Selepas berlakunya pengeboman di Bali pada 12 Oktober lalu, media tempatan dipenuhi liputan berita dan analisis mengenai kejadian keganasan tersebut. Dalam keadaan ini, isu-isu lain seolah-olah telah ditenggelamkan buat sementara .

Ia hanya berubah pada 20 Oktober lalu, apabila Berita Minggu dan New Straits Times menyiarkan di muka depan masing-masing, berita mengenai MCA menentang cadangan penggunaan bahasa Inggeris bagi matapelajaran Sains dan Matematik .

Laporan ini menghidupkan semula isu bahasa Inggeris yang sebelumnya menjadi tumpuan media kerana ditentang oleh badan bahasa dan pendidikan pelbagai kaum, walaupun Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, melalui Kementerian Pendidikan, berkeras hendak melaksanakannya.

Penentangan MCA terhadap penggunaan bahasa Inggeris itu bukanlah sesuatu yang baru. Malah, dalam mesyuarat agung parti itu pada 27 Julai lalu, Setiausaha Agungnya, Dr Ting Chew Peh, apabila ditanya pemberita, telah mendedahkan sikap parti itu, dengan berkata MCA akan mempertahankan ciri-ciri sekolah Cina.

Dan pada Ogos lalu pula, lima parti Cina dalam BN MCA, Gerakan, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Liberal Demokratik(LDP) dan Parti Maju Sabah (SAPP) juga, pada prinsipnya, telah mencapai pendirian yang sama mengenai isu ini.

Mereka tidak menyatakan penentangan secara terbuka demi menjaga "semangat muafakat" BN dan mengelakkan tekanan daripada Umno, khasnya Dr Mahathir Mohamad.

Kepentingan beberapa individu

Parti Gerakan bagaimanapun, menyarankan supaya mata pelajaran Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris mulai peringkat sekolah menengah.

Difahamkan, saranan itu telah mendapat reaksi menggalakkan dari beberapa pihak dalam Umno. Satu ketika dulu, dikhabarkan hanya Dr Mahathir dan beberapa konconya yang berkeras hendak melaksanakan dasar kontroversial itu. Dan ia dipercayai mungkin ada kaitan dengan kepentingan beberapa individu yang terlibat dalam pelaksanan dasar tersebut.

(Tiba-tiba saya teringat akan satu berita mengenai seorang usahawan yang didakwa ditipu oleh seorang Datuk palsu sebanyak RM300,000, kononnya untuk "perbelanjaan" mendapat projek pelaksanaan dasar bahasa Inggeris. Sebanyak RM5 bilion telah diperuntukkan untuk pelaksaan dasar pendidikan tersebut.)

Sungguhpun demikian, berita utama mengenai MCA sebulat suara menolak cadangan penggunaan bahasa Inggeris untuk matapelajaran Sains dan Matematik menjelang mesyuarat Dewan Tertinggi BN, dan keputusan mutakhir kabinet, membawa makna tersendiri .

Selama ini, liputan media arus perdana (termasuk Berita Harian dan New Straits Times ), mengenai isu bahasa Inggeris memang berat sebelah ruang hanya diberi kepada pihak yang menyokongnya, sedangkan mereka yang menentangnya dijadikan sasaran (kali ini MCA, dulu Dong Jiao Zong ).

Satu contoh yang mengelirukan dan telah disandiwarakan ialah mengenai 500 persatuan Cina yang diwakili oleh apa yang dinamakan Gabungan Persatuan Pedagang Cina pimpinan Liew Poon Siak, menyatakan sokongan mereka terhadap dasar itu sewaktu berlangsungnya perhimpunan 10,000 di Stadium Bukit Jalil pada 9 Oktober lalu.

Majoriti senyap

Perhimpunan itu yang bertemakan "Terima Kasih Dr Mahathir" dihadiri persatuan-persatuan (yang didakwa berjumlah 500 buah, tetapi tiada siapa yang tahu jumlah sebenarnya) yang dijemput untuk memeriahkan majlis itu.

Tidak semuanya telah "dibawa" oleh Liew Poon Siak untuk menyatakan ikrar sokongan padu mereka terhadap dasar bahasa Inggeris Dr Mahathir, yang mendapat laporan meluas dalam media arus perdana.

Sebut saja nama Liew Poon Siak, ramai di kalangan masyarakat Cina yang menggeleng kepala! Memadailah dinyatakan bahawa pada 17 Oktober lalu, beliau telah mengeluarkan kenyataan dalam akhbar Cina untuk 'menjelaskan' bahawa beliau tidak pernah menyokong penggunaan bahasa Inggeris bagi mata pelajaran Sains dan Matematik di SJKC. Adalah diharapkan agar kandungan ucapannya tidak terus 'diputarbelitkan' oleh mana-mana pihak!

Manusia haprak seperti ini telah berdiri di samping Dr Mahathir untuk "mewakili" apa yang dinamakan sokongan "majoriti senyap" masyarakt Cina terhadap dasar bahasa Inggeris yang ditentang secara meluas. Sandiwara hitam ini bukan saja memalukan masyarakat Cina, tetapi juga Dr Mahathir!

Mengikut logik politik perkauman BN, jika Liew Poon Siak juga boleh mewakili masyarakat Cina, apa gunanya lagi ada Dr Ling Liong Sik dan Dr Lim Keng Yaik?

Sesiapa yang celik ABC politik masyarakat Cina tentu faham bahawa Dong Jiao Zong, Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Dewan Perniagaan dan Industri Cina Malaysia (ACCCIM), dan Hua Zong (Gabungan Dewan Perhimpunan Cina) adalah antara badan terpenting/terpengaruh sekali di kalangan pertubuhan bukan kerajaan.

Dominasi Umno

Perlu diingatkan bahawsa dalam isu bahasa Inggeris, selain ACCCIM yang enggan melibatkan diri, yang tiga lagi telah sebulat suara menentang dasar itu dilaksanakan di SJKC . Jika ditambah dengan DAP, dan kata sepakat lima parti yang mewakili kaum Cina dalam BN, terutamanya MCA dan Gerakan, siapakah yang dapat meragui lagi kata sepakat masyarakat Cina menentang dasar tersebut dilaksanakan di SJKC?

Jika kata sepakat masyarakat Cina yang begitu utuh sekali masih boleh dipertikaikan dan MCA dibelasah sebagai membelakangi "semangat muafakat" BN (baca: dominasi Umno), apa gunanya lagi "semangat muafakat" itu?

Apatah lagi apabila cadangan penggunaan bahasa Inggeris itu dikemukakan oleh Umno (lebih tepat Dr Mahathir) secara unilateral (satu pihak). Apakah Umno pernah mencari kata sepakat parti-parti komponen BN terlebih dahulu melalui "semangat muafakat" yang diwar-warkan itu sebelum ianya diiumumkan?

Hingga sekarang, pada teorinya, keputusan berhubung pelaksanaan dasar bahasa Inggeris itu masih belum dibuat oleh kabinet, malah kata sepakat BN masih belum dicapai. Oleh itu, kenapa pula Kementerian Pendidikan telah membuat segala persiapan, seolah-olah ianya telah menjadi dasar yang pasti akan dilaksanakan tahun depan? Inikah yang dinamakan "semangat muafakat"?

Kata Dr Mahathir: "MCA seharusnya memberi peluang kepada BN membincangkan isu tersebut terlebih dahulu dan mencapai keputusan bersama tanpa mengira sama ada menerima, menolak atau mengubahsuai cadangan tersebut. Kalau kita tidak bersetuju, tidak bersetujulah, kalau kita setuju, setujulah. Walau apa pun, kita bincang dalam BN."

Sebelum berbincang dalam BN, parti komponen mesti ada pendiriannya sendiri ,bukan? Apa salahnya MCA mengambil pendirian tidak bersetuju? Sebaliknya siang-siang lagi Umno telah mengambil pendirian tidak berkompromi dan mendesak semua pihak untuk bersetuju?

Semangat muafakat BN

Kenapa Umno tidak memberi peluang kepada BN untuk menerima, menolak atau mengubahsuai cadangan terbabit seperti yang disaran oleh Dr Mahathir sendiri?

Jika pihak yang tidak setuju akan dicap sebagai "membelakang semangat muafakat", "terkeluar daripada amalan BN", "tidak bertanggungjawab", malah "mengugut BN", maka ertikata "semangat muafakat" sebenarnya ialah "semangat pengabdian" kepada dominasi dan paksaan Umno!

Apakah Dr Ling Liong Sik berani mengugut Umno? Dakwaan ini amat melucukan! Selama ini, beliau sebenarnya tunduk kepada "semangat muafakat" BN, sehingga kata sepakat lima parti Cina dalam BN, juga tidak berani didedahkan kepada media. Dan dia juga sering berdolak-dalik bila ditanya mengenai isu ini.

Keputusan sebulat suara Ahli Jawatankuasa Pusat MCA untuk menolak pelaksanaan dasar bahasa Inggeris di SJKC, juga tidak diumumkan (sebaliknya dihebohkan oleh Berita Minggu dan New Straits Times untuk tujuan membelasah MCA).

Malah setelah dibelasah, beliau juga tidak berani mempertahankan pendirian MCA. Mengikut katanya, beliau patuh kepada prinsip tidak membincang isu bahasa Inggeri secara terbuka dalam media!

Ini bukan kali pertama MCA dibelasah media arus perdana. Sebelum ini, parti itu telah dibelasah kerana tidak menjalankan tugas untuk menjelaskan dasar bahasa Inggeris kepada masyarakat Cina, MCA tunduk kepada golongan 'pelampau Cina', dan sebagainya. Tentu tidak sukar untuk dijangka siapa sebenarnya yang mendalangi laporan media arus perdana tersebut.

Penyesuaian

Dalam suasana krisis seperti di atas, mesyuarat Dewan Tertinggi BN pun diadakan kelmarin, dan mengikut laporan media yang bercanggahan hari ini, masih sukar dipastikan apa sebenarnya yang telah diputuskan.

Mengikut laporan Utusan Malaysia , kesemua lima parti komponen Cina dalam BN yang diketuai MCA, diberi tempoh seminggu untuk mengemukakan pendekatan bagi pelaksanaan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di SJKC mulai tahun depan.

Jelas Dr Mahathir: "Kita bukan mengecualikan SJKC dalam pelaksanaan bahasa Inggeris, cuma kita nak cari jalan bagaimana nak sesuaikan."

Lidah pengarang Berita Harian (Rabu,23 Oktober) memberi amaran: "Jika parti berasaskan kaum Cina itu menerima semula cadangan kerajaan, ia akan lebih melicinkan proses pengajaran bahasa Inggeris di sekolah yang akan dilaksanakan mengikut peringkat itu. Sebaiknya, jika parti berasaskan kaum Cina gagal mencari penyelesaian sesama sendiri atau memberi cadangan balas yang tidak wajar diterima, tidak mustahil SRJK(Cina) terkecuali daripada arus pendidikan negara. Inilah risiko yang terpaksa ditanggung oleh masyarakat Cina."

Tajuk berita muka depan akhbar New Straits Times juga membayangkan yang lebih kurang sama, iaitu Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris untuk semua sekolah rendah, sekolah Cina dibenarkan membuat penyesuaian.

Keputusan yang kabur

Laporan media Cina sebaliknya membawa makna yang berlainan. Umpamanya, tajuk berita Nanyang Siang Pau berbunyi: Lima parti komponen Cina mengambil pendirian sama dalam mesyuarat BN, SJKC dikecualikan daripada pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Tajuk berita Sin Chew Daily lebih jelas: SJKC kekalkan pengajaran dalam bahasa ibunda. Perdana Menteri: Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris bagi SK dan SJKT mulai tahun depan.

Rasanya isu ini masih dalam perkembangan. Apakah perdebatan dan kempen membelasah MCA dan parti komponen berasaskan kaum Cina yang lain, akan dihentikan setelah keputusan yang begitu kabur dicapai?

Jika SJKC perlu "disesuaikan", kenapa SK dan SJKT tidak perlu? Kenapa dalam keadaan yang kucar-kacir ini, pelaksanaan dasar bahasa Inggeris yang terlalu kontraversi ini masih tidak ditangguhkan?

Sama ada "semangat muafakat BN" masih wujud atau tidak, ini adalah masalah BN, sedangkan dasar bahasa Inggeris secara langsung membabitkan kepentingan pelajar dan ibu-bapa semua kaum. Mmengapa suara mereka tidak didengar? Mengapa mereka harus dipaksa menerima sesuatu dasar yang tidak dapat meyakinkan parti-parti komponen BN sendiri?