'Budak jahat' MCA dirujuk kepada jawatankuasa disiplin
Setelah Pelan Damai Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad gagal menyelesaikan krisis dalaman MCA di antara Kumpulan A pimpinan presiden MCA, Dr Ling Liong Sik dan Kumpulan B pimpinan timbalannya, Datuk Lim Ah Lek, sudah pasti kemelut itu akan berterusan.
Terbaru ialah tuduh-menuduh secara terbuka antara anggota dua kumpulan terbabit berkaitan politik wang dan politik samseng atau kongsi gelap.
Sewaktu berucap di majlis perayaan ulangtahun Ke-54 MCA pada 2 Mac lalu, Dr Ling dan setiausaha agung parti itu, Dr Ting Chew Peh membidas amalan politik wang dalam bentuk majlis makan malam, pemberian hadiah dan lawatan ke Genting Highlands, Langkawi, Haadyai, Hong Kong dan Guangzhou, China.
Ternyata tuduhan ini dilemparkan terhadap Kumpulan B, walaupun tanpa dikaitkan dengan individu-individu tertentu. Siapa yang makan cili, dialah yang terasa pedasnya.
Setelah Pelan Damai Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad gagal menyelesaikan krisis dalaman MCA di antara Kumpulan A pimpinan presiden MCA, Dr Ling Liong Sik dan Kumpulan B pimpinan timbalannya, Datuk Lim Ah Lek, sudah pasti kemelut itu akan berterusan.
Terbaru ialah tuduh-menuduh secara terbuka antara anggota dua kumpulan terbabit berkaitan politik wang dan politik samseng atau kongsi gelap.
Sewaktu berucap di majlis perayaan ulangtahun Ke-54 MCA pada 2 Mac lalu, Dr Ling dan setiausaha agung parti itu, Dr Ting Chew Peh membidas amalan politik wang dalam bentuk majlis makan malam, pemberian hadiah dan lawatan ke Genting Highlands, Langkawi, Haadyai, Hong Kong dan Guangzhou, China.
Ternyata tuduhan ini dilemparkan terhadap Kumpulan B, walaupun tanpa dikaitkan dengan individu-individu tertentu. Siapa yang makan cili, dialah yang terasa pedasnya.
Sudah tentu tiada pihak pun yang boleh mempertikaikan bahawa amalan politik wang adalah suatu perbuatan negatif dan tidak patut diamalkan oleh sesiapapun. Dan amalan politik wang juga tidak mungkin terhad kepada satu-satu kumpulan sahaja dalam MCA.
Umpamanya, Pemuda MCA telah mengaitkan sistem pembelian jawatan yang diamalkan oleh Dinasti Feudal di Negeri China pada zaman dahulu, untuk dikritik. Dalam bidasan itu tersirat sesuatu yang bukan menjadi rahsia lagi dalam MCA, yang membabitkan seorang ahli MCA, merangkap saudagar besar yang satu masa dahulu rapat dengan Dr Ling dan anaknya.
Menyahut gesaan
Setelah anak Dr Ling menjadi rakan kongsi perniagaan saudagar tersebut, jawatannya (saudagar) dalam parti pun melonjak sehingga dilantik sebagai seorang pemimpin kanan parti. Dalam hal ini, tidakkah politik wang juga memainkan peranannya?
Sebagai menyahut gesaan Dr Ling untuk membasmikan amalan politik wang, ketua pemuda MCA, Ong Tee Keat pula mendedahkan mengenai perkara yang sama tetapi dengan caranya yang tersendiri, sewaktu berucap di majlis perayaan ulangtahun ke-54 MCA anjuran Pemuda MCA pada 9 Mac lalu.
Dalam ucapannya itu, ong mendakwa wujudnya politik samseng atau kongsi gelap dalam MCA. Tuduhan itu tentunya ditujukan terhadap kumpulan lawannya sebagai membalas gesaan Dr Ling supaya dibasmikan politik wang, yang jelas ditujukan terhadap kumpulannya (Ong).
Pendedahan ong ini dianggap sebagai satu tindakan melampau yang akan memalukan MCA. Oleh itu, Dr Ling mengambil tindakan keras untuk "mengajar budak jahat" MCA itu.
Ong didesak mendedahkan nama mereka yang terlibat dalam amalan politik samseng atau kongsi gelap sepertimana yang didakwanya. Jika ong gagal berbuat demikian, beliau diminta meninggalkan parti atau menghadapi tindakan disiplin parti.
Ong juga mengambil pendirian keras dan tidak berkompromi. Beliau enggan mendedahkan nama mereka yang terbabit dengan alasan demi menjaga keselamatan dirinya serta menegaskan bahawa siasatan mengenai kongsi gelap adalah dalam bidang kuasa polis, bukannya MCA.
Skandal
Ong juga membuat kesimpulan bahawa beliau tidak perlu meninggalkan parti setelah "menyelami dirinya sendiri mengenai kedudukannya dalam parti" berhubung tiga perkara utama, iaitu:
Beliau yakin tidak pernah menyalurkan apa-apa maklumat kepada mana-mana saudagar asing bagi kepentingan komersil;
Beliau tidak pernah memohon kewarganegaraan asing; dan
Isteri dan ketiga-tiga anak perempuannya tidak mempunyai harta berjuta-juta ringgit.
Perkara pertama dan ketiga bukanlah merupakan satu rahsia lagi. Ia merupakan "skandal" yang melibatkan Dr Ling sendiri. Manakala perkara kedua pula ditujukan kepada seorang pemimpin wanita dari Kumpulan A juga.
Dengan perkataan lain, menurut ong, merekalah yang sepatutnya meninggalkan MCA sekiranya tidak dapat membersihkan diri mereka daripada skandal-skandal berkenaan!
Temubual
Di samping itu, Dr Ling juga dituduh mengamalkan sikap pilih kasih atau dwi-standard, kerana beliau sendiri dan Dr Ting (
gambar
) telah mendedahkan mengenai amalan politik wang tanpa menyebut nama mereka yang terbabit.
Oleh itu, kenapa ong juga tidak boleh mendedahkan amalan politik samseng atau kongsi gelap juga tanpa mendedahkan nama mereka yang terbabit, sepertimana perbuatan Dr Ling dan Dr Ting sendiri?
Pada 16 Mac lalu, Berita Minggu dalam ruangan Bicara di mukasurat rencananya, telah menyiarkan temubual wartawannya dengan Ong selaku ketua Pemuda MCA dan setiausaha agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Mohamed Rahmat.
Bagaimanapun, peluang yang sama tidak diberi kepada Kumpulan A. Ini seolah-olah memperlihatkan suatu pendirian yang tidak berkecuali. Adakah ia juga mencerminkan pendirian Umno sendiri dalam perkara ini melalui setiausaha agung BN itu?
Dalam temubual tersebut, ong menyentuh kenyataan Mohamed Rahmat (
kanan
) supaya Dr Ling dan Ah Lek berundur diri, dan bagaimana kenyataan itu serta-merta disanggah untuk membuktikan bahawa kepemimpinan MCA kini tidak boleh ditegur atau dikritik.
Menurut ong, oleh kerana beliau berpendapat bahawa Pelan Damai untuk menyelesaikan krisis dalaman MCA itu merupakan nasihat Perdana Menteri selaku pengerusi BN, maka beliau telah dicaci melalui surat layang sebagai "pengkhianat bangsa" dan "running dog" .
Jangan hebohkan
Dalam temubual itu yang bertajuk : 'Krisis jejaskan Barisan Nasional', Mohamed Rahmat, ketika ditanya tentang perkara tersebut serta mengenai peristiwa di mana beliau diminta oleh pemimpin MCA supaya tidak campurtangan dalam hal-ehwal dalaman parti itu, menjawab:
"Kita tak boleh lari daripada campurtangan kerana masalah MCA boleh menjejaskan Barisan Nasional, itu tidak boleh dinafikan."
Malah, beliau memberi amaran kepada MCA: "Perlu ingat, parti yang berkuasa di Malaysia adalah parti BN dan kerajaan BN. MCA jangan lari daripada hakikat itu. Dalam banyak hal, kalau parti komponen tidak bersetuju, dia keluar."
Pemangku Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga sependapat dengan Mohamed Rahmat dengan menegaskan bahawa beliau tidak suka perkara itu diheboh-hebohkan kerana ia bukan saja boleh menjejaskan imej MCA, malah BN sendiri.
Justeru itu, beliau telah berjumpa dengan ong dan Dr Ling. ong telah menyerahkan kepada Abdullah, dua nama yang didakwanya terlibat dalam politik samseng atau kongsi gelap.
Sekarang, nama-nama terbabit telah diserahkan kepada Dr Ling untuk siasatan lanjut oleh pihak parti itu. Dan Dr Ling juga telah dinasihatkan supaya berhati-hati menangani perkara itu dan mencari apa saja jalan penyelesaian terbaik untuk menamatkan isu itu.
Membuka pekung
Bagi Abdullah dan Dr Ling, pengertian "penyelesaian terbaik" mungkin berlainan. Pada 18 Mac lau, Majlis Presiden MCA telah mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan isu disiplin parti bagi "mengambil tindakan proaktif membersihkan imej MCA yang semakin terjejas".
Dan keputusan telah diambil untuk merujukkan ong kepada jawatankuasa disiplin MCA dengan alasan beliau didapati berulang-kali mencemarkan imej parti dengan:
Mempersoalkan kewibawaan, tanggungjawab serta ketelusan pucuk pimpinan dalam isu Yayasan Chang Ming Tien;
Menuduh ahli politik dalam kerajaan melindungi peminjam wang haram ; dan
MCA dipengaruhi politik kongsi gelap serta samseng.
Perkembangan terbaru ini menunjukkan Kumpulan A MCA telah bertekad untuk mengajar "budak jahat" MCA tersebut, meskipun ia mungkin menjejaskan hubungan parti itu dengan BN. Tindakan Kumpulan A tersebut juga bermakna sekali lagi parti itu terpaksa "membuka pekung di dada".

