Presiden George W. Bush telah mengisytiharkan bahawa 'permainan sudah berakhir', dan rakyat dan para diplomat Amerika dinasihatnya supaya segera meninggalkan Iraq dan negara Asia Barat yang lain.

Oleh itu, tiada pihak yang patut menafi lagi bahawa AS dan sekutunya, terutama Britain dan Australia, telah bersiap-sedia untuk melancarkan perang ke atas Iraq pada bila-bila masa dalam tempoh terdekat ini, walaupun ditentang oleh rakyat yang cintakan kedamaian di seluruh dunia.

AS kini giat mengumpulkan kekuatan bala tenteranya di dalam dan sekitar rantau Teluk, termasuk kapal pengangkut pesawat yang diiringi kapal perang yang boleh melancarkan peluru berpandu cruise dan jumlah askarnya pula dijangka meningkat kepada 150,000 menjelang pertengahan bulan ini.

Bagi Amerika, menyerang Iraq merupakan strategi yang telah ditetapkan. Penyelesaian melalui saluran diplomatik hanya satu 'permainan' atau muslihat untuk menjustifikasikan rancangan pencerobohan terang-terangannya terhadap Iraq dan negara 'paksi jahat' yang lain demi kepentingan hegemoninya terhadap negara-negara Asia Barat, dan sekaligus menguasai seluruh dunia.

Resolusi 46 yang diluluskan oleh Kongres Amerika September lalu telah memberi kuasa penuh kepada Presiden Bush untuk melancarkan perang serangan awal (pre-emptive war) secara bersendirian terhadap negara yang dianggap sebagai 'ancaman' kepada Amerika, tanpa mendapatkan persetujuan Kongres terlebih dahulu.

Di samping itu, melalui UNSCR 1441, Bush juga mendapat sokongan penuh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya Iraq menghapuskan senjata pemusnah.

Ancaman

Malah 19 negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) juga memberi sokongan ketenteraan untuk melucutkan senjata pemusnah Iraq sekiranya pemeriksa senjata PBB yang diketuai Hans Blix dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang diketuai Mohamed El Baradei membuat kesimpulan bahawa Iraq tidak mematuhi UNSCR 1441.

Dengan perkataan lain, jika PBB dan Nato dapat diperalatkan, maka AS akan melancarkan serangan ke atas Iraq dan negara 'paksi jahat' yang lain untuk mengukuhkan hegemoninya, seolah-olah demi kepentingan anti-keganasan dan keamanan dunia, padahal rasional UNSCR 1441 sendiri juga boleh dipertikaikan.

Dalam perkara ini, ulasan Richard Butler, bekas ketua pasukan pemeriksa senjata Pertubuhan PBB ke Iraq, memang ada logiknya yang kuat apabila beliau menegaskan dalam siaran televisyen Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) pada 26 Disember 2002:

"Lima anggota tetap Majlis Keselamatan PBB mempunyai tanggungjawab untuk melihat tiada sesiapa memperolehi senjata pemusnah ini, tetapi mereka sendiri memilikinya. Selagi negara yang memilikinya tidak berbuat apa-apa untuk mengurangkan senjata milik masing-masing, negara lain seperti Korea Utara dan Iraq akan berusaha untuk memilikinya".

Jika mereka sendiri tidak bersedia untuk berbuat demikian, maka mereka juga tidak berhak meminta mana-mana negara untuk melakukannya, kerana negara-negara berkenaan juga boleh mendakwa kedaulatan dan keamanan negara mereka terancam oleh senjata pemusnah yang dimiliki lima anggota tetap Majlis Keselamatan PBB.

Siapakah yang boleh menafikan bahawa kedaulatan dan keamanan Iraq dan Korea Utara, malah keamanan dunia kini diancam oleh Amerika dan negara-negara sekutunya?

Keras kepala

Oleh demikian, meminta 'kerjasama penuh' Iraq atau Korea Utara untuk melucutkan senjata pemusnah yang mereka miliki memang sesuatu yang tidak masuk akal. Dari kacamata Amerika dan sekutunya, Iraq, Korea Utara adalah negara 'paksi jahat'. Dari kacamata negara terbabit pula, Amerika dan sekutunyalah yang merupakan negara 'syaitan'.

Menurut Kuasa Usaha Kedutaan Iraq di Malaysia, Salah-Eldeen N. Sulaiman, walaupun belum menyerang Iraq, Amerika sudahpun mengumumkan barisan kepimpinan pasca-Saddam Hussein. Adakah PBB memberi mandat kepada Amerika untuk menubuhkan rejim boneka pasca-Saddam Hussein? Di manakah kedaulatan Iraq sebagai sebuah negara yang merdeka?

Malah, kebiadaban Amerika begitu menonjolkan apabila ianya tetap berkeras hendak menyerang Iraq sama ada mendapat restu Majlis Keselamatan PBB atau tidak. Namun begitu, hingga sekarang, ia masih gagal menyediakan bukti yang kukuh dan muktamad bahawa Iraq benar-benar memiliki senjata pemusnah seperti yang didakwanya.

Setelah 60 hari pemeriksa senjata PBB dan IAEA menjalankan pemeriksaan di Iraq melalui mandat UNSCR 1441, mereka masih gagal menemui bukti kukuh yang menunjukkankan negara itu mempunyai atau sedang membangunkan senjata pemusnah. Malah, El Baradei telah membuat kesimpulan bahawa Baghdad tidak mempunyai kemampuan untuk membangunkan senjata pemusnah nuklear.

Pembentangan Setiausaha Negara AS, Colin Powell kepada Majlis Keselamatan PBB pada 5 Feb lalu, termasuk gambar satelit dan perbualan yang dipintas oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA), juga tidak membawa kepada sebarang kesimpulan muktamad yang Iraq memiliki senjata berkenaan.

Malah, Iraq kini dilihat telah memberi kerjasama yang lebih memuaskan kepada pasukan pemeriksa senjata PBB, dengan membekalkan lebih banyak dokumen manakala ahli-ahli sainsnya telah ditemubual mengikut cara yang dikehendaki. Lebih banyak tempat yang dicurigai, telahpun diperiksa. Dan Jumaat itu, pasukan itu akan menyerahkan satu laporan penting kepada Majlis Keselamatan PBB.

Pendedahan

Lebih memalukan ialah pendedahan bahawa sebahagian daripada 'dosir pengintip rahsia' yang diumumkan oleh Tony Blair baru-baru ini untuk meyakinkan rakyat Britain mengapa Iraq perlu diserang, adalah diciplak dari sebuah tesis Phd seorang pelajar ijazah lanjutan Amerika yang berasaskan bukti-bukti usang 12 tahun dahulu.

Satu tinjauan pendapat di Britain baru-baru ini mengenai reputasi dan kebolehpercayaan Tony Blair berhubung rancangan menyerang Iraq, mendapati hanya 43 peratus mempercayainya, dan hanya 22 peratus mempercayai Bush.

Tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa pemimpin Amerika dan sekutunya boleh dianggap sebagai manusia yang telah hilang kebolehpercayaannya. Justeru itu, anggota tetap Majlis Keselamatan PBB seperti China, Perancis dan Rusia tidak setuju dengan rancangan Bush untuk melancarkan serangan sebelum jalan penyelesaian diplomatik digunakan sepenuhnya.

Dan di peringkat ini, anggota Nato seperti Perancis, Jerman dan Belgium juga secara terbuka menyuarakan tentangan mereka terhadap tindakan ketenteraan dan juga resolusi kedua Majlis Keselamatan PBB bagi membenar tindakan ketenteraan dan tindakan mempertahankan Turki yang bersempadan dengan Iraq.

Amerika dan sekutunya memang amat terpencil dalam agenda mereka untuk menyerang Iraq. Jika mereka tetap berdegil untuk menceroboh Iraq, mereka sebenarnya bermusuhan dengan seluruh rakyat dunia, termasuk rakyat Amerika dan sekutunya. Mereka mungkin mencapai kemenangan awal, tetapi yang pastinya, mereka juga tidak akan dapat mengelak daripada menghadapi kegagalan yang memalukan.

Oleh itu, rakyat Malaysia harus menggembleng tenaga dengan rakyat seluruh dunia yang cintakan keamanan untuk menentang peperangan yang mahu dilancarkan Amerika dan sekutunya itu!