Baru-baru ini, Presiden Bush mengumumkan di Mexico bahawa Malaysia bersetuju menerima cadangan Amerika Syarikat supaya Kuala Lumpur menjadi lokasi penubuhan Pusat Latihan Anti-keganasan di Kuala Lumpur bagi rantau Asean yang mempunyai 10 anggota Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Burma, Filipina, Singapura, Negeri Thai dan Vietnam.

Keperluan kerjasama antara negara anggota Asean dalam bidang anti-keganasan tidak dapat dipertikaikan, terutama selepas tragedi pengeboman Bali. Namun, kerjasama dengan Amerika sebaliknya harus lebih berhati-hati, terutama dalam aspek berikut:

Pertama, Malaysia akan dipandang dunia, terutama umat Islam, sebagai sekutu Amerika, kuasa gergasi tunggal yang pernah terbabit dalam keganasan negara ke atas banyak negara, dan kini sedang berusaha menyerang Iraq serta mengancam keutuhan negara-negara "paksi jahat" yang lain.

Melibatkan Malaysia dan negara anggota Asean dalam rangkaian anti-keganasan yang dipelopori Amerika, mungkin menimbulkan anggapan bahawa kita menyokong definisi dan strategi Amerika mengenai keganasan dan anti-keganasan.

Umpamanya, perjuangan pembebasan negara jajahan juga sering dianggap oleh Amerika sebagai gerakan keganasan, dan pejuang terbabit pula dianggap sebagai pengganas.

Hakikatnya, Amerika sebenarnya adalah punca akar umbi gerakan keganasan di seluruh dunia. Namun ia dan sekutunya cuba menyelesaikan masalah keganasan tanpa menyelesaikan punca akar umbi tersebut.

Sasaran pengganas

Dalam keadaan ini, menggabungkan Malaysia dalam rangkaian anti-keganasan Amerika, mengakibatkan negara kita dianggap bersetuju dengan cara penyelesaian Amerika melalui operasi ketenteraan tanpa menghiraukan punca akar umbi berlakunya keganasan, umpamanya serangan terhadap Afghanistan dan Iraq.

Anggapan seperti ini mungkin menjadikan Malaysia sasaran serangan keganasan oleh kumpulan yang memusuhi pakatan anti-keganasan Amerika, dan ini membahayakan rakyat dan negara kita.

Di segi lain, anti-keganasan merupakan antitesis keganasan. Menubuhkan Pusat Latihan Anti-keganasan Asean di Kuala Lumpur, akan menjadikan Malaysia negara strategik dalam pergelutan sengit antara gerakan keganasan dengan anti-keganasan .

Lantaran itu, bagaimanakah kita dapat menafikan bahawa Malaysia pernah/masih atau akan terlibat secara mendalam dalam konfrontasi gerakan keganasan dan anti-keganasan? Malah mungkin juga secara tidak langsung, ia menguatkan lagi imej (seperti tuduhan setengah negara Barat) bahawa negara kita adalah sarang pengganas.

Rakyat kita mungkin tertanya-tanya kenapakah Malaysia yang dipilih sebagai lokasi penubuhan Pusat Latihan Anti-Keganasan di rantaru Asean, dan bukannya negara lain yang sering menghadapi serangan dan sabotaj gerakan keganasan? Dan kenapa pula Malaysia perlu menyetujui pemilihannya, dan meletakkan negara kita dalam serba-salah serta membahayakan seperti sekarang?

Atau kerajaan kita telah terperangkap dengan teori dikotomi (teori belah-dua) Amerika yang membahagikan negara dunia kepada dua kategori penentang dan penyokong pengganas/keganasan dan yang menentang mesti menyertai pakatan anti-pengganas/keganasan pimpinan Amerika. Jika tidak, ia akan digolongkan dalam kumpulan negara penyokong pengganas/keganasan yang memusuhi Amerika.

Pengeboman di Bali

Sedangkan Malaysia tidak perlu memusuhi atau bersekutu dengan Amerika kerana kita mempunyai pendirian sendiri yang bebas. Misalnya, kita mengutuk perbuatan kejam mereka melakukan serangan maut 11 Sept, kerana mengorbankan begitu banyak nyawa yang tidak berdosa.

Tetapi pada masa yang sama, kita juga berpendapat Amerika yang sering menggunakan keganasan, harus bertanggungjawab atas angkara mereka di merata dunia, terutama di dunia Arab, sebagai punca yang menjadikan kuasa gergasi itu sasaran.

Kita setuju bahawa masalah pengganas/keganasan perlu ditangani, tetapi bukannya dengan helah anti-pengganas/keganasan sehingga Amerika serta sekutunya pun dihalalkan menyerang Afghanistan, Iraq atau negara "paksi jahat" untuk menggulingkan pemerintahnya sebagai matlamat pencerobohan itu.

Rekod prestasi Amerika begitu buruk sekali sehingga ada yang bersorak bila berlakunya tragedi 11 Sept. Ada juga yang menuduh tragedi pengeboman Bali merupakan kerja Agensi Perisikan Pusat (CIA) untuk mengkambinghitamkan kumpulan militan Islam di Indonesia.

Memang ramai yang tidak suka kepada Amerika yang mempunyai rekod prestasi buruk. Namun ianya tidak boleh menjadi alasan untuk menjustifikasikan keganasan 11 Sept, tidak kira ia dilakukan oleh sesiapa pun juga, termasuk pihak yang kita simpati.

Walaupun CIA pernah melakukan aktiviti subversif untuk mengkambinghitamkan pihak-pihak yang dimusuhinya, tetapi tanpa bukti yang kukuh, kita juga tidak boleh menuduhnya mendalangi pengeboman di Bali, sekalipun kita membenci dan mensyakinya.

Jaminan keselamatan

Bila rampasan senjata dilakukan oleh kumpulan Al-Mau'nah di Sauk dulu, pihak polis juga dituduh "bersandiwara" oleh pihak-pihak yang pernah dianiayai dan kehilangan kepercayaan kepada pihak polis.

Namun, tanpa bukti yang kukuh, membuat tuduhan melulu merupakan perbuatan kurang bijaksana, malah akan berbalik kepada diri pihak yang menuduh dan menghakiskan integritinya.

Manakala dalam kes KMM (Kumpulan Mujahidin Malaysia) dan JI (Jemaah Islamiah) pula, oleh kerana mereka ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di mana seramai 67 ditahan dalam lima fasa, tanpa diadili dalam mahkamah terbuka, maka pendedahan pihak polis mengenainya diragui dan dianggap oleh sesetengah pihak sebagai rekaan semata-mata.

Kita sudah biasa dengan rekaan bukan-bukan pihak polis untuk menjustifikasikan penahanan pemimpin parti pembangkang di bawah ISA, khususnya dalam kes lima pemimpin Keadilan dan aktivis politik.

Namun, kita juga tidak boleh membuat kesimpulan bahawa segala yang didedahkan oleh kerajaan mengenai KMM dan JI adalah palsu belaka, termasuk keganasan yang telah dilakukan, yang dirancangkan tetapi tidak berjaya dilakukan, dan hubungannya dengan rangkaian pengganas di rantau ini dan antarabangsa, termasuk al-Qaeda.

Bagaimanapun, rakyat kita berhak untuk mengetahui hakikat sebenarnya gerakan keganasan/pengganas di Malaysia dan rantau ini.

Pendedahan polis

Rakyat kita juga berhak meragui jaminan pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) bahawa negara kita adalah selamat, kerana mengikut pendedahan pihak polis, ramai lagi ahli KMM dan JI masih bebas, dan negara kita juga terlibat dalam rangkaian keganasan/pengganas antarabangsa.

Jika Abu Bakar Basyir yang telah ditahan dan Riduan Isamuddin yang lebih dikenali sebagai Hambali, yang masih diburu pihak berkuasa Indonesia berhubung aktiviti keganasan di republik itu, dan polis Malaysia pula mengakui kedua-duanya juga memainkan peranan penting dalam gerakan keganasan di negara kita dan rantau ini, maka apa jaminan tragedi pengeboman Bali tidak akan berlaku di negara kita?

Di samping itu, jika kita setuju gerakan keganasan hanya dapat diselesai setelah punca akar umbinya diketahui dan diatasi, maka rakyat kita juga berhak mengetahui apakah punca akar umbi yang menyebabkan makin ramai kaum pemuda kita, termasuk lapisan cerdikpandai dan profesional, tertarik dan menyertai gerakan keganasan di negara kita dan rantau ini?

Ini bukan saja kewajiban kerajaan, malah badan bukan kerajaan, parti pembangkang dan Barisan Alternatif (BA) juga harus menghadapi masalah ini secara lebih proaktif. Mereka juga harus turut memberi sumbangan dalam menangani isu keganasan, misalnya, dengan mengambil pendirian lebih tegas terhadap sebarang gerakan keganasan di dalam dan luar negara.

Di segi teori, mereka juga harus memberi analisis yang lebih mendalam kenapa cara keganasan tidak dapat menyumbang, malah akan menjahanamkan perjuangan politik dan agama badan bukan kerajaan dan parti pembangkang.

Dari segi organisasi, mereka juga harus mengambil tindakan berkesan untuk menjamin ahli-ahli mereka tidak terlibat dalam sebarang akitiviti keganasan. Moga-moga, melalui kerjasama semua pihak, tragedi seperti pengeboman Bali, dapat dielakkan dan gerakan keganasan di negara kita dan rantau ini dapat dibendung dan diatasi akhirnya.