Perkembangan krisis Iraq telah sampai ke kemuncaknya apabila Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya Britain, memberi tempoh sehingga 17 Mac kepada Presiden Iraq Saddam Hussein, untuk melucutkan senjata pemusnah atau berdepan dengan tindakan ketenteraan AS dan sekutunya.

AS bermati-matian hendak menyerang Iraq, tidak kira sama ada resolusi kedua tajaannya, Britain dan Sepanyol direstui atau tidak oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu (PBB). Resolusi itu ditentang oleh Perancis, Rusia dan China yang merupakan anggota tetap Majlis Keselamatan PBB yang mempunyai kuasa veto (pembatal).

Oleh itu, enam undi lagi diperlu bagi membolehkan resolusi baru itu diluluskan, jika tidak dibatalkan oleh mana-mana anggota tetap Majlis Keselamatan PBB. Justeru itu, kempen melobi kini giat dijalan.

Ia berupa berupa pujukan melalui telefon oleh Presiden Bush sendiri, umpan bantuan kewangan, tekanan politik dan operasi pengintipan yang melibatkan pemintasan e-mel dan perbualan telefon delegasi PBB dari Angola, Cameroon, Chile, Mexico, Guinea dan Pakistan, telah dilaporkan diguna untuk meraih sokongan.

Jika kesemua ini masih gagal, AS dan sekutusnya telah secara terang-terangan menggertak mengenai kemungkinan Iraq diserang lebih awal dari 17 Mac, secara unilateral tanpa menghiraukan bantahan mana-mana pihak, termasuk Majlis Keselamatan PBB sendiri.

Menurut Richard Butler, bekas pemeriksa senjata PBB, krisis Iraq telah mempamerkan mentaliti AS - "siapa kuat dia berkuasa" - yang memperkecil peranan PBB.

Harapan

Tegas beliau: "Masalah kini bukan lagi mengenai Saddam Hussein dan senjata pemusnah miliknya tetapi Bush yang sering berkata AS boleh ke mana-mana, pada bila-bila masa dan melakukan apa sahaja untuk menukar sesuatu kerajaan kerana mereka adalah kuasa besar dunia. Keadaan ini samalah seperti suasana sebelum penubuhan PBB, sedangkan Piagam PBB menghalang sesebuah negara menceroboh negara lain."

Presiden AS dari tahun 1977-1981 dan pemenang Hadiah Nobel Keamanan tahun lalu, Jimmy Carter juga mengecam persediaan Washington untuk melancarkan serangan bersendirian terhadap Iraq kerana menurutnya, adalah amat jelas serangan terhadap Iraq nanti tidak memenuhi standard keadilan dalam peperangan.

Ayah Presiden Bush, iaitu Presiden Bush (senior) yang melancarkan Perang Teluk Pertama juga membidas anaknya kerana serangan ke atas Iraq tanpa sokongan antarabangsa akan menghancurkan sama sekali harapan keamanan di Timur Tengah.

Katanya, persoalan mengenai berapa banyak senjata pemusnah yang disembunyikan oleh Iraq adalah sesuatu yang boleh dipertikaikan.

Oleh itu, beliau menasihatkan anaknya itu supaya menyelesaikan percanggahan pendapat AS dengan Perancis dan Jerman, dengan mengambil dayausaha untuk meyakini mereka bahawa persahabatan jangka panjang adalah lebih penting daripada permusuhan jangka pendek.

Kata dua AS dan Britain, dengan memberi tempoh 9 hari sehingga 17 Mac ini, kepada Saddam untuk melucutkan senjata pemusnahnya, jelasnya tidak mencerminkan sebarang keikhlasan agar krisis Iraq dapat diselesaikan melalui saluran politik tanpa peperangan.

Serbuk antraks

Sekiranya peranan PBB dihargai dan disanjung dengan sewajarnya, maka semua pihak, termasuk AS dan Iraq, hendaklah menghormati peranan yang dimainkan oleh Pasukan Pemeriksaan Senjata PBB .

Ketua Pemeriksa Senjata PBB, Hans Blix, Iraq telah memberi kerjasama - walaupun agak lambat - termasuk memusnahkan peluru berpandu Al-Samoud 2, menyerahkan dokumen tambahan mengenai serbuk antraks dan gas saraf VX, dan kesudian saintis Iraq ditemuduga mengikut cara yang dikehendakki Pasukan Pemeriksaan Senjata PBB.

Oleh itu, beliau berpendapat tempoh bagi pemeriksaan senjata hendaklah dilanjutkan. Selaras dengan itu, maka AS dan Britain sewajarnya tidak membuat kesimpulan sendiri bahawa Iraq telah gagal mematuhi resolusi 1441 PBB.

Pada masa yang sama, Ketua Pemeriksa Tenaga dan Atom Antarabangsa (IAEA), Mohamed ElBaradei, turut memberitahu Majlis Keselamatan bahawa pihaknya tidak menemui sebarang bukti aktiviti nuklear di tempat-tempat yang telah dilawati mereka.

Malah, beliau menyatakan AS telah menggunakan dokumen palsu untuk menuduh Baghdad cuba membeli uranium untuk membuat bom, dan menolak dakwaan bahawa Iraq cuba memulihkan program senjata nuklearnya.

Berasaskan kepada perkembangan ini, maka permintaan beliau supaya diberi tempoh 3 bulan untuk membuat kesimpulan sama ada Iraq mempunyai sebarang senjata nuklear atau tidak, sewajarnya dipenuhi, bukannya tempoh 9 hari yang diberikan kepada Iraq.

Sentimen anti-perang

Dalam keadaan sekrang, AS dan sekutunya tidak akan berpuas hati dengan apa sekalipun yang dilakukan oleh Saddam untuk mengelak Iraq diserang, melainkan beliau sanggup meninggalkan negaranya dan mendapat suaka politik di negara lain, agar pemerintahan Iraq dapat diambil alih oleh rejim boneka AS.

Kenapa AS dan Britain memberi tempoh 9 hari, dan bukannya tiga bulan sepertimana yang diminta oleh Pasukan Pemeriksa Senjata PBB? Ini kerana AS dan Britain makin hari makin terpencil dan sokongan terhadap mereka semakin terhakis.

Jika serangan terhadap Iraq tidak dilancarkan dalam masa yang tersingkat, kemungkinan mereka tidak mampu berbuat demikian lagi berikutan sentimen anti-AS dan Britain makin memuncak dari hari ke hari.

Perdana Menteri Britain, Tony Blair umpamanya, hanya mendapat 15 peratus sokongan dalam tinjauan pendapat umum terbaru di Britain jika serangan terhadap Iraq dilancarkan tanpa restu PBB. Manakala satu perempat ahli Parlimen Parti Buruh pimpinan Blair, telah memberontak dan menentang dasar perangnya itu.

Pada 9 Mac, ahli Parlimen parti Buruh, Andrew Reed mengesahkan perletakan jawatannya sebagai setiausaha sulit kepada Setiausaha Alam Sekitar, Margaret Beckett.

Beberapa jam kemudiannya, Setiausaha Pembangunan Antarabangsa, Clare Short pula mengancam akan meletak jawatan sekiranya Blair meneruskan sokongan terhadap dasar perang AS. Beberapa ahli Parlimen juga mungkin mengikut jejak mereka sekiranya Blair berdegil dengan pendiriannya.

Blair tercabar

Tokoh veteran parti Buruh, Tam Dalyell yang juga anggota tertua di Dewan Rakyat (House of Commons) turut menuntut perletakan jawatan Blair berhubung dasarnya terhadap Iraq.

Kata beliau: "Amerika Syarikat dan Britain salah sama sekali. Saya fikir sudah terlewat untuk Blair. Saya sendiri mahu melihat perdana menteri baru. Kami sedang mencari orang lain bagi menggantikan Blair". Persoalannya apakah Blair mampu bertahan selama tiga bulan lagi!

Kedudukan Presiden Bush juga tidak lebih baik dari Blair. Apatah lagi ayahnya sendiri tidak setuju dengan dasar unilateralnya untuk melancarkan perang tanpa direstui PBB.

Bahkan, bukan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) sahaja yang telah menyatakan bantahan 116 negara anggotanya terhadap dasar perang AS, malah, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang mewakili 57 negara Islam, turut berbuat demikian.

Malah sidang kemuncak 22 negara Liga Arab yang sebelum ini dianggap sebagai sekutu kuat AS, juga secara lantang mengisytiharkan mereka "menolak sama sekali" perang ke atas Iraq, dan tidak akan memainkan sebarang peranan jika AS melancarkan serangan terhadap negara itu.

Debat terbuka

Turki dan Saudi Arab, dua negara Arab yang merupakan penyokong kuat AS, juga turut memberi tamparan hebat kepada AS kerana tidak mahu menjadi pangkalan tentera AS dan sekutunya untuk melancarkan serangan terhadap Iraq.

Yang ironis sekali ialah Presiden Bush yang merupakan "juara benteng demokrasi" yang "ingin membebaskan rakyat Iraq dari rejim kuku besi Saddam", tidak berani menerima pelawaan Saddam untuk berdebat secara langsung dan tanpa ditapis atau disunting.

Pelawaan itu dikemukakan melalui Dan Rather, wartawan stesen televisyen CBS, sewaktu beliau menemubual Saddam pada 24 Feb lalu.

Jika kebenaran berada di pihak AS, kenapa Bush tidak berani berdebat dengan Saddam? Atau sebagai kuasa besar tunggal yang tiada tolok bandingnya, Bush lebih suka melancarkan serangan daripada berdebat?

Rahsia kegemaran AS dan Britain untuk berperang telah cuba dianalisa oleh seorang penganalisis politik, Nan Fang-suo, dalam rencananya yang bertajuk "Matematik keadilan: nyawa mutlaknya tidak sama nilai". Statistiknya mungkin memerlukan pengesahan, tetapi beliau telah memberi suatu perbandingan yang cukup mendebarkan.

Tidak beretika

Menurutnya, sewaktu Perang Korea, 54,000 tentera AS terkorban,berbanding dengan 5 juta nyawa tentera dan rakyat awam Korea dan China yang terbunuh. Dalam Perang Vietnam pula 58,000 tentera AS terkorban, berbanding dengan 5 juta nyawa tentera dan rakyat awam Indo-cina yang turut terkorban.

Dalam kedua-dua perang tersebut, nisbahnya lebih kurang 1:100, iaitu satu nyawa tentera AS sama nilai dengan 100 nyawa tentera dan rakyat awam negara yang dicerobohnya.

Namun, dalam Perang Teluk pertama, bersandar kepada teknologi perang yang canggih, hanya 148 tentera AS terbunuh, sedangkan 1.5 juta tentera dan rakyat awam Iraq terkorban akibat perang itu. Selepas perang, nisbahnya telah meloncat dari 1:100 kepada 1:10,000!

Dan tidak syak lagi, nisbah tersebut akan meningkat lagi dalam Perang Teluk kedua jika ia tidak dapat disekat oleh rakyat dunia yang mencintakan kedamaian dan menghargai nyawa manusia, sama ada nyawa tentera AS atau nyawa tentera dan rakyat awam Iraq yang dipandang sebagai sampah yang tidak bernilai oleh Bush dan sekutunya.

Demikianlah rahsia kegemaran Bush dan sekutunya untuk berperang! Dan hakikat "keadilan" AS dan sekutunya sama sekali tidak beretika dan berperi kemanusiaan!