Malaysia Bukan Britain adalah buku kedua kumpulan ulasan semasa kolum Malaysiakini.com yang saya tulis sepanjang tahun 2002. Manakala buku pertama saya Bumi Dipijak , yang juga mengandungi ulasan semasa saya dalam kolum yang sama bagi tahun 2001 telahpun diterbitkan tahun lalu.

Tajuk buku ini dipetik dari judul sebuah ulasan saya ( malaysiakini ,7 Ogos 2002), sebagai jawaban kepada ulasan Awang Sulung dalam Mingguan Malaysia bertarikh 4 Ogos 2002 berkaitan dengan dasar penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik mulai tahun 2003.

Polemik yang berkisar mengenai isu ini amat penting kerana melalui proses perdebatannya, maka terdedahlah:

Bagaimana dasar pendidikan negara kita telah dipolitikkan oleh Barisan Nasional (BN);

Bagaimana ketatnya media massa arus perdana dikawal dan dikuasai parti pemerintah;

Bagaimana dasar bahasa Inggeris cuba diputarbelitkan sebagai isu perkauman;

Bagaimana Dong Jiao Zong yang membela sekolah bahasa ibunda semua kaum sebagai hak asasi manusia, dituduh sebagai Cauvinis Cina dan kumpulan pelampau, serta diancam dengan tindakan ISA (Akta Dalam Negeri) dan Akta Hasutan; dan

Bagaimana suatu dasar bahasa yang mengagung-agungkan bahasa Inggeris/asing yang ditentang oleh pencinta bahasa ibunda semua kaum, dipaksakan ke atas sistem pendidikan kebangsaan kita tanpa dipersetujui pihak-pihak terbabit.

Agenda tersembunyi

Dasar itu ditentang bukan sahaja kerana dianggap tidak berkesan untuk meningkatkan penguasaan bahasa itu, tetapi juga kerana kesangsian wujudnya 'agenda tersembunyi' untuk menghapuskan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina ( SJKC) dan Tamil (SJKT) melalui Projek Sekolah Wawasan yang menempat dua atau tiga aliran sekolah dalam kawasan yang sama.

Dengan menempatkan dua atau tiga aliran sekolah dalam kawasan yang sama, di samping kurikulum bersama bagi mata pelajaran Sains, Matematik, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, dikhuatiri langkah berikutnya ialah mencantumkan semua sekolah terbabit menjadi sekolah bersepadu sepertimana yang pernah dilaksanakan di Singapura.

Tidak dapat dinafikan bahawa Rejim Lee Kuan Yew di Singapura menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar untuk menghapuskan sekolah bahasa ibunda Cina, Melayu dan India. Sejarah itu tidak sewajarnya dibenarkan berulang di negara kita.

Dalam ulasannya tahun lalu, penulis telah menegaskan bahawa "isu negara Islam dan pelampau militan terus menghantui Barisan Alternatif (BA) pada masa akan datang. Kemampuan parti komponen BA untuk menangani kedua-dua isu tersebut, akan menentukan jatuh bangunnya pakatan tersebut.". Rasanya, ulasan tersebut tidak meleset.

Maklumlah, selepas peristiwa 911, suasana politik yang tidak menguntungkan negara kita telah dieksploitasi sepenuhnya oleh kerajaan BN, antaranya dengan PAS sebagai 'Taliban Malaysia' dan gerakan reformasi dicemar sebagai gerakan militan bagi menimbulkan huru-hara dan menumbangkan kerajaan secara kekerasan.

Tahanan ISA

Tambahan pula parti pembangkang, terutamanya PAS dan DAP, gagal menyusun strategi politik yang bijaksana dan realistik untuk menangani kedua-dua isu di atas. Ini ditambah dengan kegagalan parti pembangkang menyelesaikan pergeseran dalaman sesama sendiri.

Bagaimanapun, komplot politik untuk mencemarkan gerakan reformasi telah terbongkar pada 7 Sept 2002, apabila Mahkamah Persekutuan sebulat suara memutuskan penahanan lima tahanan ISA ( Mohd Ezam Noor, Tian Chua, Saari Sungib, Raja Petra dan Hishamuddin Rais) selama 60 hari oleh polis mengikut Seksyen 73(1) ISA April tahun lalu, adalah tidak sah dan mala fide (berniat jahat).

Penal empat orang hakim mendengar permohonan habeas corpus kelima-lima tahanan ISA itu, dengan diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Mohamad Dzaiddin Abdullah.

Namun kerajaan BN masih berdegil dan enggan membebaskan lima tahanan ISA tersebut sepertimana yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan mahkamah yang tertinggi di negara ini.

Sebaliknya, ISA lebih kerap digunakan untuk menahan dan memburu berpuluh-puluh aktivis Islam yang didakwa terlibat dalam gerakan Kumpulan Mujahidin/Militan Malaysia (KMM) dan Jemaah Islamiah (JI) tanpa bukti yang kukuh. Malah ada ura-ura ISA akan dipinda dan diperketatkan lagi, kononnya, untuk menentang keganasan.

Alasan pihak berkuasa

Nyata sekali, jika anti-komunis dan anti-subversif dijadikan alasan untuk menahan musuh politik Perikatan, dan kemudiannya BN pada tahun 60-an hingga 80-an sebelum Parti Komunis Malaya (PKM) menamatkan perjuangan bersenjatanya, kini, anti-keganasan dan anti-kumpulan militan pula yang sering dijadikan alasan untuk menindas musuh politik BN.

Perkembangan ini harus diperhati dan dibantutkan sebelum ISA digunakan secara lebih bermaharajalela! Di samping menentang segala undang-undang seumpama itu, semua pihak harus menggembleng tenaga untuk meneruskan gerakan mansuhkan ISA sehingga undang-undang itu dihapuskan.

Kita sewajarnya tidak dikelirukan oleh cadangan berkompromi supaya tuntutan tahanan ISA dibebaskan tanpa sebarang syarat atau dibicarakan di 'mahkamah terbuka' digantikan dengan apa yang dinamakan 'tribunal bebas'. Jika kebebasan mahkamah terbuka juga tidak terjamin, bagaimanakah dapat diharapkan tribunal yang 'bebas' dalam ertikata sebenarnya ?

Jika perkembangan politik BA dijangka penuh dengan pelbagai kemungkinan, politik BN, terutamanya Umno juga nampaknya sukar untuk menghindari krisis perebutan kuasa dan perbalahan puak, memandangkan Dr Mahathir Mohamad akan berundur pada Okt depan.

Itupun, jika beliau tidak mengingkari janji seperti Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Senator Datuk Zainal Rampak untuk melepaskan jawatannya.

Nafas baru

Yang ironis sekali ialah apabila Dr Mahathir membelasah mentaliti tongkat kaum Melayu dan orang Umno, beliau sendiri menjadi tongkat terbesar untuk Umno dan BN bersandar. Tanpa Dr Mahathir selepas Okt depan, entah apalah yang akan berlaku kepada Umno dan BN!

Pemergian Dr Mahathir akan menandakan noktah eranya. Ini mungkin bermakna masa berundur juga sudah tiba bagi pemimpin BN yang sezaman dengannya, umpamanya presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu; Presiden Gerakan, Datuk Seri Lim Keng Yaik; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ling Liong Sik, dan beberapa pemimpin veteran pembangkang yang menjadi beban parti masing-masing.

Untuk memberi 'nafas baru' kepada parti-parti terbabit, ada baiknya mereka mencontohi Dr Mahathir yang mematuhi pesan ibunya: "berhenti bila makan tengah sedap"!

Tahun 2003 memang penting bagi semua parti politik kerana terpaksa bersedia untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang. Senario politik pada keseluruhannya dianggap lebih menguntungkan BN berbanding dengan pilihanraya umum yang lalu.

DAP yang telah meninggalkan BA, PAS yang tegas dengan idealisme Negara Islam acuannya dan berghairah dalam pelaksanaan Hudud, Parti Keadilan yang akan bercantum dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM), masing-masing mempunyai masalah sendiri.

Pakatan pembangkang

Rasanya sukar bagi mereka bergabung tenaga untuk menghadapi BN sebagai sebuah pakatan politik yang mempunyai manifesto bersama seperti tahun 1999.

Antaranya, pembahagian kerusi untuk ditandingi DAP dan parti komponen BA akan menjadi lebih sukar kerana DAP sudah meninggalkan BA. Kegagalan berkompromi akan merugikan pembangkan jika berlaku pertandingan tiga penjuru kerana, selain BN, mereka turut menentang sesama sendiri.

Suatu senario politik negara kita yang muram ialah pemerintahan BN menjadi semakin autokratik dan opresif manakala pembangkang pula menjadi kucar-kacir akibat ditindas dan konflik dalaman.

Dalam suasana porak-peranda, pelbagai puak pelampau/militan dan kaedah perjuangan di luar landasan perlembagaan, mungkin berpeluang bertapak dan memainkan peranan masing-masing dalam pancaroba politik yang akan datang.

Di samping itu, kestabilan negara kita juga akan diipengaruhi unsur antarabangsa, terutamanya tercetusnya pada bila-bila masa pencerobohan Amerika Syarikat dan sekutunya terhadap Iraq atau mana-mana negara 'paksi jahat' dengan helah anti-keganasan.

Senario politik semasa

Krisis Malaysia-Singapura berikutan isu `harga air dan tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Putih, juga makin membimbangkan.

Bagaimanapun, semasa kita mengharap dan memperjuangkankan prospek politik yang lebih cerah, kita juga terpaksa bersedia untuk menghadapi senario politik yang lebih kompleks dan sulit.

Akhirnya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada editor-editor malaysiakini yang bertungkus-lumus menyelenggarakan kolum saya selama ini, dan terhadap Sdr. Rustam A Sani yang sudi menulis satu lagi kata pengantar untuk menyerikan buku kedua saya Malaysia Bukan Britain .


Catatan penulis: Buku ini akan diterbitkan dalam masa terdekat oleh Strategic Information Research Development