Maklumlah kebelakangan ini, gerakan pendidikan Cina, Dong Jiao Zong yang menentang penggunaan bahasa Inggeris bagi matapelajaran Sains dan Matematik di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) sedang menghadapi serangan terancang dari alat-alat propaganda kerajaan Barisan Nasional (BN) seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan RTM .
Dalam masa genting di mana ia amat memerlukan bantuan, Dr Too Chee Chong, bekas pengerusi (1965-1966) Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) tiba-tiba muncul, bukan untuk mempertahankan pendidikan bahasa ibunda, sebaliknya ditikamnya dari belakang!
Dr Too sedar tindakannya yang ibarat "menambah garam pada luka" itu tentu tidak akan diterima baik oleh masyarakat Cina amnya dan Dong Jiao Zong khasnya. Oleh itu, awal-awal lagi Dr Too menjelaskan bahawa beliau tidak "diarah" atau "dibayar" untuk berbuat demikian, dan bersedia "sekali lagi dilabelkan sebagai pengkhianat pendidikan Cina".
Hakikat bahawa Dr Too dilayan sebagai"bintang media", terbukti sekurang-kurangnya beliau telah diperalatkan oleh media propaganda kerajaan untuk menjejaskan pergerakan pendidikan bahasa ibunda yang dipelopori Dong Jiao Zong, sungguhpun beliau telah berundur (mengikut versi Too sendiri) atau disingkirkan (mengikut versi Loot Ting-yi, seorang pemimpin Jiao Zong yang berwibawa) 36 tahun lalu.
