Berundur diri: politik acah-acah Umno?
"Berundurlah ...saya pun dah nak berundur, kita berilah peluang kepada muka baru pula." Demikianlah seruan terbuka Dr Mahathir Mohamad kepada mereka yang sudah merasa tidak mampu lagi memberi khidmat terbaik kepada parti dan rakyat, ketika beliau berucap di majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Jeli, Kelantan, pada 16 Januari 2003.
Dua hari kemudian, sebagai menyahut seruan Perdana Menteri itu, menteri besar di lima negeri - Perak, Perlis, Kedah, Terengganu dan Melaka - menegaskan bahawa barisan kepimpinan Umno negeri masing-masing akan dirombak, termasuk menggugurkan wakil rakyat lama bagi memperkukuhkan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang.
Pada 22 Januari lalu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob mengumumkan bahawa lapan exco kerajaan negeri, termasuk beliau sendiri, sedia menarik diri daripada bertanding dalam pilihanraya umum akan datang bagi memberi laluan kepada muka baru dengan syarat "keputusan muktamad akan ditentukan oleh pucuk pimpinan, sama ada menerima atau menolaknya."
Tambah beliau: "Tindakan itu bukan untuk memeningkan kepala Pengerusi Barisan Nasional merangkap Persiden Umno, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, sebaliknya lebih memudahkan tugasnya kerana sebarang keputusan yang dikeluarkan kelak akan diterima dengan hati terbuka."

Selain Adnan, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali, dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim serta semua exco mereka juga turut menyuarakan kesediaan masing-masing untuk mengundurkan diri.
Budaya politik Umno
Tindakan exco kerajaan Pahang, Perak dan Perlis tersebut telah mencetuskan kontroversi yang menarik minat pemerhati politik negara kita. Adakah keputusan Dr Mahathir untuk mengundur diri, telah mengubah secara mendadak budaya politik Umno di mana selama ini pemimpin-pemimpinnya sukar hendak melepaskan kuasa dan kepentingan yang dinikmati mereka?
Atau satu rebutan kuasa baru telah bermula melalui rombakan barisan pimpinan parti sebelum Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang lebih mesra dengan panggilan Pak Lah, mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Dr Mahathir menjelang pilihanraya umum yang kian hampir?
Tidak dapat dinafikan bahawa barisan kepimpinan, baik dalam hirarki Umno maupun dalam kerajaan pusat dan negeri sekarang, didominasi oleh 'budak-budak Mahathir' atau sekurang-kurangnya mereka yang dapat diterima oleh Dr Mahathir.
Apabila Pak Lah menyandang jawatan perdana menteri kelak, mengikut tradisi Umno, ianya menjadi 'hak istimewa' beliau pula untuk melantik 'budak-budaknya' ke jawatan yang strategik, dan menggugurkan mereka yang tidak dapat diterimanya.
Justeru itu, adalah amat penting apabila Dr Mahathir menyambut baik keputusan beberapa pemimpin Umno untuk berundur diri daripada bertanding dalam pilihanraya umum akan datang, beliau telah menegaskan bahawa tindakan itu akan memberi peluang kepada penggantinya untuk 'mengatur semula segala-galanya', terutamanya untuk 'membuat pelantikannya sendiri'.
Undur diri
Namun, sekiranya rombakan dalam Umno dibuat sekarang sewaktu Dr Mahathir masih berkuasa, bagaimanakah Pak Lah dapat 'mengatur semula segala-galanya' dan 'membuat pelantikannya sendiri'? Umpamanya dalam hal pengunduran lapan exco kerajaan Pahang, Perak dan Perlis, siapakah yang akan membuat keputusan sama ada menolak atau menerimanya - Dr Mahathir atau Pak Lah.
Naib presiden MCA, Datuk Chan Kong Choy (dari Kumpulan B) berpendapat amalan segelintir pemimpin kerajaan yang menyerahkan keputusan untuk melepaskan jawatan masing-masing kepada perdana menteri untuk menentukannya, tidak harus menjadi satu sindrom.
Tambah beliau, jika ada pemimpin yang mahu berundur, mereka harus (meletakkan jawatan dan) pergi. Pemimpin yang dimaksudkannya tentulah termasuk Presiden MCA Dr Ling Liong Sik yang telah menyerahkan surat perletakan jawatan tanpa tarikh pada tahun lepas untuk diputuskan oleh perdana menteri sama ada diterima atau ditolak.
Entah kebetulan atau bukan, ketiga-tiga naib presiden Umno - Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib - tidak bersetuju dengan tindakan sesetengah pemimpin parti itu menyuarakan kesediaan mereka untuk mengundurkan diri secara terbuka.
Najib mengingatkan kepimpinan parti itu agar tidak terlalu lantang menyuarakan hasrat untuk berundur secara sekarela bagi mengelak timbul tanggapan seolah-olah wujud krisis di negeri masing-masing.
Mesti patuh
Muhd Taib pula menggesa supaya tidak ada lagi yang menyuarakan hasrat mereka untuk berundur secara terbuka kerana tindakan sedemikian bukan cara dan budaya parti itu.
Muhyiddin juga memberi nasihat yang sama, kerana kenyataan secara terbuka, termasuk menerusi media, mungkin digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk memutarbelitkannya, sekaligus memberi kesan tidak baik kepada parti.
Reaksi Pak Lah juga patut dianalisa secara lebih mendalam. Di samping mengatakan pemimpin Umno bebas mengumumkan hasrat mereka untuk melepaskan jawatan, beliau juga menegaskan bahawa mereka mesti patuh sekiranya sesuatu keputusan dibuat oleh kepimpinan parti. Beliau tidak mahu ada pemimpin yang apabila digugurkan, bangun melakukan penentangan.
Apabila ditanya mengenai reaksinya terhadap tindakan sesetengah pemimpin Umno yang menyatakan hasrat membuat secara terbuka untuk berundur, Pak Lah berkata: "Kalau orang nak pergi macam mana, takkan kita nak larang..." seolah-olah dalam nada tidak gembira.
Sekembalinya dari lawatan ke luar negara, Dr Mahathir dilaporkan menyambut baik pengumuman terbuka sesetengah pemimpin Umno yang hendak berundur, kerana ia akan memberi peluang kepada penggantinya, Pak Lah, untuk 'mengatur semula segala-galanya".
Jawatan kosong
Bagaimanapun, Abdullah nampaknya juga tidak begitu setuju dengan pandangan Dr Mahathir itu. Dengan selamba, Pak Lah berkata ia merupakan pandangan perdana menteri, "kita tengoklah siapa yang akan ikut cakap perdana menteri, tapi sekiranya jawatan kosong, tentulah ia akan diisikan, tak boleh tunggu lama-lama."
Ulasan Pak Lah tersebut membayangkan kemungkinan beliau telah berdepan dengan agenda politik perletakan jawatan secara koletif oleh exco kerajaan negeri terbabit, sekiranya tekanan politik melalui pengumuman hasrat mereka untuk berundur diri, gagal mencapai tujuannya bagi memperkukuhkan status quo.
Jika inilah senario politik yang dihadapi Pak Lah, maka politik acah-acah untuk berundur diri merupakan strategi politik untuk memperkukuhkan barisan pimpinan sedia ada, bukan untuk melicinkan rombakan seperti yang sudah dimulai dari negeri Kelantan.
Dan sekiranya rombakan barisan pimpinan Umno dilakukan semasa Dr Mahathir masih berkuasa sebagai perdana menteri, bagaimanakah ia dapat menjamin bahawa rombakan yang dilakukan itu tidak mengingkari kehendak Pak Lah?
Lebih-lebih lagi, bila, bagaimana dan siapakah yang akan memutuskan senarai calon-calon Umno untuk pilihanraya umum akan datang, selain menentukan sama ada Pak Lah akan mengambilalih jawatan perdana menteri secara licin dan berwibawa.
Jika Dr Mahathir memberi sokongan penuh kepada penggantinya, dengan menyerahkan kuasa penuh kepada Pak Lah sebelum beliau berundur, maka tekanan politik yang dihadapi Pak Lah mungkin dapat diatasi. Jika sokongan Dr Mahathir tidak begitu utuh, maka cabaran yang dihadapi Pak Lah, mungkin besar dan berisiko!