Datuk M Kayveas, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), boleh dianggap sebagai seorang yang kontroversial, kerana sering menimbulkan masalah yang "sensitif" dan "menggemparkan" dari masa ke semasa.

Beliau pernah menyarankan agar taraf bumiputera turut diberi kepada semua warganegara yang lahir selepas merdeka - suatu saranan yang wajar tetapi dianggap amat sensitif oleh Umno yang selama ini mengamalkan bumiputeraisme dalam perlaksanaan Dasar Ketuanan Melayu.

Tidak lama dahulu, beliau menyarankan pula agar Sekolah Tamil ditutup. Saranan ini dibelasah oleh penyokong bahasa ibunda masyarakat India dan MIC (padahal Datuk Seri Samy Vellu sendiri pernah membuat saranan yang sama).

Bagaimanapun, Kayveas kemudiannya menafikannya dan sebaliknya, menjelaskan bahawa beliau hanya cadangkan supaya bahasa Tamil diajar sebagai matapelajaran wajib di sekolah kebangsaan untuk memelihara bahasa itu daripada pupus - itu saja.

Kali ini, beliau mendedahkan dakwaan amalan rasuah Pengarah Penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Abdul Kudus Ahmad yang menurutnya, menjadi dalang yang melindungi tonto dan mendapat sogokan RM 70,000 sebulan.

Hero media

Pendedahan itu telah menjadikan beliau (Kayveas) seorang "hero" media dan diwawancara oleh dua akhbar utama bahasa Malaysia - Mingguan Malaysia dan Berita Minggu - pada hari yang sama, iaitu 8 Jun 2003.

Kekerapan beliau menimbulkan perkara yang menggemparkan sudah barang tentu akan mengakibatkan beliau dituduh "mahu mencari publisiti". Walau apa sekalipun motif pendedahannya mengenai kes Abdul Kudus Ahmad, yang penting ialah masalah rasuah dan ketidakcekapan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), memang sudah lama wujud dan diketahui umum, tetapi tidak dapat diatasi.

Menurut Kayveas sendiri, semua bukti dan dokumen mengenai kes rasuah tersebut telah diperolehinya sejak enam bulan dahulu. Abdul Kudus didakwa menerima rasuah kira-kira RM70,000 sebulan sebagai 'tip' kerana menyalurkan maklumat berkaitan operasi penguatkuasaan kepada pengusaha cakera padat video (VCD) cetak rompak dan lucah.

Tambah Kayveas, beliau bukan mahu menganiaya Abdul Kudus, tetapi telah meminta Abdul Kudus menemuinya untuk menjelaskan tuduhan rasuah yang dikaitkan dengannya. Tetapi Abdul Kudus tidak mahu berjumpa dengan beliau, sebaliknya mencabar beliau melalui akhbar.

Tidak memberi muka

Kata Kayveas: "Saya tidak pernah bercakap dengan akhbar The Malay Mail , saya tidak pernah beri mereka story . Tetapi mereka letak gambar saya di muka depan dengan tajuk 'Show proof, Kayveas' (28 Mei). Di dalamnya ada berita yang mencabar saya sebagai timbalan menteri dan mengatakan saya tidak profesional. "

Nampaknya, Abdul Kudus bukan saja tidak "memberi muka" kepada Kayveas, malah cuba "mencabar" profesional beliau sebagai seorang timbalan menteri.

Soalannya ialah kenapa seorang penguatkuasa PBT, yang berstatus muflis (menurut Menteri di jabatan Perdana Menteri, Dr Rais Yatim), yang terlibat pula dalam kes rasuah, berani mencabar seorang timbalan menteri yang sebenarnya pentadbir atasannya?

Adakah ianya semata-mata kerana penguatkuasa PBT itu mempunyai pertalian darah dengan isteri Yang Dipertua (YDP) MPAJ Ahmad Kabit?

Atau memang wujudnya "Republik MPAJ yang ada presiden dan perdana menterinya sendiri"seperti tuduhan/ejekan Kayveas? Atau mengikut hirarki kerajaan, MPAJ memang tidak perlu jawab kepada kerajaan pusat, ia hanya perlu jawab kepada kerajaan negeri saja?

Cuba bayangkan, sekiranya Kayveas tidak memiliki bukti yang kukuh, termasuk enam orang saksi berhubung dakwaan rasuah itu , empat daripada saksi itu adalah kakitangan penguatkuasa MPAJ sendiri, apa Kayveas boleh buat, jika terus dicabar?

Ketepikan arahan

Menurut Kayveas: "Kami dapati ada tembok yang begitu tebal dan tinggi di PBT yang kami di kementerian sukar hendak tembusi." Inikan kementerian, orang awam tak usah ceritalah.

Beliau memberi satu contoh. Pegawai penguatkuasa PBT hendak merobohkan rumah setinggan. Kementerian telefon dan beritahu supaya jangan dirobohkan sehingga penduduk dipindahkan ke kawasan penempatan sementara. Pegawai penguatkuasa tidak memperdulikannya dan rumah setinggan tetap dirobohkan.

Kenapa ini boleh jadi? Adakah kerana mereka telah "dibeli" oleh pihak yang berkepentingan, supaya setinggan yang berkenaan dirobohkan dengan secepat mungkin agar projek baru dapat dimulakan?

Rakyat mungkin ingin tahu, sama ada fenomena Ahmad Kudus itu fenomena individu, atau ia sudah merupakan fenomena umum dan sudah wujud beratus malah beribu Ahmad Kudus di PBT seluruh negara?

Bezanya, mereka tidak mencabar orang atasnya seperti dalam kes Kayveas dengan Ahmad Kudus, sehingga beliau terpaksa membuat pendedahan itu untuk menjaga maruahnya sebagai seorang timbalan menteri?

Tetapi kerancakan perniagaan VCD cetak rompak dan lucah sebelum tindakan besar-besaran membanterasnya dilaksanakan baru-baru ini ( gambar ), tidak sukar digambarkan besar kemungkinan pegawai penguatkuasa PBT menerima rasuah supaya perniagaan haram itu dapat diteruskan tanpa diserbu oleh pegawai penguatkuasa PBT yang berkaitan.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang amat kesal dengan pelbagai aduan mengenai kelemahan PBT dan majlis perbandaran terpaksa berkata pegawai yang terbabit perlu diganti.

Siapa 'tuan'

Namun bukan senang pegawai terbabit hendak dikenalpasti dengan bukti yang kukuh, kerana seluruh struktur PBT dan majlis perbandaran sekarang membolehkan wujudnya amalan rasuah dalam bidang-bidang yang berkaitan.

Dan anggota PBT yang dilantik tidak perlu bertanggungjawab kepada orang awam yang mereka wakili, kerana orang awam tidak berhak untuk menafikan pelantikan mereka sepertimana melalui pilihanraya.

Kayveas tidak setuju diadakan pilihanraya kerajaan tempatan seperti yang dicadangkan oleh Laporan Athi Nahappan, kononnya terlalu banyak berpolitik tidak akan menguntungkan rakyat.

Dari hakikat sejarah, pilihanraya kerajaan tempatan dibatalkan bukan kerana terlalu banyak berpolitik, tetapi kerana kerajaan Perikatan masa itu merasa sukar hendak memenanginya. Anggota PBT yang bukan dipilih oleh penduduk tempatan barangkali tidak wajib bertanggungjawab kepada pihak yang bukan merupakan punca kuasa mereka.

Oleh itu, PBT sudah merupakan birokrasi penguatkuasa yang menjauhi penduduk tempatan, lama-kelamaan mereka akan terpisah daripada orang ramai yang sepatutnya merupakan "tuan" yang patut mereka beri khidmat. Mereka sebaliknya menjadi "tuan" kepada penduduk tempatan.

Memang tepat bidasan Kayveas: "Saya berani mengatakan sekarang ini tidak ada kerjasama dan rundingan antara PBT dan masyarakat. PBT selalu dilihat berkonfrontasi dengan orang ramai."

Selagi pilihanraya kerajaan tempatan tidak dipulihkan, selama itulah penduduk tempatan tidak berkuasa untuk memantau dan mengawal tingkahlalu penguatkuasa PBT, termasuk amalan rasuah dan sebagainya.