Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) pada 7 Jan lalu, telah secara mengejut mendedahkan bahawa Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ling Leong Sik telah menyerahkan kepadanya surat perletakan jawatan tanpa tarikh sebagai Menteri Pengangkutan pada 15 Ogos, 2002.

Pendedahan ini umpama suatu teka-teki politik yang mengundang semua pihak terbabit untuk mencari jawapannya, terutama berkaitan soalan-soalan berikut:

1. Mengapa Dr Ling menyerahkan surat letak jawatan pada 15 Ogos 2002?

2. Mengapa surat letak jawatan Dr Ling 'tanpa tarikh'?

3. Mengapa Dr Mahathir mendedahkan 'rahsia' ini sekarang?

4. Apakah sikap sebenarnya Dr Mahathir berhubung perletakan jawatan Dr Ling?

5. Implikasi dan kemungkinan isu ini berkembang.

Menurut laporan media, Dr Ling mengatakan beliau pernah ditanya Perdana Menteri mengenai tarikh yang difikirkan sesuai untuk meletak jawatan.

"Saya katakan kepadanya, bila-bila masa selepas perasmian Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), jadi UTAR dirasmikan pada 13 Ogos lalu, saya pun menyerahkan surat letak jawatan pada 15 Ogos."

Episod ini, jika benar, maka terdapat dua andaian mengenainya. Yang pertama, Dr Mahathir pernah mendesak Dr Ling meletak jawatan pada masa yang difikirkan sesuai.

Rahsia besar

Yang kedua, Dr Ling telah memberi tahu Dr Mahathir beliau sanggup meletak jawatan sebagai Menteri Pengangkutan selepas perasmian UTAR pada 13 Ogos 2002. Dan sebagai susulan, beliau menyerahkan surat letak jawatan pada 15 Ogos tahun yang sama.

Namun kerelaan beliau untuk berundur boleh disangsikan kerana surat berkenaan diserahkan 'tanpa tarikh' , bukan berkuatkkuasa dengan serta-merta, walaupun beliau telah menyatakan akan berbuat demikan bila-bila masa selepas perasmian UTAR pada 13 Ogos 2002.

Tambahan pula, perletakan jawatan beliau tidak diumumkan Dr Ling kepada media atau diberitahu kepada mana-mana pihak. Ianya seolah-olah suatu 'rahsia besar' di antara beliau dan Perdana Menteri. Tanpa didedahkan oleh Perdana Menteri, ia mungkin tidak diketahui buat selama-lamanya.

Nampaknya satu percaturan politik secara senyap-senyap dan halus telah berlaku di antara Dr Mahathir dan Dr Ling Dr Mahathir mendesak Dr Ling berundur diri pada masa yang difikirkan sesuai, manakala Dr Ling hanya menyerahkan surat letak jawatan 'tanpa tarikh' untuk menunjukkan sikap pasif beliau.

Andainya Dr Mahathir yang menetapkan tarikh pengunduran Dr Ling, maka ia membawa makna beliau (Dr Ling) dipecat oleh Perdana Menteri, bukan berundur atas kemahuannya sendiri.

Saya tidak setuju dengan ulasan sesetengah analisa yang mengatakan percaturan politik tersebut sebagai 'gertakan' atau 'perangkap' Dr Ling ke atas Perdana Menteri.

Skandal kewangan

Ini kerana Dr Ling mungkin tiada modal politik atau kekuatan moral untuk berbuat demikian, terutama memikirkan skandal kewangan dan kes mahkamah yang beliau terlibat dan konflik puak serta perpecahan dalam MCA serta hubungan kurang memuaskan dengan parti komponen BN, khususnya Gerakan dan Umno.

Meletak jawatan tanpa tarikh hanya suatu taktik halus agar Dr Mahathir yang mengambil inisiatif untuk menetapkan tarikh pengunduran beliau dan bertanggungjawab atas sebarang kesudahan yang tidak diingini jika timbul (umpamanya ketidakpuasan di kalangan penyokong Dr Ling).

Rasanya, taktik ini sudah berhasil dalam melambatkan tarikh pengunduran Dr Ling kerana Dr Mahathir juga tidak mahu dilihat sebagai memihak kepada puak Ah Lek kerana menyingkirkan Dr Ling dengan menetapkan tarikh pengundurannya.

Namun, seperti laporan Berita Harian pada 9 Jan lalu, kegagalan Dr Ling menyelesaikan isu membabitkan MCA dan masyarakat Cina, termasuk bantahan pendidik Cina terhadap penggunaan bahasa Inggeris bagi mata pelajaran Sains dan Matematik, isu dua Ahli Dewan Undangan Negeri MCA Pulau Pinang dan krisis dalaman parti itu yang berlarutan, mungkin merupakan faktor baru yang menyebabkan Dr Mahathir tidak dapat berdiam diri lagi.

Apatah lagi, tarikh pengunduran Dr Mahathir sendiri dan pilihanraya umum juga kian hampir. Lantaran itu, 'rahsia' perletakan jawatan Dr Ling pun didedahkan oleh perdana menteri.

Dan Dr Ling yang "diserang hendap" terpaksa segera mengadakan sidang media untuk mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan pada tarikh yang akan ditentukan kelak oleh perdana menteri. Bagaimanapun, beliau masih mengekalkan jawatan presiden MCA.

Pusingan kedua

Jika Dr Ling berjaya untuk melambatkan tarikh perletakan jawatannya dalam percaturan politik pusingan pertama, rasanya pada pusingan kedua ini, jika perdana menteri mengumumkan tarikh pengundurannya, Ling akan berada dalam kedudukan amat pasif dan goyah, dan sukar meraih simpati daripada mana-mana pihak.

Ini kerana Dr Ling telah berkali-kali menyatakan kesediaan/kerelaan beliau untuk berundur diri pada bila-bila masa sahaja, "sebagai seorang askar mematuhi perintah jeneralnya".

Percaturan politik Dr Ling dengan Perdana Menteri jelasnya dibayangkan oleh media massa yang dikuasai parti masing-masing.

Media pro-MCA cuba memberi gambaran bahawa Perdana Menteri telah menolak perletakan jawatan Dr Ling; media pro-Umno sebaliknya cuba menggambarkan Dr Ling sebagai pemimpin MCA yang cuba 'menggertak' dan 'memerangkap' Dr Mahathir serta 'memperlekehkan Kabinet Kerajaan BN' dengan politik acah-acah yang berpura-pura hendak meletakkan jawatan.

Penulis ini berpendapat tidak logik perdana menteri menolak perletakan jawatan Dr Ling, kerana beliaulah yang mendesak Dr Ling berundur pada masa yang difikirkan sesuai. Lagipun, beliaulah yang mendedahkan 'rahsia' perletakan jawatan Dr Ling. Jika dedah untuk ditolak, buat apa tidak terus di'rahsia'kan ?

Kumpulan A mahupun B pula kini sibuk menyediakan nama calon pengganti menteri pengangkutan untuk diserahkan kepada perdana menteri. Yang ditunggu hanya masa yang dianggap 'sesuai' oleh Dr Mahathir untuk diumumkan tarikh perletakan jawatan Dr Ling dan melantik penggantinya.

Bakal presiden

Media pro-Umno sedang mempertikaikan keikhlasan Dr Ling untuk meletak jawatan kerana enggan melepaskan sama jawatan presiden MCA, sedangkan Dr Mahathir sendiri berjanji akan melepaskan sekaligus jawatan perdana menteri dan presiden Umno.

Bila ditanya sama ada MCA memerlukan formula peralihan kuasa seperti yang dilakukan Umno, Dr Ling berkata, setiap parti mempunyai cara tersendiri untuk menyelesaikan masalah dalaman masing-masing.

Tegas beliau:"keputusan untuk menentukkan siapa yang bakal memimpin MCA tidak akan diputuskan oleh satu atau dua orang saja , walau apapun, ia perlu dilakukan mengikut cara biasa yang ditetapkan perlembagaan parti." Namun beliau juga tidak menolak 'cara luar biasa' jika perlu.

Retorik molek ini hanya mendedahkan hipokrasi Dr Ling, kerana beliau tentu belum melupai 'formula penyelesaian pakej'dulu yang dicapai puak beliau dengan puak Ah Lek melalui beberapa pemimpin sahaja, di manakah perlembagaan MCA?

Bagitu juga halnya dengan 'pelan perdamaian' selepas campur tangan Dr Mahathir yang menyebabkan penangguhan pemilihan parti sehingga 2005, di manakah perlembagaan MCA?

Perbalahan

Tidak dapat dinafikan, jika perletakan jawatan Dr Ling sebagai menteri pengangkutan bermatlamat untuk menyelesaikan krisis peralihan kepimpinan MCA sebelum Dr Mahathir berundur atau menjelang pilihanraya umum akan datang, sebenarnya tiada jaminan ia akan mereda, usahkan untuk menyelesaikan krisis terbabit.

Jika tidak ditangani dengan berhati-hati, ia mungkin menyemarakkan perbalahan puak-puak terbabit, terutama mengenai calon pengganti Dr Ling dalam kabinet, perletakan jawatan Dr Ling sebagai presiden MCA, dan pembahagian kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri untuk ditandingi puak masing-masing.

Selain perbalahan dalaman MCA, ia juga mungkin memburukkan lagi hubungan MCA-Umno kebelakangan ini. Mungkin inilah sebabnya perdana menteri belum mendapat 'inspirasi' bilakah tarikh yang betul-betul 'sesuai' bagi Dr Ling berundur dari kabinet.

Pendek kata, sungguhpun kedudukan Dr Ling kini amat pasif dan goyah, ia tidak bermakna Dr Mahathir boleh menggunakan 'hak istimewanya' untuk menggugurkan Dr Ling sesuka hati, kerana beliau perlu menimbangkan kesudahan dan pengaruhnya terhadap pilihanraya umum akan datang, dan imej beliau sebagai seorang jeneral yang 'bijak' dan 'adil' yang bakal berundur Oktober ini.