Pada 7 September 2002, empat orang hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah membuat keputusan sebulat suara terhadap kes permohonan perintah habeas corpus oleh lima tahanan ISA (Mohd Ezam Mohd Nor, Tian Chua, Saari Sungib, Raja Petra Raja Kamaruddin dan Hishamuddin Rais) bahawa penahanan mereka selama 60 hari oleh polis mengikut Seksyen 73(1) ISA April tahun lalu, adalah tidak sah dan mala fide (berniat tidak baik).

Kemudiannya, hakim-hakim yang sama memutuskan bahawa permohonan perintah habeas corpus baru perlu dikemukakan bagi pembebasan tahanan bagi tahanan selama dua tahun atas arahan Menteri Dalam Negeri mengikut seksyen yang lain, iaitu Seksyen 8, ISA.

Nyata sekali, perintah habeas corpus yang dikeluarkan sebelumnya adalah wajar dan logik sekali, kerana sekiranya penahanan 60 hari pertama tidak sah dan mala fide , seperti yang diputuskan oleh Mahkamah, penahanan seterusnya atas arahan Menteri Dalam Negeri mengikut Seksyen 8, ISA, juga tidak mungkin sah kerana ia berasaskan maklumat yang diberikan oleh pegawai penyiasat yang terbabit.

Oleh itu, keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut dipandang sebagai "berdolak-dalik", dan hakim-hakim berkenaan diperli sebagai "sida-sida" ( eunuchs ) yang tidak berani menegakkan keadilan dengan mengeluarkan perintah secara tegas dan konsisten. Malah mungkin kerana tekanan politik yang nyata atau tersembunyi, dalih teknikal telah digunakan sebagai penutup malu.

Bidas Pengerusi DAP, Lim Kit Siang, sekiranya bukan kerana kekurangan keberanian kehakiman untuk membebaskan tahanan-tahanan (ISA) yang terbabit, keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut akan menjadi suatu keputusan 'landmark' demi hak-hak asasi manusia dan pemulihan keyakinan dalam sistem perundangan negara kita.

Tambah beliau, hakim-hakim Mahkamah Persekutuan terbabit telah menyimpang dari prinsip yang dipegang oleh bekas Ketua Hakim Salleh Abas dalam kes "Teresa Lim Chin Chin vs Inspector General of Police (1988)" iaitu: penahanan bermula dengan Akta Polis di bawah Seksyen 73, ISA dan diikuti dengan arahan Menteri Dalam Negeri di bawah Seksyen 8 Akta yang sama, kedua-dua penahanan tersebut tidak boleh dilayani secara berbeza.

Dan nasihat hakim supaya permohonan perintah habeas corpus baru dikemukakan, juga dianggap sebagai tidak berguna sama sekali, kerana mengikut Lim, pindaan 1989 ISA telah menyatakan keputusan menteri tidak tertakluk kepada sebarang bentuk kajian semula ( review ) kehakiman.

Pelakuan polis

Lebih mengecewakan ialah Dewan Rakyat telah menolak usul Ketua Pembangkang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membahaskan nasib ISA 5 terbabit supaya mereka dibebaskan dengan segera, dan tindakan diambil terhadap perlakuan polis yang tidak sah dan mala fide (berniat tidak baik), serta memberi gantirugi kepada mangsa-mangsa yang telah ditahan secara tidak sah.

Kini, Timbalan Perdana Menteri (TPM) merangkap Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang akan kembali ke tanahair dari Amerika hari ini, menjadi tumpuan semua pihak.

Justeru seperti komen Ezam: "Ini adalah satu ujian kepada TPM sama ada beliau mempunyai kekuatan moral untuk bebaskan saya, Tian Chua, Ustaz Badrul[amin Bahron], Saari Sungib, Hishamuddin Rais dan Lokman [Noor] Adam dan membuktikan beliau layak untuk menjadi seorang PM yang tunduk kepada prinsip undang-undang (rule of law) dan prinsip moral."

Sesungguhnya, implikasi isu ISA 5 lebih mendalam dan meluas daripada ujian peribadi bagi Abdullah kerana Datuk Seri Dr Mahathir Mohamadlah yang masih merupakan manusia yang lebih berkuasa yang akan menetapkan nasib ISA 5 terbabit, walaupun dari perhitungan bagi kerjaya politik peribadi, Abdullah mungkin lebih suka agar tahanan ISA terbabit dibebaskan.

Sekiranya Ezam juga percaya perbuatan itu akan memperlihatkan kekuatan moral, prinsip undang-undang dan kelayakan Abdullah sebagai PM, apatah lagi bagi rakyat biasa yang tidak tahu sangat tentang selok-belok politik. Namun demikian, rasanya beliau tidak bebas untuk berbuat demikian.

Namun ini tidak bermakna tidak wujud langsung kemungkinan ISA 5 itu dibebaskan berasaskan perhitungan politik Machiavellian BN, yang tidak kena-mengena dengan kekuatan moral atau prinsip undang-undang mana-mana individu, seperti yang dikemukakan oleh sesetengah penganalisis.

Memesongkan pandangan

Umpamanya, BN takut kehilangan lebih undi sekiranya ISA 5 terus ditahan dan menimbulkan kemarahan rakyat berbanding dengan mereka dibebaskan. Atau seperti dibayangkan oleh Menteri Undang-undang de facto Dr Rais Yatim baru-baru ini, bahawa pengundi kini berubah menjadi lebih 'sofistikated', dan sekarang adalah waktu yang sesuai untuk kerajaan mengkaji semula setengah undang-undang bersifat kuku besi seperti ISA.

Atau selaras dengan pendekatan Dr Mahathir yang bersedia mengeksploitasikan kes ini untuk "membuktikan kebebasan badan kehakiman dan sangat bermakna dalam memesongkan pandangan-pandangan yang tidak adil dan berat sebelah terhadap mahkamah Malaysia".

Bagaimanapun, mereka telah ditahan secara tidak sah selama 17 bulan, dan komplot politik BN untuk mensabotaj gerakan reformasi juga tercapai. Apakah rugi sangat sekiranya mereka dibebaskan sekarang?

Namun, tidak mungkin isu ISA 5 ini dapat diselesaikan hanya dengan pembebasan mereka sahaja! Dan pengorbanan serta penyeksaan yang mereka dan keluarga mereka alami akibat kehilangan kebebasan, juga tidak dapat diselesaikan, walaupun dengan wang pampasan sebanyak manapun jumlahnya sekalipun!

Dari segi politik, bagaimana pula bagi gerakan reformasi yang telah disabotaj dengan kejam secara tidak sah, seperti yang dibuktikan oleh keputusan Mahkamah Persekutuan terbabit, dapat dicari penawarnya?

Jika direnung kembali sejarah perjuangan politik negara kita , kes ISA 5 bukan kes pertama bagaimana BN (dahulu Perikatan) menggunakan ISA untuk menindas dan mensabotaj perjuangan rakyat yang sah di sisi perlembagaan (sila rujuk Zaman 'kegemilangan' ISA

, 31 Julai 2002).

Kuasa mahkamah

Justeru kewujudan ISA dan undang-undang zalim yang lain, dan berasaskan fakta dan pengalaman sejarah perjuangan politik negara kita, maka timbullah perdebatan mengenai cara perjuangan sama ada melalui pilihanraya atau jalanraya (seperti kata Hishamuddin dalam bukunya Pilihanraya atau pilihan jalanraya ).

Menjelang pilihanraya umum 1969 lagi, Parti Buruh dan Parti Rakyat Malaya telah berputus asa dan tidak menaruh sebarang harapan lagi terhadap pilihanraya umum yang diadakan setelah barisan pimpinan dan petugas mereka hampir semuanya disapu bersih dan ditahan di bawah ISA. Akhirnya mereka memboikot pilihanraya umum 1969, dan pendekatan perjuangan yang lebih radikal dan militan pun diambil selepas itu.

Oleh itu, perjuangan kita bukan setakat terhadap penyalahgunaan kuasa ISA, tetapi terhadap ISA dan segala undang-undang zalim hasil penyalahgunaan kuasa kehakiman dan perlembagaan.

Mendesak pembebasan segera ISA 5 adalah perlu, kerana keputusan Mahkamah Persekutuan itu harus dipatuhi. Tiada sesiapapun, termasuk Menteri Dalalm Negeri, dibenarkan melampaui kuasa Mahkamah.

Bagaimanapun, itu tidak memadai. Keputusan Mahkamah Persekutuan itu telah membuktikan ISA sekali lagi diperalatkan untuk melaksanakan suatu komplot politik BN untuk mensabotaj gerakan reformasi yang sah di sisi perlembagaan negara kita, setelah terlaksananya komplot politik yang cuba hendak menamatkan riwayat politik Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pengikut-pengikutnya.

Yang perlu bertanggungjawab dalam kes ini tampaknya bukan saja Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai, Menteri Dalam Negeri, malah Perdana Menteri Dr Mahathir dan seluruh anggota Kabinetnya yang menyokong penggunaan ISA untuk mensabotaj gerakan reformasi melalui penahanan barisan pimpinan gerakan tersebut secara tidak sah.