Hipokrasi pemimpin kesatuan
Ketegangan di antara Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Senator Datuk Zainal Rampak dan timbalannya, Mohamed Shafie BP Mammal, rasanya telah reda setelah mereka
bertemu
empat mata pada 6 Mac lalu dan setuju mengekalkan jawatan masing-masing.
Ketegangan itu berlaku apabila Zainal mengumumkan pada 21 Disember tahun lalu bahawa beliau tidak akan menyerahkan tampuk kepimpinan MTUC kepada Mohamed Shafie sebagaimana dipersetujui dalam memorandum persafahaman (MoU) yang mereka tandatangani sebelum ini.
Dalam media terpapar gambar mereka berjabat tangan sambil tersenyum lebar, seolah-olah hubungan mereka sudah pulih dan segala yang berlaku sebelum ini sudah dilupakan.
Saya tertanya-tanya bagaimanakah dalam masa yang begitu singkat sekali, Mohamed Shafie sudah 'merujuk semula' dengan Zainal yang sebelumnya dikutuk sebagai "pembelot, pengkhianat dan diktator". (Bicara, 29 Disember 2002, Berita Minggu )?
Ketegangan di antara Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Senator Datuk Zainal Rampak dan timbalannya, Mohamed Shafie BP Mammal, rasanya telah reda setelah mereka
bertemu
empat mata pada 6 Mac lalu dan setuju mengekalkan jawatan masing-masing.
Ketegangan itu berlaku apabila Zainal mengumumkan pada 21 Disember tahun lalu bahawa beliau tidak akan menyerahkan tampuk kepimpinan MTUC kepada Mohamed Shafie sebagaimana dipersetujui dalam memorandum persafahaman (MoU) yang mereka tandatangani sebelum ini.
Dalam media terpapar gambar mereka berjabat tangan sambil tersenyum lebar, seolah-olah hubungan mereka sudah pulih dan segala yang berlaku sebelum ini sudah dilupakan.
Saya tertanya-tanya bagaimanakah dalam masa yang begitu singkat sekali, Mohamed Shafie sudah 'merujuk semula' dengan Zainal yang sebelumnya dikutuk sebagai "pembelot, pengkhianat dan diktator". (Bicara, 29 Disember 2002, Berita Minggu )?
Sekiranya seseorang itu bisa berkompromi dengan seorang pembelot, pengkhianat dan diktator pergerakan kesatuan sekerja, jadi adakah dia beretika dan berprinsip? Dan layakkah seseorang yang tidak beretika dan berprinsip menyandang jawatan tertinggi dalam kesatuan sekerja?
Pada teorinya jawapannya pasti tidak layak, tetapi realitinya adalah sebaliknya. Perebutan kuasa seperti yang berlaku di antara Zainal dan Shafie adalah sesuatu yang lumrah berlaku di negara kita. Namun, ia perlu dikupas dan dibidas dari segi budaya politik demi kepentingan pergerakan kesatuan sekerja.
Berkompromi
Dari awal-awal lagi harus ditekankan bahawa menandatangani MoU antara pemimpin kesatuan sekerja untuk mengaturkan jawatan atau tempoh jawatan adalah bercanggah dengan Perlembagaan kesatuan sekerja dan juga tidak sah di sisi undang-undang.
Ini kerana pemilihan pemimpin kesatuan sekerja adalah hak ahlinya, bukan hak mana-mana pemimpin. Oleh itu, menandatangani MoU, tidak kira atas apa alasan sekalipun, sebenarnya merupakan manipulasi beberapa kerat pemimpin yang terbabit demi kepentingan individu atau kumpulan tertentu. Perbuatan itu sendiri boleh memudaratkan kepentingan kesatuan dan ahli-ahlinya.
Tidak dapat dinafikan bahawa penandatanganan MoU merupakan suatu kompromi antara dua pemimpin yang tidak dapat memastikan kemenangan masing-masing dalam perebutan kuasa yang sengit. Ini berlaku pada tahun 1985 di antara Zainal dan P P Narayanan; dan pada tahun 2002 di antara Zainal dan Mohamed Shafie.
Kompromi bermakna sama-sama undur selangkah supaya 'keadaan menang-menang' dapat diwujudkan, bukan yang menang ambil semua, dan yang kalah kehilangan segala-galanya. Ia hanya berlaku kepada pemimpin mempunyai kepentingan peribadi, tetapi ia tidak mungkin berlaku kepada mereka yang berjuang atas prinsip kesatuan sekerja demi ahli-ahlinya.
Shafie menegaskan bahawa beliau tersilap mempercayai Zainal, walaupun beliau sewajarnya mengenali sifat katak Zainal yang melompat dari satu parti ke parti lain, termasuk Gerakan, Semangat 46, Pekemas dan DAP, dan bagaimana beliau dilantik sebagai Senator tanpa direstui MTUC.
Oleh itu, kepada mereka yang mengenali Zainal, memungkiri janji berhubung persetujuan yang dipersetujuinya dalam MoU itu, bukan sesuatu yang menghairankan.
Dakwaan dipaksa
Menjawab soalan dalam ruangan Wawancara yang disiarkan oleh Mingguan Malaysia pada 24 Februari lalu, sama ada beliau akan mengubah pendiriannya itu, Zainal berkata:
"Perjanjian saya dan Mohamed Shafie ada surat hitam putih. Sebagai seorang Islam saya harus akur kepada janji itu. Perjanjian itu dibuat tanpa peguam kerana kita tidak perlu peguam dalam semangat kesatuan sekerja. Kita bukanlah pengarah syarikat dan orang korporat yang bila buat keputusan, mereka mungkin mengubah keputusan. Saya akan dipandang jijik jika saya tidak menghormati keputusan saya. Saya akan penuhi janji saya kepada Mohamed Shafie. Saya tidak akan mencemarkan nama baik keturunan saya."
Zainal berjanji akan akur kepada MoU itu atas nama agama, semangat kesatuan sekerja dan nama baik keturunan. Siapa sangka janji yang seberat ini sanggup juga dikhianati. Dan lebih memalukan ialah apabila memungkiri janji, beliau berlagak pula seolah-olah "dipaksa" oleh penyokongnya untuk meneruskan jawatan Presidennya sehingga tahun 2004 demi kepentingan dan perpaduan MTUC, kononnya.
Dari segi budaya, kita perlu membuat refleksi yang mendalam: Kenapa seorang pemimpin kesatuan sekerja masih tidak terjejas kedudukannya setelah agama, semangat kesatuan sekerja, nama baik keturunan telah diinjak-injakkan dengan tipu helah secara terang-terangan?
Kenapa tiada sebarang tindakan disiplin atau usul undi tak percaya dikemukakan terhadap manusia hipokrit ini? Atau sifat hipokrit dan tipu helah itu telah diterima dan ditoleransi sebagai sifat manusia zaman kini?
Sikap hipokrit
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, tatkala mengarahkan pemimpin MTUC supaya menamatkan perebutan kuasa itu, beliau menegaskan bahawa beliau juga pernah membuat janji dan tidak mampu memenuhinya kerana desakan pelbagai pihak.
Kata beliau: "Saya juga pernah membuat janji nak letak jawatan Jun lalu tetapi ramai orang datang dan mendesak saya supaya tidak meletakkan jawatan, menyebabkan saya letak jawatan 16 bulan kemudian."
Tampaknya budaya politik mungkir janji ini bukan saja diamalkan oleh Zainal, ia mungkin telah, sedang dan akan terus diamalkan oleh pemimpin politik dan kesatuan sekerja kita, termasuk Zainal dan Dr Mahathir.
Dalam keadaan ini, apakah hairannya sekiranya Zainal masih enggan berundur selepas tahun 2004, dan Dr Mahathir enggan berundur sebagai Perdana Menteri setelah Oktober tahun ini (sungguhpun amat kecil kemungkinannya), atas desakan penyokongnya?
Tidak dapat dinafikan bahawa sifat hipokrit dan tipu helah telah merupakan darah daging sesetengah pemimpin politik, kesatuan sekerja dan badan bukan kerajaan (NGO) yang lain. Mereka sukar diharapkan dapat membuat refleksi atau kritik-diri untuk menghakiskan sifat negatif itu.
Sepatutnya, ahli politik, kesatuan sekerja atau NGO bangkit untuk menentang sifat hipokrit dan tipu helah pemimpin mereka, agar suatu budaya politik yang beretika dan berprinsip, selaras dengan nilai demokrasi, ketelusan, keadilan dan progresif dapat dipupukkan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.