJKC atau bahasa Tamil bagi SJKT). Manakala kertas ujian dalam bahasa Inggeris sebaliknya bertambah menjadi tiga Sains, Matematik dan bahasa Inggeris.
Selain itu, mungkin wujud pula agenda tersembunyi berhubung pelaksanaan Sekolah Bersepadu ( Integrated School ) untuk menghapuskan pelbagai aliran sekolah rendah melalui Sekolah Wawasan yang akan dilaksanakan.
Baru-baru ini, secara mendadak masalah polarisasi kaum sekali lagi menjadi topik hangat selepas isu itu dibangkitkan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. Para pak turut yang datang sebelum dipanggil dan pergi sebelum disuruh, serta-merta menjadikan apa yang dinamakan polarisasi kaum ini, sebagai tumpuan utama.
Maka media arus perdana pun dengan ghairahnya menyalahkan kewujudan pelbagai aliran sekolah rendah sebagai punca berlakunya polarisasi kaum di negara kita. Dan Sekolah Wawasan pula dianggap sebagai projek penyelesaian yang paling berkesan, sungguhpun projek tersebut sebelum ini telah ditolak oleh sekolah-sekolah yang berkenaan.
Sekolah bersepadu
Setelah dasar bahasa Inggeris dilaksanakan, dan apabila dua atau tiga sekolah berlainan aliran diletakkan di bawah satu bumbung, kerana adanya empat matapelajaran bersama Sains, Matematik, Bahasa Kebangsaan, dan Bahasa Inggeris maka akan wujudkan Sekolah Bersepadu ( Integrated School ) seperti yang dilaksanakan di Singapura.
Dengan lain perkataan, semua aliran sekolah ibunda akan dihapuskan, dan yang wujud sebenarnya Sekolah Bersepadu yang menggunakan bahasa Inggeri sebagai bahasa pengantar utama.
Jika bahasa utama negara kita, iaitu bahasa Melayu, bahasa Cina dan bahasa Tamil, tidak layak dijadikan bahasa pengantar dari tahun satu hingga Institusi Pengajian Tinggi (IPT), bermakna kedudukannya sebagai bahasa moden atau potensinya untuk dibina sebagai bahasa moden, telah dinafikan.
Tidakkah ianya seolah-olah kita telah terjerumus dalam perangkap kuasa besar Barat untuk menakluki negara-negara kecil dan lemah, termasuk negara kita dalam bidang bahasa, kebudayaan, ekonomi dan politik melalui proses globalisasi ? Dari segi ini, dasar bahasa Inggeris sebenarnya merupakan dasar anti-nasional dan tidak patriotik.
Bagi sesuatu kaum, bahasa bukan hanya sesuatu alat yang boleh diguna pakai atau dibuang dan diganti dengan sesuka hati. Ia merupakan salah satu ciri jati diri kaum yang penting, yang berkait rapat dengan riwayat kehidupan dan sejarah perkembangan serta bangkit jatuhnya sesuatu kaum. Dalam hubungan ini, ia adalah jiwa sesuatu kaum.
Umpamanya, bahasa Melayu adalah lingua franca rantau ini dalam zaman kegemilangan Kesultanan Melaka, tetapi terbantut di bawah pemerintahan penjajah Portugis, Belanda, British dan Jepun.
Setelah negara kita mencapai kemerdekaan, barulah bahasa Melayu berpeluang untuk berkembang dengan pesat sekali, bukan saja sebagai bahasa komunikasi antara rakyat pelbagai bangsa, juga merupakan bahasa ilmu, pentadbiran, perundangan, politik, ekonomi dan sebagainya.
Pengaruh Barat
Ratusan, malah ribuan tesis kajian ilmiah ilmu kesusasteraan dan sains bagi ijazah sarjana dan Phd telah ditulis dalam bahasa Melayu. Sekarang ia dengan mendadak dianggap sebagai suatu bahasa yang tidak layak untuk pengajaran/pembelajaran bagi tahun satu sekalipun!
Tidak dapat dinafikan, akibat pemerintahan penjajah British dan pengaruh Barat, rakyat kita, terutamanya elit pemerintah, lapisan profesional dan kalangan perniagaan, masih amat mengagung-agungkan bahasa Inggeris, sehingga mempercayai bahawa pengangguran siswazah Malayu adalah kerana mereka tidak dapat menguasai bahasa Inggeris.
Dan kononnya melalui pengajaran/pembelajaran matapelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, maka diplomat dan perunding perdagangan kita akan menjadi antara bangsa yang akan bertutur bahasa Inggeris seperti orang putih, tanpa telo Melayu, telo Cina atau telo India!
Ini adalah cerita dongeng dan kepercayaan karut mereka yang tidak mengetahui selok-belok menguasai sesuatu bahasa. Yang lebih tidak masuk akal iaitu buat apa menyusahkan lima juta pelajar kita, sedangkan sebilangan kecil saja pelajaran kita yang akan terlibat dalam bidang diplomasi dan bidang perdagangan antara bangsa?
Jangan lupa, di sini adalah Malaysia, bukan Britain, bukan Amerika Syarikat! Oleh itu, jelas sekali isu bahasa Inggeris adalah suatu non-isu yang telah diada-adakan oleh seorang pemimpin besar orang Melayu yang berjiwa Barat, dan telah kehilangan keyakinan diri kerana terlalu kecewa dengan rakyat Malaysia amnya dan kaum Melayu khasnya.
Bagaimanapun, harus ditegaskan bahawa isu bahasa pengantar Inggeris ini bukan isu perkauman yang ditimbulkan oleh apa yang dinamakan "puak ekstremis" Dong Jiao Zong, atau mana-mana pihak dari mana-mana kaum yang menentang pelaksanaan dasar yang anti-nasional dan pro-Barat itu, seperti dakwaan Dr Mahathir Mohamad dan konco-konconya.
Justeru kerana sikap mengagung-agungkan bahasa Inggeris, ketidak-bijaksanaan dan kedegilan Dr Mahathir dan konco-konconya, maka kewujudan pendidikan ibunda rakyat pelbagai kaum telah terancam, dan mungkin diporak-perandakan jika dasar berkenaan tetap dilaksanakan tahun depan.
Kepentingan kaum
Dalam proses perdebatan dasar bahasa Inggeris, maka telah terdedah sifat parti-parti yang mendakwa dirinya sebagai mewakili kaum Melayu, Cina, India dan sebagainya, yang sanggup mengkhianati kepentingan kaum yang kononnya diwakilinya.
Parti-parti terbabit memonopoli kuasa membuat keputusan tanpa menghiraukan hak-hak komuniti dan golongan terbabit yang sepatutnya dibenarkan mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan.
Nyata sekali isu bahasa Inggeris telah dipolitikkan oleh parti-parti komponen Barisan Nasional, terutamanya Umno, kuasa membuat keputusan telah dimonopoli oleh Dr Mahathir dan kabinetnya, tanpa menghiraukan tentangan yang begitu luas sekali dari rakyat pelbagai kaum.
Untuk mengelakkan kesudahan yang begitu serius sekali akibat pelaksanaan dasar bahasa Inggeris itu, tindakan bersama yang lebih berkesan harus dirancang dan diselaraskan untuk menghentikan pelaksanaan dasar terbabit sebelum terlewat.
Umno, terutamanya Dr Mahathir Mohamad tidak perlu menipu diri bahawa dasar tersebut mendapat sokongan rakyat majoriti negara kita. Barisan Alternatif yang mewakili lebih daripada 40 peratus pengundi negara kita telah menyatakan penentangannya.
Pencinta bahasa
Malah ahli akar umbi dalam parti-parti komponen Barisan Nasional juga ramai yang menyuarakan penentangan mereka. Pendapat dalam Umno juga berbelah-bagi.
Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-VI anjuran Gapena (Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia), Persatuan Linguistik Malaysia dan Persatuan Penterjemah Malaysia, telah berlangsung di Dewan Tun Abdul Razak, Tanjung Malim, Perak pada 5 Sept 2002.
Kongres yang telah dihadiri oleh 500 pejuang dan pencinta bahasa Melayu itu, telah "melahirkan kebimbangan yang amat besar terhadap langkah kerajaan menukar bahasa pengantar matapelajaran Matematik dan Sains, daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris.
Menurut mereka, langkah tersebut akan menghentikan perkembangan sihat ilmu dan teknologi dalam bahasa Melayu, dan membawa kesan negatif kepada khususnya anak-anak Melayu luar bandar dan mereka daripada golongan tidak berada.
Oleh itu, Kongres antara lain, telah mengusulkan supaya "kerajaan mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi mata pelajaran sains dan matematik dalam sistem pendidikan negara."
Sebanyak 36 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang berdialog dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 24 Ogos lalu, juga telah mengemukakan pandangan yang bercanggah dengan dasar yang berkenaan.
Puak ekstremis
Sungguhpun Dr Mahathir cuba memencilkan Dong Jiao Zong yang dianggap sebagai "puak ekstremis", dan hanya sudi berdialog dengan Persekutuan Dewan Perniagaan dan Industri Cina Malaysia (ACCCIM) dan Tujuh Persatuan Kebangsaan Sukubangsa Cina, tetapi mereka juga menyuarakan pendirian yang selaras dengan pendirian Dong Jiao Zong, iaitu menyokong usaha kerajaan untuk meningkatkan tahap bahasa Inggeris dalam semua aliran sekolah, tetapi tidak setuju matapelajar Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris di peringkat sekolah rendah.
Jika Dr Mahathir masih bersemangat demokrasi, maka sudah memadai untuk beliau membuat kesimpulan bahawa banyak pihak menyuarakan penentangan terhadap dasar yang kontroversil itu, yang akan mengkucar-kacirkan sistem pendidikan negara kita.
Sebagai seorang Perdana Menteri yang akan berundur, beliau tidak harus secara terburu-buru membuat sesuatu perubahan yang begitu drastik sekali terhadap dasar sistem pendidikan negara kita.
Tindakan yang lebih praktikal dan rasional sekarang ialah membatalkan pelaksanaan dasar bahasa Inggeris itu buat sementara, dan satu Jawatankuasa Bebas Kajian Semula Sistem Pendidikan yang diwakili semua pihak terlibat, termasuk parti pembangkang dan NGO hendaklah ditubuhkan, untuk mengkaji semula secara demokratik dan menyeluruh sistem pendidikan negara semata-mata demi kepentingan pendidikan, tanpa penglibatan kepentingan politik.
Jika Dr Mahathir sudi berbuat demikian, beliau bukan saja dapat menyelesaikan suatu kontroversi pendidikan yang dicetuskannya, malah beliau juga akan dikenang sebagai seorang yang berjasa kepada sistem pendidikan negara, sekiranya penubuhan jawatan bebas itu menjadi kenyataan dan reformasi pendidikan dijalankan dengan kerjasama semua pihak terbabit.
(Di atas ialah teks ucapan di seminar mengenai pendidikan ibunda yang dianjurkan oleh Kumpulan Rakyat Perihatin (GCC) pada 8 Sept lalu di Dewan Perhimpunan Cina Selangor)


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.