Pada 31 Oktober lalu, Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) telah menerima formula kompromi (dikenali sebagai formula 2-4-3) yang dikemukakan oleh empat parti komponen BN yang berasaskan kaum Cina MCA, Gerakan, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) sebagai penyelesaian muktamad bagi isu pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

Mengikut formula itu, 9 waktu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) diperuntukkan bagi bahasa Inggeris (2 waktu), bahasa Inggeri untuk Matematik (4 waktu), dan bahasa Inggeris untuk Sains (3 waktu). Manakala 6 waktu dan 3 waktu, masing-masing dibenarkan digunakan untuk mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Mandarin.

Pengubahsuaian itu menyebabkan jumlah waktu pengajaran dan pembelajaran (P&P) SJKC ditambah dari 46 waktu kepada 50 waktu seminggu, dan pelajaran bahasa Mandarin dikurangkan dari 15 waktu kepada 12 waktu, pelajaran Pendidikan Moral dikurangkan dari 5 waktu kepada 4 waktu, dan pelajaran Pendidikan Jasmani dikurangkan dari 3 waktu kepada 2 waktu.

Formula penyelesaian itu, yang dianggap sebagai "muktamad", "kemenangan semangat muafakat BN", dan "formula menang-menang" dari segi politik BN, telah menimbulkan beberapa masalah yang belum terjawab dari segi pendidikan, yang mungkin menyebabkan kepentingan pelajar dan sistem pendidikan kita dikompromikan akhirnya!

Kekhuatiran ini terbukti berasas setelah membaca wawancara dengan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Abdul Rafie Mahat (dalam Mingguan Malaysia 3 Nov 2002) dan Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad ( Mingguan Malaysia 10 Nov 2002).

Mengikut Abdul Rafie: "Kita akan memastikan supaya tidak ada sekolah dari mana-mana aliran ketinggalan dari segi pelaksanaan, kesan dan hasil pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris. Maksud saya, kita akan pastikan supaya tidak ada sekolah yang dapat 'dos lebih' dan 'dos kurang' ."

Diperdaya

Tegas beliau lagi: "Semua pihak kena jelas sekarang bahawa keputusan kerajaan ialah soalan-soalan untuk Matematik dan Sains bagi peperiksaan UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah) pada tahun 2008 akan disediakan dalam bahasa Inggeris"

Penjelasan Ketua Pengarah Pendidikan tersebut diulangi menteri pendidikan sendiri dengan perkataan yang lain sedikit tetapi maksudnya masih sama, iaitu: "Kesemua pelajar akan menduduki peperiksaan yang sama tetapi diberi pilihan untuk menjawab dalam bahasa Inggeris atau bahasa ibunda mereka. Namun, peperiksaan dwibahasa itu akan diteruskan sehingga tahun 2008."

Kenyataan menteri pendidikan itu bahawa"Peperiksaan dwibahasa itu akan diteruskan sehingga tahun 2008" sebenarnya membawa maksud yang sama dengan penjelasan ketua pengarah pendidikan yang berbunyi: "Soalan-soalan untuk Matematik dan Sains bagi peperiksaan UPSR pada tahun 2008 akan disediakan dalam bahasa Inggeris."

Hingga sekarang, masyarakat Cina amnya masih diperdaya oleh MCA dan Gerakan untuk mempercayai bahawa Matematik dan Sains di SJKC akan diajar dalam bahasa ibunda dan soalan Matematik dan Sains dalam UPSR pada 2008 juga disediakan dalam dwibahasa Mandarin dan bahasa Inggeris dan pelajar SJKC dibenarkan menjawab dalam salah satu bahasa tersebut.

Jika sukatan pelajaran untuk semua aliran adalah sama, dan soalan Matematik dan Sains bagi UPSR pada 2008 juga disediakan dalam bahasa Inggeris, jadi macam mana Matematik dan Sains dapat diajar dalam bahasa ibunda (bahasa Mandarin) seperti yang dijanjikan oleh MCA dan Gerakan?

Mengikut Tan Sri Musa: "Kerajaan bersetuju untuk membenarkan SJKC menentukan sendiri topik yang perlu diajar dalam bahasa Mandarin atau bahasa Inggeris. Kita serahkan kepada budi bicara mereka untuk menentukannya. Yang kita tahu, asalkan sekolah itu menepati keperluan kurikulum kebangsaan, kita akan menerimanya."

Rekaan

Soalannya ialah bagi topik-topik yang diajar dalam bahasa Mandarin, bagaimanakah pelajar SJKC mampu mengerti soalannya yang disediakan dalam bahasa Inggeris dan dikehendaki menjawabnya dalam bahasa yang sama?

Nampaknya, SJKC terpaksa juga mengajar kesemua topik kurikulum dalam bahasa Inggeris seperti di Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), terlebih dahulu, manakala waktu-waktu selebihnya baru digunakan untuk mengulang kaji topik-topik yang sama dalam bahasa Mandarin.

Menggunakan serentak bahasa ibunda (bahasa pertama) dan bahasa ketiga (bahasa Inggeris) dan bahasa kedua (bahasa Melayu) sebagai dwibahasa pengantar bagi matapelajaran yang sama Matematik dan Sains bagi pelajar tahun satu adalah merupakan rekaan negara kita, yang tidak pernah diamalkan di mana-mana negara di seluruh dunia!

Cuba fikirkan, pelajar yang baru masuk sekolah, sudah dikehendaki mempelajari serentak tiga bahasa Mandarin, bahasa Melayu, dan bahasa Inggeris dan bahasa Inggeris pula dibahagi menjadi tiga Inggeris biasa, Inggeris untuk Matematik, dan Inggeris untuk Sains!

Menurut Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) atau ringkasnya Dong Jiao Zong (DJZ), formula 2-4-3 itu memburukkan lagi ketidakseimbangan struktur matapelajaran di SJKC.

Melalui formula itu, menurut DJZ, pendidikan ilmu lebih ditekankan kepada subjek bahasa, Sains dan Matematik yang merangkumi 78 peratus jumlah masa pembelajaran di SJKC.

Paksaan

Selepas ditolak masa perhimpunan, tegas DJZ, subjek lain termasuk Pendidikan Moral (dikurangkan satu waktu), Jasmani (dikurangkan satu waktu), Muzik dan Seni hanya mencakupi 20 peratus jumlah masa pembelajaran.

Nyata sekali formula tersebut yang 'gila bahasa', terutama bahasa Inggeris, bertentangan dengan matlamat falsafah pendidikan kebangsaan kita yang bertujuan memupuk insan yang menyeluruh dan seimbang, bukan sahaja dari segi intelek tetapi juga fizikal, emosi dan rohani.

DJZ, dalam kenyataannya menegaskan: "Formula ini turut mengabaikan ciri-ciri dan keperluan kanak-kanak bagi proses pembangunan kerohanian dan jasmani. Penyaluran sejumlah besar ilmu pengetahuan secara paksaan serta pengabaian pembangunan kerohanian dan jasmani di kalangan kanak-kanak, akan membawa akibat yang buruk."

Masalah tersebut langsung tidak diendahkan oleh Kementerian Pendidikan. Bila ditanya tentang keperluan tempoh percubaan dan masa penilaian kepada pelaksanaan dasar bahasa Inggeris tersebut, ketua pengarah pendidikan menjawab:

"Apa perlunya tempoh percubaan? Segala-galanya sudah kita buat. Apa yang kita lakukan sekarang cuma menukar medium saja. Ia sama macam menoreh getah, kalau dulu kita pakai pisau getah, sekarang ini kita guna mesin toreh getah bentuk lain."

Mengibaratkan penggantian bahasa ibunda dengan bahasa Inggeris sebagai "menggantikan pisau toreh getah dengan mesin toreh getah' menyergahkan kecetekan Abdul Rafie jelas tidak mengetahui teori pendidikan yang diakui umum bahawa bahasa ibunda merupakan bahasa pengantar yang paling berkesan sekali!

Retorik kosong

Oleh itu, keyakinan penuh beliau kepada "mesin toreh getah" sehingga menafikan keperluan tempoh percubaan dan masa penilaian, adalah merupakan retorik kosong seorang birokrat yang buta teori dan amalan pendidikan.

Begitu juga dengan menteri pendidikan. Bila ditanya wartawan mengenai dakwaan bahawa pelajar Melayu di luar bandar akan menjadi mangsa dasar bahasa Inggeris itu, beliau menafikannya dengan alasan-alasan yang tidak dapat meyakinkan.

Antaranya, beliau berkata, mereka mempunyai enam tahun untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris mereka; kelemahan mereka akan diatasi dari segi prasarana, guru dan alam sekeliling; dan menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajar anak-anak dalam Matematik dan Sains di peringkat taman didikan kanak-kanak (tadika).

Jika sebelum ini, siswazah kita yang mempelajari bahasa Inggeris selama 15-16 tahun juga gagal menguasai bahasa tersebut, masakan enam tahun sudah cukup untuk memantapkan penguasaannya?

Jika pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris dimulakan di peringkat tadika seperti cadangan Musa, maka tempoh pembelajarannya hanyalah tujuh tahun. Jika ditambah setahun lagi sebagai didikan dalam perut, ia hanya lapan tahun, dan masih singkat berbanding dengan 15-16 tahun!

Kekok

Kelemahan sekolah luar bandar dari segi prasarana dan guru, sebenarnya bukan hanya disedari sekarang, begitu juga dengan janji-janji untuk mengatasinya. Tetapi kelemahan masih tinggal kelemahan. Jadi, apakah jaminan kali ini bukan merupakan satu retorik kosong sahaja?

Cuba gambarkan: Guru luar bandar yang tidak pernah bertutur dalam bahasa Inggeris, tiba-tiba dikehendaki mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa asing itu kepada murid yang hanya faham bahasa ibundanya dan langsung tidak mengerti bahasa Inggeris!

Kata Musa, guru akan merasa "kekok". Kalau guru sudah "kekok" dalam pengajaran, apakah yang dapat diharapkan oleh muridnya yang seperti "itik mendengar guruh" (tak faham) itu?

Luar bandar memang bukan persekitaran yang sesuai untuk berbahasa Inggeris. Kelemahan ini tentu tidak begitu mudah diatasi dengan hanya memperhebatkan pembinaan beberapa makmal bahasa dan makmal sains saja!

Memaksa guru yang tidak biasa/mampu bertutur dalam bahasa Inggeris untuk mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa itu secara "kekok", akan menjadi beban dan menyiksa jiwa mereka sebagai seorang guru yang bermaruah dan dihormati penduduk kampung.

Sukar

Lantaran itu, Tan Sri Musa mengakui jika ada sebarang kebimbangan pun, ianya adalah mengenai pihak sekolah yang tidak mahu berusaha sepertimana yang diharapkan. Rasanya ini bukan masalah kemahuan, tetapi masalah kebiasaan dan kemampuan. Bertutur bahasa Inggeris dalam persekitaran kampung memang sesuatu yang amat sukar, jika bukan mustahil!

Sungguh teruk teori Tan Sri Musa bahawa Matematik dan Sains sewajarnya dipelajari melalui bahasa Inggeris, malah pengajarannya dimulakan di peringkat tadika!

Beliau tentu terperanjat besar bila mengetahui pemenang Hadiah Nobel Ilmu Fizik, Prof Yang Zhen-ning dan Prof Li Zheng-dao, umpamanya, mempelajari ilmu Matematik dan Sains melalui bahasa ibunda mereka (bahasa Cina) sehingga ke peringkat sekolah menengah!

Dan tentu ramai lagi pemenang Hadiah Nobel dari Perancis, Jerman dan negara-negara bukan berbahasa Inggeris yang lain, mempelajari ilmu Matematik dan Sains melalui bahasa ibunda masing-masing!

Hanya katak di bawah tempurung saja yang begitu mengagung-agungkan bahasa Inggeris sehingga mempercayai bahasa ibunda tidak layak menjadi bahasa pengantar bagi matapelajaran Matematik dan Sains walaupun di peringkat tadika!