Pada zaman di mana pendemokrasian merupakan arus yang tidak terbendung di dunia, terutama di rantau ini, Pemuda Umno masih begitu gilakan kuasa mutlak, angkuh dan tidak mengenang budi dalam menangani masalah negara kita, termasuk isu pendidikan semasa.

Dua contoh yang menonjol sekali ialah sikap anti-demokrasi pergerakan itu terhadap Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan reaksi emosi Pengerusi Biro Pendidikan Pemuda Umno, Dr Adham Baba berhubung penentangan Dong Jiao Zong terhadap dasar bahasa Inggeris kerajaan.

Pada 25 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan bahawa kerajaan akan menghentikan bantuan perkapita kepada SAR kerana mendakwa terdapat sekolah terbabit dipergunakan untuk tujuan politik.

Buktinya ialah beliau telah diberitahu tentang pelajar SAR yang telah meminta ibubapa mereka menurunkan gambar beliau sebagai "Firaun".

Seperti kata naib presiden PAS, Datuk Dr Hassan Ali, tidak ada sebab mengapa nasib 600,000 pelajar SAR diperjudikan atas alasan yang tidak pernah terbukti kebenarannya hingga hari ini.

Sekalipun apa yang diberitahu kepada Perdana Menteri itu adalah benar, namun, berapa ramaikah pelajar yang terlibat, seorang? Sepuluh orang? Atau seratus orang?

Sekolah agama

Dan adakah bukti kukuh bahawa yang mempengaruhi pelajar berkenaan adalah guru-guru SAR, bukan bahan propaganda atau ceramah politik parti pembangkang atau badan bukan kerajaan yang anti-kerajaan di luar sekolah?

Tidak dapat dinafikan selama berpuluh-puluh tahun ini, SAR telah banyak memberi pengajaran agama kepada pelajar Melayu, terutama di desa yang tiada sekolah agama kerajaan.

Memang munasabah pendapat Ustaz Mohamad El-Muhammady, fellow di Institut Kefahaman Islam (IKIM), bahawa kerajaan patut mengelak dari mengambil langkah drastik dengan menarik balik bantuan kewangan secara total kepada SAR.

"Mungkin pihak kerajaan boleh memanggil pihak pentadbir SAR atau guru-gurunya yang telah dikenalpasti dan menasihati mereka. Jika mereka masih berdegil barulah langkah drastik itu diambil," hujah beliau.

"Langkah drastik" jika diambil sekalipun, sepatutnya terhad kepada mereka yang sabit bersalah, bukan semua SAR turut dihukum kerana kesalahan individu tertentu.

Penggantungan bantuan perkapita itu bukan saja akan memburukkan lagi keadaan kewangan SAR yang kebanyakannya bagitu daif sekali, ada kemungkinan sesetengah SAR terpaksa kerananya.

Hilang fungsi

Bila ketua Biro Agama Pemuda Umno, Ustaz Shamsul Najmi Shamsudin ditanya mengenai kemungkinan tersebut, beliau berkata, masalah itu tidak akan timbul jika SAR mendapat bantuan penuh dari kerajaan.

Bantuan perkapita digantung, bantuan penuh pula ditawarkan, apakah udang di sebalik batu?

Menurut Ustaz Shamsul, hasrat Pemuda Umno ini telah disalahtafsirkan sebagai bertujuan untuk mengambilalih pentadbiran sekolah-sekolah tersebut. Adakah ini "salahtafsir" semata-mata?

Hal yang sama sebenarnya telah berlaku kepada Sekolah Menengah Cina (SMC) pada tahun 1962 setelah Akta Pelajaran 1961 dilaksanakan. SMC yang menerima bantuan penuh, telah hilang fungsi/kuasa pentadbiran dari segi membuat keputusan dasar.

Akibatnya SMC ditukar bahasa pengantarnya menjadi Sekolah Menengah Inggeris. Sekolah yang hendak mempertahankan cirinya sebagai sekolah Cina terpaksa menghadapi hukuman: ditarikbalik segala bantuan, dan menjadi Sekolah Menengah Cina Swasta (SMCS) yang bersandar sepenuhnya kepada bantuan masyarakat.

Pendidik veteran masyarakat Cina sering mengeluh: "Pada zaman penjajah British, SMC masih mendapat bantuan perkapita sebanyak 3 ringgit seorang pelajar, setelah merdeka, SMCS tidak dapat satu sen pun daripada kerajaan!"

Reaksi melampau

Oleh itu, SAR sekarang adalah senasib SMC pada tahun 60-an, tujuan dan cara yang digunakan kerajaan Perikatan/Barisan Nasional juga sama: menggunakan kewangan sebagai senjata untuk mengambilalih SMC atau SAR. Pengalaman pahit SMC sewajarnya diambil iktibar oleh pentadbir SAR!

Fakta sejarah telah membuktikan Umno memusuhi sekolah rakyat, baik SMC atau SAR, yang bebas daripada penguasaan mereka. Mereka menuduh SMC/SAR telah dipergunakan tujuan politik, padahal merekalah yang ingin menguasai sekolah tersebut untuk tujuan politik Umno.

Justeru itu, bila Dong Jiao Zong menentang dasar penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran matapelajaran Sains dan Matematik, Pengerusi Biro Pendidikan Pergerakan Pemuda Umno pun melenting dan bereaksi secara melampau.

Kononnya "penentangan keras Dong Jiao Zong merupakan satu barah dalam kemajuan pendidikan". Barah adalah penyakit yang sukar untuk diubati melainkan membuangkannya terus supaya tidak menjangkiti angota badan yang lain." Angkuh betul dan langsung tidak mengenang jasa masyarakat Cina yang telah banyak memberi sumbangan kepada pendidikan negara kita.

Maklumlah selama ini di bawah pimpinan Dong Jiao Zong, berbilion ringgit disumbangkan oleh masyarakat Cina untuk pendidikan bahasa ibunda di negara kita, yang sepatutnya menjadi tanggungjawab kerajaan; dan puluhan ribu tenaga profesional telah dihasilkan dari aliran SMCS demi pembangunan negara.

Berbaur hasutan

Hanya kerana tidak setuju bahasa pengantar matapelajaran Sains dan Matematik di SJKC ditukar kepada bahasa Inggeris, ia sudah menjadi barah yang harus dibuangkan! Entahlah perasaan Pemuda Umno akan tersinggung atau tidak sekiranya Umno yang diibaratkan sebagai barah yang harus dibuangkan kerana terlalu mengagung-agungkan bahasa Inggeris?

Dong Jiao Zong mengibaratkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi matapelajaran Sains dan Matematik di SJKC sebagai nahas kepada sekolah Cina. Ini adalah pendapat mereka. Mengapa pula kerana pendapat itu, semua SJKC harus ditutup? Bukankah ia merupakan "satu prasangka jahat yang berbaur hasutan"?

Amaran Dr Adham juga amat dikesali: "Mereka mungkin lupa, tolak ansur kita ada batasannya. Kita harap mereka tidak cuba-cuba untuk menguji kita kerana kita tahu perkara-perkara sensitif seperti ini bakal mengundang bencana!"

Apakah yang sensitif sangat? Soalnya mudah saja. Semua pihak setuju untuk meningkatkan tahap bahasa Inggeris. Yang dipertikaikan hanya cara untuk meningkatkannya.

Dong Jiao Zong berpendapat peningkatan tahap bahasa Inggeris sewajarnya dilakukan melalui matapelajaran bahasa Inggeris. Mereka tidak setuju bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa pengantar bagi matapelajaran Sains dan Matematik.

Ini kerana perbuatan itu bukan saja tidak akan mencapai tujuan meningkatkan tahap bahasa Inggeris, sebaliknya pencapaian akademik ilmu Sains dan Matematik akan terjejas .

Mereka yakin bahasa ibunda adalah bahasa pengantar yang paling berkesan berbanding bahasa asing. Kenapa kerajaan tidak boleh bertolak ansur dengan pendapat yang munasabah ini?

Padahal, ia bukan pendapat Dong Jiao Zong saja. Ramai pendidik pelbagai kaum juga akur dengan teori pendidikan yang diakui seluruh dunia ini. Ianya tiada kena-mengena dengan mana-mana kaum tertentu.

Isu sensitif

Sekiranya masyarakat Cina lebih meyakini keberkesanan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar dan meminta supaya SJKC dibenarkan menggunakannya untuk mengajar matapelajaran berkenaan, kenapa tidak boleh dibenarkan? Kenapa ia dijadikan batasan yang tiada tolak ansur?

Kenapa gertakan "bakal mengundang bencana"? Bencana apa? Menjadi korban Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Hasutan? Atau lebih teruk lagi?

Seorang ketua biro sudah begitu berlagak, sehingga menjanjikan bencana untuk kaum lain hanya kerana mereka lebih meyakini keberkesanan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar bagi matapelajaran Sains dan Matematik.

Bukankah manusia seperti ini yang menjadikan semua perkara sensitif, dan hubungan baik kaum dikeruh dan tegangkan?

Seorang ketua biro sudah dibenarkan mempersoalkan keikhlasan lima parti komponen BN yang terbabit sebagai "bermain sandiwara" dan "bertaktik halus dengan agenda tertentu". Di manakah semangat muafakat BN yang digembar-gamburkan selama ini?

Berlandaskan analisis tersebut, rasanya penggantungan bantuan perkapita kepada SAR harus segera ditarikbalik. Dr Adham juga patut menarikbalik gesaan beliau untuk menutup SJKC dan gertakan bencana untuk masyarakat Cina.

Beliau perlu meminta maaf kepada pihak-pihak terbabit sekiranya beliau masih berakal budi dan mempunyai sedikit sebanyak semangat demokrasi, dan benar-benar menghargai hubungan baik antara kaum.